Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Indonesia tingkatkan ujian, pengesanan kes COVID-19 di Jawa Timur

 Indonesia akan meningkatkan ujian dan pengesanan kes-kes COVID-19 di wilayah Jawa Timur yang muncul sebagai pusat baru penularan virus itu, lapor agensi berita Xinhua.

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia tingkatkan ujian, pengesanan kes COVID-19 di Jawa Timur

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 28 May 2020 05:50PM Dikemas Kini : 28 May 2020 05:51PM

JAKARTA: Indonesia akan meningkatkan ujian dan pengesanan kes-kes COVID-19 di wilayah Jawa Timur yang muncul sebagai pusat baru penularan virus itu, lapor agensi berita Xinhua.

Presiden Indonesia Joko Widodo berkata dalam satu mesyuarat kabinet pada Rabu (27 Mei) bahawa wilayah itu mesti diutamakan bersama wilayah-wilayah yang lain memandangkan jumlah kes baru di sana yang naik mendadak baru-baru ini.

Beliau menekankan pentingnya melakukan ujian secara meluas dan menjejaki individu yang dipantau dan di bawah pengawasan.

Selain daripada menetapkan prosedur pengasingan yang ketat, pelaksanaan protokol kesihatan juga harus dilakukan, tambah Presiden Jokowi.

Bagi menguatkuasakan peraturan jarak selamat berskala besar, beliau berkata anggota tentera dan polis akan dikerah ke wilayah-wilayah tersebut.

"Bagi kawasan di mana lengkungan (COVID-19) terus meningkat, misalnya di Jawa Timur, kami akan mengerahkan lebih banyak kakitangan ke kawasan itu supaya lengkungan itu dapat diratakan."

Semalam, Pemerintah Indonesia memutuskan untuk mengerahkan hampir 350,000 pegawai keselamatan untuk memaksa orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga bagi membendung penularan virus dan mematuhi peraturan perintah berkurung separa.

"Kami berkeras mahu beralih ke senario normal yang baru. Kami mahukan kesedaran dan disiplin yang kuat daripada orang ramai supaya kadar jangkitan virus dapat dilenyapkan," kata Presiden Jokowi.

Berhubung sambutan pasca Hari Raya Aidilfitri, beliau memberi amaran akan kemungkinan berlaku gelombang jangkitan yang kedua sedang puluhan ribu orang dijangka pulang ke bandar setelah menyambut Hari Raya di halaman kampung masing-masing.

Virus COVID-19 sudah meragut nyawa 1,473 di Indonesia dan menjangkiti 23,851 orang, menurut Kementerian Kesihatan Indonesia pada Rabu.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan