Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Gerabak kereta api dijadikan wad rawat pesakit COVID-19 di India

India menyatakan ia merancang untuk menggunakan sebilangan gerabak kereta api sebagai wad-wad pengasingan bagi pesakit COVID-19, sedang pihak berkuasa membuat persiapan pada prasarana kesihatan negara itu bagi menghadapi jumlah jangkitan yang dijangka akan meningkat dengan mendadak.

Anggaran Waktu Membaca:
Gerabak kereta api dijadikan wad rawat pesakit COVID-19 di India

Seorang lelaki berjalan di platform kereta api yang lengang semasa perintah berkurung dikuatkuasakan di New Delhi untuk mengekang penularan virus COVID-19. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 29 Mar 2020 10:04AM Dikemas Kini : 29 Mar 2020 10:07AM

NEW DELHI/ISLAMABAD: India pada Sabtu (28 Mac) menyatakan ia merancang untuk menggunakan sebilangan gerabak kereta api sebagai wad-wad pengasingan bagi pesakit COVID-19, sedang pihak berkuasa membuat persiapan pada prasarana kesihatan negara itu bagi menghadapi jumlah jangkitan yang dijangka akan meningkat dengan mendadak.

Perdana Menteri Narendra Modi mengarahkan 1.3 bilion penduduk negara itu supaya duduk di rumah selama tiga minggu, yang disifatkan sebagai perintah berkurung terbesar di dunia, dalam usaha untuk membendung penularan wabak tersebut.

Rangkaian kereta api India tidak lagi beroperasi sejak perintah berkurung itu dikuatkuasakan.
Salah sebuah gerabak kereta api sudahpun dijadikan sebagai prototaip kemudahan kuarantin, menurut kenyataan Indian Railways milik pemerintah negara itu.

Apabila diluluskan kelak, rancangan India seterusnya adalah untuk setiap zon kereta api di negara itu  mengubah dan menjadikan 10 gerabak sebagai wad pengasingan setiap minggu, tambah syarikat tersebut.

Menurut laman Indian Railways, ia mempunyai 16 zon kereta api di India.
"Kereta api akan menawarkan persekitaran yang bersih untuk para pesakit pulih daripada jangkitan COVID-19," menurut ciapan Menteri Kereta Api India, Piyush Goyal di Twitter. Beliau bagaimanapun tidak pula mendedahkan berapa ramai pesakit akan dirawat dalam setiap gerabak.

Sejauh ini, India sudah mengesahkan 918 kes COVID-19 termasuk 19 kematian.
Perintah berkurung yang dikuatkuasakan itu menjejas teruk golongan miskin India, termasuk berjuta-juta buruh kasar yang kehilangan pekerjaaan. Ramai daripada mereka kini berjalan kaki untuk pulang ke kampung halaman masing-masing atau ke pusat pertukaran bas yang penuh sesak dalam usaha untuk menaiki pengangkutan awam, sekali gus meningkatkan kebimbangan mereka akan merebakkan virus tersebut ke merata India.

Pada Sabtu, seorang buruh kasar yang berjalan kali sejauh 270 kilometer dari New Delhi ke kampung halamannya di Madhya Pradesh, rebah lalu mati, menurut seorang pegawai polis.
Kementerian Dalam Negeri India mengeluarkan kenyataan semalam yang menasihati semua wilayah di negara itu supaya menyediakan makanan dan tempat berteduh kepada buruh kasar di kem-kem perlindungan sementara yang dibangunkan di kawasan lebuh raya.

Secara keseluruhannya, jumlah kes jangkitan COVID-19 di Asia Selatan sudah meningkat kepada 2,648 dengan 39 kematian dilaporkan. Sri Lanka melaporkan kematian pertama akibat jangkitan virus tersebut semalam, melibatkan seorang pemandu pelancong berusia 65 tahun yang menghidap penyakit kencing manis.

Meskipun angka korban di Asia Selatan dianggap rendah, terdapat kebimbangan jumlah tersebut akan meningkat disebabkan oleh khidmat kesihatan yang lemah dan kepadatan penduduk yang tinggi.

Di Pakistan misalnya, polis memberkas 38 imam dan pegawai masjid kerana melanggar larangan yang dikuatkuasakan terhadap solat berjemaah, sedang jumlah jangkitan meningkat kepada lebih 1,400 kes di negara itu.

Sebuah pesawat yang membawa bekalan bantuan dan lapan doktor dari China mendarat di Islamabad semalam, menurut kenyataan Kementerian Luar Pakistan.

Sebelum ini, China sudah menghantar kit ujian, pelitup, kelengkapan perlindungan diri dan perkakas perubatan yang lain ke Pakistan.

Di Nepal pula, lebih 600 pelancong dari Eropah sudah meninggalkan negara itu dengan menaiki pesawat-pesawat khas yang disewa, dengan beribu-ribu lagi masih menunggu giliran untuk dibawa pulang ke negara asal mereka.

Sumber : Reuters/AW/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan