Virus Korona

Images
  • hubei
    Para pegawai giat melakukan pembersihan di sebuah kawasan di Wuhan, Hubei. (Gambar: Hector Retamal/AFP)

Hubei lapor hampir 15,000 kes baru COVID-19 selepas ubah kaedah kira jangkitan

BEIJING: Wilayah Hubei di China, tempat tercetusnya penularan penyakit virus korona COVID-19, pada Khamis (13 Feb) melaporkan hampir 15,000 kes baru dalam masa sehari.

Sebanyak 14,840 kes baru dikesan membawa kepada 48,206 kes jangkitan keseluruhannya, menurut suruhanjaya kesihatan tempatan menerusi laman webnya.

Angka korban akibat virus itu pula meningkat sebanyak 242, menjadikan jumlah kematian yang dilaporkan di Hubei naik kepada 1,310.

Dengan itu, jumlah kematian yang dilaporkan di tanah besar China sudah meningkat kepada 1,355.

Lonjakan besar itu dilaporkan sedang para pegawai tempatan berkata mereka sudah memperluaskan definisi bagi kes COVID-19 dan mula memeriksa kes-kes yang didiagnosis menerusi kaedah klinikal yang baru.

Secara keseluruhannya, jumlah orang yang dijangkiti COVID-19 di China sahaja sudah mencecah hampir 60,000.

Sebelum ini, kepimpinan China memuji "hasil positif" dalam usaha-usaha untuk membendung penularan virus tersebut.

Bagaimanapun, China turut memberi amaran bahawa ia masih lagi berdepan dengan "perang berskala besar" terhadap penularan virus itu.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp  

- CNA/Reuters/AI/ai

Top