Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Hampir 60% penduduk Jepun ditinjau mahu Sukan Olimpik dibatalkan

Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu, yang sudah ditangguhkan setahun disebabkan pandemik, dijadual berlangsung mulai 23 Julai.

Anggaran Waktu Membaca:
Hampir 60% penduduk Jepun ditinjau mahu Sukan Olimpik dibatalkan

43 lokasi dan jadual pertandingan disahkan ketika sesi Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC). (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 10 May 2021 10:48AM Dikemas Kini : 10 May 2021 10:50AM

JEPUN: Hampir 60 peratus penduduk di Jepun mahu Sukan Olimpik Tokyo dibatalkan.

Demikian menurut dapatan tinjauan yang dikeluarkan hari ini (10 Mei), kurang tiga bulan sebelum Sukan Olimpik dijadual bermula di negara itu.

Jepun sudahpun melanjutkan keadaan darurat di Tokyo sehingga hujung Mei dan sedang bergelut dengan peningkatan pada jumlah kes COVID-19, sekali gus menimbulkan tanda tanya sama temasya sukan itu akan diteruskan.

Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu, yang sudah ditangguhkan setahun disebabkan pandemik, dijadual berlangsung mulai 23 Julai.

Dapatan tinjauan, yang dijalankan antara 7 dengan 9 Mei oleh akhbar Yomiuri Shimbun, menunjukkan 59 peratus penduduk mahu acara itu dibatalkan berbanding 39 peratus yang berkata ia patut diteruskan. "Penangguhan" tidak diberikan sebagai pilihan.

Daripada mereka yang mahu Sukan Olimpik diteruskan, 23 peratus berkata ia perlu diteruskan tanpa penonton.

Penonton warga asing sudah dilarang daripada menghadiri acara-acara Sukan Olimpik tetapi keputusan muktamad tentang penonton domestik akan dibuat pada Jun nanti.

Satu lagi tinjauan yang dijalankan pada hujung minggu oleh TBS News mendapati 65 peratus penduduk mahu acara sukan itu dibatalkan atau ditangguhkan sekali lagi, dengan 37 peratus mengundi agar ia dibatalkan sama sekali manakala 28 peratus mahu ia ditangguhkan lagi.

Tinjauan serupa yang dijalankan pada April oleh agensi berita Kyodo mendapati 70 peratus penduduk mahu ia dibatalkan atau ditangguhkan.

Pegawai atasan Sukan Olimpik, John Coates, pada Sabtu (8 Mei) berkata meskipun sentimen penduduk Jepun terhadap acara sukan itu "membimbangkan", beliau boleh membayangkan keadaan di mana ia tidak akan diadakan.

Perdana Menteri Jepun Yoshihide Suga sudah berulang kali berikrar akan meneruskan Sukan Olimpik meskipun berdepan kenaikan kes COVID-19.

Tinjauan TBS menunjukkan kadar sokongan terhadapnya adalah 40 peratus, hampir ke paras rekod terendah awal tahun ini.

Semalam (9 Mei), pemain tenis Jepun Naomi Osaka berkata meskipun dia sudah menunggu sepanjang hayatnya untuk mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik, risiko menganjurkan Sukan Olimpik Tokyo perlu dibincangkan dengan teliti.

Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan