Hari ke-5 berturut-turut tiada kes baru COVID-19 dalam masyarakat S'pura
Semuanya adalah kes import yang sudahpun dikenakan notis jangan keluar rumah atau diasingkan sebaik tiba di Singapura. Tiga daripadanya tidak bergejala.
SINGAPURA: Sebanyak 25 kes baru COVID-19 dilaporkan di Singapura hari ini (27 Jan).
Demikian menurut Kementerian Kesihatan (MOH).
Semuanya adalah kes import yang sudahpun dikenakan notis jangan keluar rumah atau diasingkan sebaik tiba di Singapura. Tiga daripadanya tidak bergejala.
Tiada kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam masyarakat atau di dormitori pekerja asing.
Hari ini adalah hari kelima berturut-turut tanpa kes dalam kalangan masyarakat.
Kes import termasuk empat penduduk tetap yang pulang dari India dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) serta dua pemegang pas kerja dari India dan UAE.
Satu kes merupakan pemegang pas tanggungan yang tiba dari India. Budak lelaki tujuh tahun itu adalah kontak kes COVID-19 sebelum ini.
Baki 18 kes import adalah pemegang permit kerja yang tiba dari India, Indonesia, Malaysia dan Filipina. Seramai 16 daripada mereka adalah pembantu rumah asing.
KES DALAM MASYARAKAT BERKURANGAN
Menurut MOH, jumlah keseluruhan kes baru dalam kalangan masyarakat sudah berkurangan kepada lima kes dalam minggu ini berbanding 18 kes dalam minggu sebelumnya.
Jumlah kes tidak berkait dalam kalangan masyarakat juga berkurangan kepada satu dalam minggu ini berbanding enam dalam minggu sebelumnya.
Antara 194 kes yang disahkan COVID-19 dari 21 Januari hingga 27 Januari, sebanyak 110 kes diuji positif setelah menjalani ujian serologi manakala 32 diuji negatif. Keputusan bagi baki 52 ujian serologi masih belum diketahui.
Lagi 18 kes sudahpun dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan-kemudahan pengasingan masyarakat, menjadikan jumlah kes yang sudah sembuh sebanyak 59,104.
Terdapat 38 kes masih di hospital. Kebanyakannya dalam keadaan stabil atau semakin pulih dan tiada kes di unit jagaan rapi.
Baki 220 kes diasingkan dan dijaga di kemudahan-kemudahan masyarakat.
VAKSINASI BAGI WARGA TUA SUDAH BERMULA
Program vaksinasi bagi warga tua di Tanjong Pagar dan Ang Mo Kio sudah dimulakan hari ini sebagai sebahagian daripada percubaan untuk memberi suntikan vaksin kepada 5,000 hingga 10,000 warga tua di kawasan tersebut. Kedua-dua kawasan mempunyai jumlah tinggi penduduk warga tua.
Perdana Menteri Lee Hsien Loong yang menyaksikan program vaksinasi di Poliklinik Ang Mo Kio berkata ia akan memakan masa untuk menyuntik "hampir semua orang" di Singapura dan membangunkan imuniti masyarakat.
"Tidak sempat (selesaikan vaksinasi) untuk kita menyambut Tahun Baru Cina yang normal dan meriah tetapi ia akan dapat membantu."
Pemerintah menyasarkan untuk menyediakan sebuah pusat vaksinasi masyarakat di setiap bandar menjelang Mac, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Chan Chun Sing semalam (26 Jan).
"Dan jika kita perlu menambahnya dengan lebih cepat kerana vaksin tiba dengan lebih cepat, kita akan pastikan kita mempunyai keupayaan tempat vaksinasi," kata Encik Chan di Kelab Masyarakat Tanjong Pagar.
KES VARIAN BRITAIN
Kakitangan di Jewel Lapangan Terbang Changi dan di kedai-kedai serta tempat makan di kawasan awam Terminal 3 yang bekerja dari 31 Disember akan diletakkan di bawah operasi ujian khas.
Ia sebagai langkah berjaga-jaga setelah tiga kes yang dilaporkan sebelum ini diuji positif bagi varian baru B117, menurut MOH semalam. Tiga jangkitan tersebut juga mungkin ada kaitan, tambahnya.
Varian B117 pertama kali dilaporkan di Britain hujung bulan November tahun lalu dan Perdana Menteri Boris Johnson berkata ia mungkin "70 peratus lebih mudah berjangkit"
Para pemegang pas lawatan jangka panjang dan pelawat jangka pendek yang mempunyai sejarah perjalanan ke Britain dilarang memasuki atau melakukan persinggahan di Singapura sejak 23 Disember.
Sehingga hari ini, Singapura mencatat sebanyak 59,391 kes COVID-19.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.