Skip to main content

Iklan

Iklan

Hanya 2 orang boleh duduk makan di cawangan F&B; perhimpunan sosial dikurangkan

Had saiz kumpulan yang dibenarkan untuk duduk makan di cawangan makanan dan minuman (F&B) akan dikurangkan kepada dua individu yang sudah lengkap divaksin mulai Isnin (27 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 24 Sep 2021 07:25PM Dikemas Kini : 24 Sep 2021 09:38PM

SINGAPURA: Had saiz kumpulan yang dibenarkan untuk duduk makan di cawangan makanan dan minuman (F&B) akan dikurangkan kepada dua individu yang sudah lengkap divaksin mulai Isnin (27 Sep).

Had perhimpunan sosial juga dikurangkan, demikian menurut pengumuman Kementerian Kesihatan (MOH) hari ini (24 Sep).

Ini sedang kes COVID-19 terus meningkat di Singapura sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Sekatan-sekatan baru itu akan dilaksanakan mulai 27 September hingga 24 Oktober dan MOH akan menyemak semula langkah-langkah tersebut dua minggu selepas ia dilaksanakan dan membuat penyesuaian berdasarkan keadaan dalam masyarakat ketika itu.

"Kita tidak perlu kembali ke fasa kewaspadaan dipertingkat. Tetapi, kita harus melakukan lebih banyak lagi untuk mengurangkan interaksi sosial demi memperlahankan kadar penularan dalam masyarakat dan membolehkan keadaan menjadi lebih stabil," menurut MOH.

DUDUK MAKAN DI CAWANGAN F&B

Kumpulan-kumpulan sehingga dua individu akan dibenarkan duduk makan di cawangan-cawangan F&B sekiranya kesemua pelanggan sudah divaksin sepenuhnya. Ini dikurangkan daripada had lima orang sekarang ini.

Individu-individu yang belum divaksin dengan keputusan negatif ujian praacara yang sah, mereka yang sudah sembuh daripada jangkitan dan kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah boleh membentuk kumpulan dua orang di cawangan-cawangan F&B, tambah MOH.

Cawangan-cawangan F&B yang tidak dapat memastikan bahawa kesemua pelanggan yang duduk makan di premisnya memenuhi kriteria sudah vaksin sepenuhnya hanya boleh menyediakan khidmat bawa pulang atau penghantaran.

Peraturan-peraturan untuk duduk makan di pusat-pusat penjaja dan kedai-kedai kopi kekal tidak berubah.

"Oleh sebab pusat-pusat penjaja dan kedai-kedai kopi menawarkan khidmat penting makanan bagi masyarakat, kebenaran untuk duduk makan di premis-premis tersebut dikekalkan dalam kumpulan sehingga dua orang, tidak kira status vaksinasi," menurut MOH.

Hiburan seperti persembahan secara langsung, muzik, rakaman video atau tayangan televisyen di cawangan-cawangan F&B terus dilarang, tambah MOH.

"Para pelanggan cawangan-cawangan F&B juga dinasihatkan agar mematuhi semua langkah pengurusan selamat dan memakai pelitup pada setiap masa kecuali apabila sedang makan atau minum," tegas MOH.

HAD PERHIMPUNAN SOSIAL DIKURANGKAN

Saiz kumpulan yang dibenarkan bagi perhimpunan sosial juga akan dikurangkan dari maksimum lima orang kepada hanya dua.

Jumlah maksimum pelawat unik bagi setiap isi rumah juga akan dikurangkan kepada dua orang setiap hari berbanding lima sekarag ini. Had itu tidak dikenakan kepada cucu-cucu yang dijaga datuk nenek mereka.

"Para individu seharusnya terus menghadkan jumlah perhimpunan sosial secara keseluruhannya kepada tidak melebihi satu setiap hari, sama ada untuk ke rumah orang lain atau bertemu dengan kawan-kawan dan anggota keluarga di tempat awam," nasihat MOH.

"Kami amat menggalakkan semua individu untuk mengurangkan kegiatan sosial dan rajin memakai pelitup.

"Khususnya, warga emas dan individu dengan pelbagai penyakit yang lebih mudah mengalami sakit teruk, seharusnya tinggal di rumah sebanyak mungkin, kecuali untuk melakukan kegiatan penting seperti bekerja, membeli makanan dan barangan runcit, berjumpa doktor dan bersenam secara individu di lokasi-lokasi tidak sesak."

MOH memberi amaran bahawa sekiranya kes jangkitan terus meningkat, Singapura boleh menjangkakan ia "mencapai angka harian sekitar 3,200 kes minggu hadapan". Ia tidak menolak kemungkinan kes "terus berganda".

"Untuk mengurangkan beban ke atas keupayaan jagaan kesihatan secara keseluruhannya, kami harus memperketat langkah-langkah sebelum keadaan itu berlaku," menurut kementerian tersebut.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan