Skip to main content

Iklan

Iklan

Hanya SafeEntry dengan TraceTogether akan digunakan di lokasi popular apabila S'pura sambung semula aktiviti berskala besar

Tidak lama lagi, orang ramai akan diwajibkan menggunakan aplikasi TraceTogether atau token untuk mendaftar masuk melalui SafeEntry di lokasi-lokasi yang mengadakan kegiatan-kegiatan berskala besar dengan ramai peserta.

Anggaran Waktu Membaca:
Hanya SafeEntry dengan TraceTogether akan digunakan di lokasi popular apabila S'pura sambung semula aktiviti berskala besar

Seorang lelaki menunjukkan token TraceTogether. (Gambar: Pejabat Generasi Warga Emas)

Diterbitkan : 20 Oct 2020 11:17PM Dikemas Kini : 20 Oct 2020 11:23PM

SINGAPURA: Tidak lama lagi, orang ramai akan diwajibkan menggunakan aplikasi TraceTogether atau token untuk mendaftar masuk melalui SafeEntry di lokasi-lokasi yang mengadakan kegiatan-kegiatan berskala besar dengan ramai peserta.

Pejabat Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGO) mengumumkan pada Selasa (20 Okt) bahawa hanya TraceTogether dengan SafeEntry akan dilaksanakan secara bertahap-tahap di tempat-tempat popular merata Singapura menjelang hujung tahun ini.

Peralihan daripada kaedah-kaedah lain selain SafeEntry seperti mengimbas kad pengenalan, adalah penting sedang negara ini bersiap sedia untuk menyambung semula acara berskala besar dan membuka semula ekonominya dengan selamat di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Program TraceTogether, yang terdiri daripada sebuah aplikasi dan token, bergantung kepada data berasaskan jarak untuk menyediakan senarai awal kontak rapat bagi kes-kes COVID-19.

Bersama dengan SafeEntry dan sistem-sistem digital yang berkaitan, program itu akan membolehkan pasukan-pasukan pengesanan kontak untuk mengurangkan masa yang diperlukan untuk mengenal pasti dan mengkuarantin seorang kontak rapat dari empat hari kepada kurang dua hari secara purata.

Ini akan membantu mencegah penularan COVID-19 dalam masyarakat.

Apabila hanya SafeEntry dan TraceTogether dilaksanakan di sesebuah lokasi, para pengunjung tidak lagi boleh memasukinya menggunakan kod QR dengan kamera telefon bijak mereka, menggunakan SingPass Mobile atau mengimbas kad pengenalan masing-masing.

Sebaliknya, mereka perlu menggunakan aplikasi TraceTogether untuk mengimbas kod QR di tempat itu atau membenarkan kakitangan yang menjaga pintu masuk mengimbas kod QR di token TraceTogether.

PELANCARAN BERTAHAP-TAHAP

Sejak Ogos, SafeEntry dengan TraceTogether diuji di beberapa lokasi dengan ramai pengunjung atau di mana ramai orang dijangka akan berada pada jarak yang dekat antara satu sama lain bagi tempoh yang panjang.

Dari sekarang sehingga pertengahan November, hanya TraceTogether dengan SafeEntry akan digunakan di tempat-tempat yang menganjurkan aktiviti-aktiviti yang menarik ramai orang.

Ini termasuk pawagam, tempat-tempat ibadat dengan lebih 100 orang, dan tempat-tempat yang menganjurkan persembahan secara langsung dan acara perniagaan.

"Orang ramai yang merancang untuk menghadiri aktiviti-aktiviti sebegini digalakkan supaya memuat turun aplikasi TraceTogether atau mengambil token TraceTogether secepat mungkin," nasihat SNDGO.

Dapatkan maklumat untuk mengambil token TraceTogether anda di https://token.gowhere.gov.sg/.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan