Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hampir 1,500 peluang kerja ditawarkan dalam sektor kejuruteraan jitu: MOM

Hampir 1,500 peluang pekerjaan, latihan dan penempatan disediakan oleh lebih 270 syarikat kejuruteraan jitu di bawah Pakej Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited sejak April, sedang industri itu terus berkembang meskipun di tengah-tengah kemelesetan akibat pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 14 Sep 2020 01:53PM Dikemas Kini : 14 Sep 2020 11:51PM

SINGAPURA: Hampir 1,500 peluang pekerjaan, latihan dan penempatan disediakan oleh lebih 270 syarikat kejuruteraan jitu di bawah Pakej Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited sejak April, sedang industri itu terus berkembang meskipun di tengah-tengah kemelesetan akibat pandemik COVID-19.

Pekerjaan membentuk kebanyakan daripada peluang yang ditawarkan, dengan 750 daripadanya merupakan jawatan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) dan 230 adalah jawatan bukan PMET, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) mengenai laporan keadaan pekerjaan mingguan terkini yang dikeluarkan pada Isnin (14 Sep).

Daripada 440 program latihan dan penempatan yang ditawarkan, 360 adalah bagi PMET dan 80 bagi bukan PMET.

Sementara itu, terdapat 60 peluang latihan bagi PMET dan 20 bagi bukan PMET.

Secara keseluruhan, sekitar lapan daripada setiap 10 adalah jawatan PMET seperti jurutera produk, jurutera elektrikal dan elektronik serta inspektor penjaminan mutu.

Syarikat-syarikat juga menawarkan jawatan bukan PMET seperti pengendali pengeluaran, pengimpal (welder) dan pemasang paip.

Gaji yang ditawarkan bagi peranan-peranan dalam sektor kejuruteraan jitu berbeza-beza mengikut jenis pekerjaan dan keperluan kemahiran, menurut laporan MOM itu. Ia dianggarkan antara S$1,500 bagi mereka yang mula bekerja sebagai teknisyen hingga S$6,000 bagi para jurutera berkemahiran lebih tinggi.

MOM juga menyatakan lebih daripada 260 pemohon kerja telah mendapat pekerjaan dalam industri kejuruteraan jitu menerusi Pakej Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited antara April dengan Julai.

Daripada jumlah itu, lebih daripada 40 peratus adalah golongan individu pertengahan kerjaya yang menyertai program peralihan kerjaya. Sebahagian besar daripada mereka adalah daripada industri elektronik, tenaga, kimia, logistik, teknologi infokom serta gas dan minyak.

Sejak April lalu, lebih daripada 30 pemohon kerja juga sudah menjalani program latihan dan penempatan dalam industri berkenaan.

RUANG PERTUMBUHAN

Kejuruteraan jitu merupakan sebahagian penting daripada ekonomi pengeluaran sejagat, membekalkan produk penting dan kemahiran bagi pengeluaran komponen rumit dan peralatan yang digunakan dalam industri-industri lain seperti semikonduktor, teknologi perubatan, marin, luar pesisir dan aeroangkasa.

Di Singapura, ia menggajikan lebih seperlima daripada 473,000 pekerja dalam sektor pengeluaran yang lebih luas. Ia menyumbang sekitar S$38 bilion kepada hasil pengeluaran keseluruhan pada tahun lalu.

Industri itu juga terus menyaksikan "ruang pertumbuhan" di tengah-tengah kemelesetan yang berlaku, dengan mencatatkan pertumbuhan sekitar 11.4 peratus pada tujuh bulan pertama tahun ini, berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan