Koronavirus

Images
  • murid PSLE
    Seorang murid Darjah 6 mendapat keputusan PSLE pada 2020. (Gambar fail: Facebook/Halimah Yacob)

Ibu bapa sambut baik langkah benarkan murid dikuarantin duduki PSLE; belum ada kata putus jika positif COVID-19

SINGAPURA: Apabila diumumkan pada Ahad (26 Sep) bahawa para murid yang sedang menjalani kuarantin akan dibenarkan untuk menduduki peperiksaan nasional akhir tahun jika mereka diuji negatif COVID-19, sesetengah ibu bapa menghela nafas lega.

Kes-kes COVID-19 yang terus meningkat baru-baru ini semakin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan mereka khuatir anak-anak mereka tidak boleh menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE), dengan ujian bertulis bakal bermula pada Khamis, jika mereka terdedah kepada virus tersebut.

Cik Joan Tabinas yang anak lelakinya dikenakan Perintah Kuarantin pada Sabtu memberitahu Mediacorp bahawa keluarganya mengalu-alukan berita itu.

"Ia berita yang sangat baik dan kami berasa gembira mendengarnya," kata individu berusia 42 tahun itu.

BELUM ADA KATA PUTUS BAGI MURID POSITIF COVID-19

Sebilangan murid yang diuji positif virus itu pula tidak pasti sama ada mereka boleh menduduki peperiksaan itu meskipun sudah selesai menjalani tempoh kuarantin.

Encik Cheng Yew Liang yang anak lelakinya berusia 12 tahun diuji positif COVID-19 pada 17 Sep di sebuah klinik Swab dan Hantar Rumah (SASH) berkata bahawa beliau sudah berkali-kali membuat panggilan kepada para pegawai Kementerian Kesihatan (MOH) dan Certis Cisco sepanjang minggu lalu kerana anak lelakinya tidak dikenakan Perintah Kuarantin atau Perintah Pengasingan.

Mereka juga tidak diberikan arahan tentang sama ada anak lelakinya itu boleh menjalani pemulihan di rumah atau di hospital, meskipun diberitahu oleh MOH bahawa akan ada seorang pegawai yang akan ke rumah mereka untuk menilai keadaan.

SEMAKIN KECEWA

Seorang ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Syurah pula mengongsi bahawa Perintah Kuarantin pada awalnya dikenakan ke atas suaminya, dirinya dan kedua-dua anak perempuan mereka selepas suaminya diuji positif COVID-19 pada 13 September.

Anak lelakinya berusia 12 tahun yang turut diuji positif bagaimanapun tidak dikenakan Perintah Kuarantin.

"Ia amat mengecewakan kerana dia tinggal bersama kami dan jelas ada masalah pada sistem mereka atau ia tidak dikemas kini, jadi mengapa salahkan kami?" tanya beliau.

"Namun, kami menggesa mereka kerana tanpa Perintah Kuarantin, anak lelaki saya sepatutnya menduduki ujian kefahaman mendengar PSLE kerana tiada bukti."

Malah, Perintah Pengasingan anak lelakinya berakhir pada Jumaat tetapi ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) menunjukkan bahawa dia masih dijangkiti virus itu.

"PSLE bakal menjelang dalam masa tiga hari lagi tetapi dia tidak lagi di bawah kuarantin lantas tidak mempunyai alasan 'rasmi' sama ada dia boleh menduduki peperiksaan itu ataupun tidak," luah wanita berusia 39 tahun itu.

BIMBANG TENTANG MURID YANG "KERUGIAN"

Encik Cheng pula berkata bahwa beliau bimbang anaknya akan berada dalam keadaan yang merugikan meskipun dia dibenarkan menduduki peperiksaan.

"Apabila dia dijangkiti COVID-19, dia demam dan perlu berehat dan tidak boleh mengulang kaji pelajarannya dengan betul, lantas momentumnya terhenti," kongsi beliau.

"Kami menyuruhnya menyambung semula persiapan bagi PSLE tetapi sejujurnya, kami dalam keadaan yang merugikan hanya kerana kita telah kehilangan banyak masa."

- CNA/SM/sm

Top