Skip to main content

Iklan

Iklan

Indonesia longgarkan sekatan COVID-19 di Bali; sempadan masuk negara diperketat

Indonesia melonggarkan sekatan COVID-19 di pulau pelancongan popular Bali meskipun pelawat antarabangsa akan berdepan protokol lebih ketat sewaktu ketibaan mereka demi membendung penularan varian-varian baru.

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia longgarkan sekatan COVID-19 di Bali; sempadan masuk negara diperketat

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 14 Sep 2021 09:04AM Dikemas Kini : 14 Sep 2021 09:08AM

JAKARTA: Indonesia melonggarkan sekatan COVID-19 di pulau pelancongan popular Bali meskipun pelawat antarabangsa akan berdepan protokol lebih ketat sewaktu ketibaan mereka demi membendung penularan varian-varian baru.

Demikian menurut seorang menteri kanan pada Isnin (13 Sep).

Tempat-tempat daya tarikan pelancong di sebahagian besar pulau Bali kini mula menerima pengunjung, kata Menteri Maritim dan Pelaburan Luhut Panjaitan di satu persidangan maya. Para pengunjung boleh ke melawat ke tempat-tempat tersebut selagi mereka mematuhi protokol ketat seperti membuktikan status vaksinasi di aplikasi mudah alih yang disahkan oleh pemerintah.

"Keadaan COVID-19 yang semakin pantas bertambah baik di Jawa dan Bali menyebabkan PPKM dilonggarkan lebih pantas daripada yang kami jangkakan," kata Encik Luhut, merujuk kepada sistem sekatan pergerakan sosial Indonesia.

Tahap sekatan pergerakan sosial di Bali akan dinilai setiap minggu.

Para pelawat antarabangsa, bagaimanapun, perlu menjalani kuarantin selama lapan hari dan mengambil tiga ujian PCR sebelum mereka memasuki pulau itu.

"Tindakan tegas" akan diambil terhadap mereka yang melanggar sekatan-sekatan itu, kata Encik Luhut, tetapi beliau tidak menyatakan apakah denda tersebut.

Di persidangan itu juga, Menteri Kesihatan Indonesia, Budi Gunadi Sadikin berkata, sempadan-sempadan ke negara itu juga akan diperketat.

"Pemerintah memutuskan untuk memperkukuhkan gerbang masuk negara dengan melengkapkan dan mengetatkan proses kuarantin di laut, darat serta udara," kata Encik Budi. Beliau menambah, Indonesia akan memperkukuhkan penggunaan penjujukan genom untuk mengenal pasti dengan pantas varian baru koronavirus.

Rancangan untuk membuka semula Bali kepada pelancong luar negara awal tahun ini digugurkan apabila Indonesia bergelut dengan gelombang kedua COVID-19 disebabkan oleh varian Delta yang amat mudah berjangkit, yang pertama kali dikenal pasti di India.

Indonesia mengalami penularan COVID-19 antara yang terburuk di seluruh Asia dengan mencatat lebih empat juta kes serta 138,000 kematian akibat koronavirus sejak awal pandemik melanda.

Selepas mencapai kemuncak lebih 56,000 kes pada 15 Julai, jumlah kes harian COVID-19 merosot dengan ketara pada bulan lalu.

Indonesia mencatatkan kurang 3,000 kes pada Isnin (13 Sep).  

Sumber : Reuters/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan