Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Indonesia dikejutkan dengan varian baru COVID-19

Indonesia dikejutkan dengan pengesanan dua kes varian baru COVID-19, setahun selepas virus itu melanda negara tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia dikejutkan dengan varian baru COVID-19

Gambar fail para pekerja jagaan kesihatan di Indonesia. (Gambar: Antara Foto/Nyoman Hendra Wibowo via Reuters)

Diterbitkan : 06 Mar 2021 05:39PM Dikemas Kini : 06 Mar 2021 05:41PM

JAKARTA: Indonesia dikejutkan dengan pengesanan dua kes varian baru COVID-19, setahun selepas virus itu melanda negara tersebut.

Demikian dilaporkan agensi berita China, Xinhua.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dante Saksono Harbuwono mengesahkan dua kes varian baru COVID-19 itu di Indonesia.

"Saya menerima maklumat itu selepas setahun kami mengesan mutasi B117 di Indonesia," kata beliau dalam sidang media pada Selasa (2 Mac).

Negara itu mengesan jangkitan COVID-19 buat pertama kalinya pada 20 Mac 2020.

Beliau berkata dua kes varian baru itu dikesan pada Isnin (1 Mac), bermakna Indonesia bakal berdepan cabaran untuk menanganinya.

Dua kes varian baru itu dikesan di Karawang, wilayah Jawa Barat. Varian itu, yang pertama kali dikesan di Britain, dikatakan lebih mudah berjangkit.

Dua wanita yang namanya bermula dengan huruf M dan A diuji positif bagi virus B117. Mereka adalah pekerja di Arab Saudi yang tiba di Indonesia pada akhir Januari lalu.

Ketika tiba di Lapangan Terbang Soekarno Hatta di Banten, M dan A menjalani ujian swab bagi reaksi rantaian polimerase (PCR) dan ia menunjukkan positif COVID-19 dan kedua-duanya dikuarantin 14 hari di Jakarta.

Ujian kedua yang dijalankan ke atas kedua-dua wanita itu pula negatif dan mereka dibenarkan pulang ke Karawang.

Gabenor Jawa Barat, Ridwan Kamil, juga mengesahkan varian baru COVID-19 dikesan di Karawang dan pemerintah wilayah itu kini menjalankan pengesanan kontak.

Encik Ridwan juga bekerjasama dengan universiti-universiti untuk melihat sama ada protokol kesihatan sedia ada untuk membendung penularan COVID-19 sesuai bagi mereka yang dijangkiti varian baru itu.

Encik Ridwan juga meminta anggota masyarakat supaya jangan cemas kerana langkah-langkah siap sedia sudah diambil oleh pasukan bertindak COVID-19.

Sementara itu,Presiden Joko Widodo meminta rakyat masyarakat supaya tidak cemas susulan pengesanan varian baru itu.

"Saya meminta anda, jangan bimbang tentang penemuan dua kes positif B117," kata Encik Joko Widodo menerusi YouTube Sekretariat Presiden malam Khamis (4 Mac).

Menurutnya, dua orang yang terdedah kepada varian baru itu kini disahkan negatif COVID-19.

"Tidak ada kajian yang menunjukkan bahawa varian baru ini lebih berbahaya," kata Encik Joko Widodo, sambil menekankan bahawa usaha-usaha pencegahan bagi membendung varian baru itu sudah dilaksanakan.

"Untuk itu, kita harus kekal berdisiplin meneruskan program kesihatan dengan dipercepat pelaksanaan vaksinasi," tambah beliau.

Pemerintah Indonesia memberi jaminan bahawa vaksin COVID-19 yang digunakan di negara itu masih berkesan terhadap varian B117 jadi anggota masyaralat diharapkan tidak bimbang dan terus mengikuti protokol-protokol kesihatan, menurut seorang jurucakap pemerintah bagi COVID-19, Wiku Adisasmito.

Indonesia menggunakan vaksin COVID-19 Sinovac Biotech, yang dihasilkan China.

Menurut Encik Dante Saksono Harbuwono, selain vaksin Sinovac, pemerintah juga sudah memperoleh komitmen untuk mendapatkan vaksin daripada syarikat farmaseutikal lain seperti AstraZeneca, Pfizer-BioNTech dan Novavax.

Semua vaksin itu akan digunakan dalam program vaksinasi Indonesia.

Sumber : Bernama/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan