Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Geran Pemulihan COVID-19 (Sementara) dibuka bagi permohonan online mulai 3 Jun

Para individu yang layak menerima Geran Pemulihan COVID-19 (Sementara), atau CRG-T, boleh memohon secara online mulai Khamis ini (3 Jun). 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 31 May 2021 11:30AM Dikemas Kini : 31 May 2021 09:00PM

SINGAPURA: Para individu yang layak menerima Geran Pemulihan COVID-19 (Sementara), atau CRG-T, boleh memohon secara online mulai Khamis ini (3 Jun) hingga 2 Julai. 

CRG-T akan dilancarkan oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) untuk menghulurkan sokongan kewangan sekali sahaja kepada para individu yang diletakkan di bawah cuti tanpa gaji atau berpotensi kehilangan mata pencarian akibat pelaksanaan langkah-langkah pengurusan selamat lebih ketat sekarang.

Dalam catatan Facebooknya hari ini (31 Mei), Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli berkata CRG-T akan melengkapkan Geran Pemulihan COVID-19 (CRG) sedia ada bagi menyediakan bantuan kewangan sementara semasa tempoh Fasa 2 (Kewaspadaan Dieprtingkat), yang berkuat kuasa sehingga 13 Jun.

Menurut Encik Masagos, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, CRG-T adalah satu tambahan kepada rangkaian skim bantuan yang diperkenalkan Pemerintah tahun lalu untuk membantu perniagaan serta individu yang terjejas mata pencarian mereka dek pandemik.

"Setelah bantuan CRG-T seseorang itu berakhir, penerima CRG-T masih boleh layak mendapatkan sokongan CRG jika mereka terus memerlukan bantuan dan memenuhi kriteria kelayakan," tambah Encik Masagos.

CRG-T diumumkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) pada Jumaat lalu untuk para pekerja bergaji rendah hingga pertengahan yang terjejas secara kewangan akibat langkah-langkah COVID-19 yang diperketatkan baru-baru ini. Para individu bekerja sendiri yang layak, juga akan dapat menerima sokongan tersebut.

Individu layak yang dikenakan cuti tanpa gaji buat sekurang-kurangnya sebulan antara tempoh Kewaspadaan Dipertingkat dari 16 Mei hingga 30 Jun boleh menerima pembayaran sekali saja sehingga S$700.

Para pekerja yang turut mengalami kehilangan mata pencarian yang besar sekurang-kurangnya 50 peratus untuk sekurang-kurangnya sebulan dalam tempoh yang sama boleh menerima pembayaran sekali sahaja sehingga S$500, menurut MOF.

Portal permohonan online beroperasi 24 jam setiap hari termasuk pada hujung minggu dan cuti umum.

Lebih banyak perincian mengenai kriteria kelayakan dan butiran permohonan boleh didapatkan di https://go.gov.sg/CRGT.

"Sila kongsikan perkara ini dengan mereka yang boleh meraih manfaat daripada CRG-T. Marilah kita terus menjaga satu sama lain dan bangkit lebih teguh bersama," ujar Encik Masagos. 

Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan