Virus Korona

Images
  • indonesia virus corona hospital
    Pengunjung ke sebuah hospital di Padang, Sumatera Barat, Indonesia pada 21 Mac 2020 (Gambar: Antara Foto/Muhammad Arif Pribadi menerusi Reuters)

Indonesia catat 20 kematian baru dalam tempoh 24 jam

JAKARTA: Kes kematian akibat pandemik virus COVID-19 di Indonesia semakin membimbangkan apabila 20 lagi kematian dicatatkan berlaku dalam tempoh 24 jam.

Kematian akibat virus itu kini berjumlah 78 kes, kata jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, Encik Achmad Yurianto.

Jumlah kes kematian paling tinggi dicatatkan di Jakarta iaitu sebanyak 46 kes kematian, diikuti Jawa Barat (11 kes), Jawa Tengah (enam), Banten (empat), Jawa Timur (tiga), Bali (dua), Yogyakarta (dua) dan masing-masing satu kes di Kepulauan Riau, Sumatera Selatan dan Sumatera Utara serta Sulawesi Selatan.

"Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga pukul 12.00 tengah hari ini, sebanyak 103 kes positif baru, menjadikan jumlah kes positif kini berjumlah 893 kes," katanya.

Encik Achmad Yurianto sebelum ini menyatakan kebimbangan pemerintah Indonesia terhadap kemungkinan kes positif boleh atau berkemungkinan meningkat drastik berdasarkan pengesanan kontak mereka yang positif dengan orang sekitar mereka sebelum ini (pengesanan kontak sebelum mereka yang positif itu disahkan positif).

Lebih 600,000 warga Indonesia berisiko positif virus COVID-19, kata Encik Achmad Yurianto.

- BERNAMA/NA/na

Top