Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Filipina dicengkam maklumat palsu yang menentang penggunaan vaksin

Maklumat palsu online disebarkan melalui telefon bimbit murah dan pelan Facebook percuma yang digunakan oleh jutaan penduduk di Filipina, meyakinkan orang ramai supaya menolak suntikan vaksin bagi penyakit polio dan penyakit-penyakit lain yang memudaratkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Filipina dicengkam maklumat palsu yang menentang penggunaan vaksin

(Gambar: Agensi berita)

Diterbitkan : 11 Oct 2020 08:51PM Dikemas Kini : 11 Oct 2020 08:58PM

MANILA: Maklumat palsu online disebarkan melalui telefon bimbit murah dan pelan Facebook percuma yang digunakan oleh jutaan penduduk di Filipina, meyakinkan orang ramai supaya menolak suntikan vaksin bagi penyakit polio dan penyakit-penyakit lain yang memudaratkan.

Kadar suntikan vaksin kanak-kanak menjunam di negara itu - dari 87 peratus pada 2014 kepada 68 peratus - mencetuskan wabak sakit campak dan kemunculan semula penyakit polio di negara itu pada tahun lalu.

Satu kempen menghasut dan berbaur politik menyebabkan vaksin denggi Dengvaxia ditarik balik pada 2017 dan dilihat sebagai pemacu utama bagi kemerosotan itu.

Namun, pakar-pakar kesihatan mengatakan maklumat palsu mengenai vaksin yang semakin cepat disebarkan turut menjejas keyakinan ramai terhadap kesemua jenis vaksin.

'RACUN KEPADA MANUSIA'

Minat terhadap kandungan berkaitan gerakan anti-vaksin di wadah online melonjak semasa pandemik ini sedang saintis di seluruh dunia berlumba-lumba untuk mencipta vaksin yang berkesan.

Jumlah pengikut kumpulan dan laman anti vaksin di Facebook di Filipina pula meningkat sebanyak 190,000 kepada sekitar 500,000, menurut data terkini oleh wadah pemantauan media sosial CrowdTangle.

Cik April Villa dari bahagian utara wilayah Laguna dan mempunyai dua orang anak, adalah sebahagian daripada pengikut gerakan anti vaksin.

Beliau mengikuti kumpulan "TIDAK KEPADA VAKSIN - FILIPINA" di Facebook, yang dimulakan pada Julai dan kini mempunyai lebih 2,000 anggota.

Menurutnya, beliau menyertai kumpulan itu supaya mendapat akses kepada "maklumat yang tidak diajar oleh sistem pendidikan negara itu".

"Ia berbahaya kepada tubuh manusia, ia membunuh antibodi semulajadi," kata Cik Villa kepada AFP, menjelaskan pandangannya mengenai vaksin, sambil menambah bahawa beliau akan menolak suntikan vaksin COVID-19 jika ditawarkan.

FAKTOR TAKUT

Sebilangan besar daripada 73 juta pengguna Internet di Filipina mempunyai akaun Facebook, menurut syarikat perunding media berpangkalan di Britain, We Are Social.

Hampir mempunyai akses kepada laman itu melalui telefon bimbit mereka, di mana Facebook memberikan data secara percuma untuk melungsuri versi terhad Facebook dan laman-laman terpilih yang lain.

Ramai penduduk miskin Filipina bergantung pada pelan Asas Percuma Facebook untuk menggunakan Internet, sekaligus membuat mereka lebih terperangkap dalam maklumat yang disiarkan media sosial gergasi itu.

Menurut pengurus program imunisasi di jabatan kesihatan Filipina Dr Wilda Silva, maklumat palsu mengenai vaksin "tersebar dengan lebih pantas dan secara meluas berbanding maklumat yang tepat".

"Sebaik sahaja anda memanfaatkan naluri rasa takut penduduk, pandangan orang ramai akan cepat berubah dan rasa takut akan kekal dalam fikiran mereka untuk tempoh yang lama," kata Dr Silva. Beliau melahirkan rasa kebimbangan kemungkinan berlaku penularan penyakit yang dapat dicegah pada tahun depan.

Rasa takut itu juga boleh menjejas sambutan terhadap vaksin COVID-19 - meskipun dalam kalangan mereka yang menyokong pengambilan vaksin - di negara itu yang berdepan kadar jangkitan tertinggi di Asia Tenggara.

"Saya yakin keberkesanan vaksin 100 peratus," kata Cik Jett Bucho, yang berasal dari sebuah kejiranan miskin di San Jose del Monte, setelah anak perempuannya yang berusia satu tahun diberi suntikan vaksin bagi polio.

Namun wanita berusia 26 tahun itu berkata teori yang disebarkan online bahawa vaksin virus korona boleh digunakan untuk memasukkan cip dan mengawal manusia turut menimbulkan keraguan dalam dirinya.

"Di Facebook, jika anda terus melungsurinya, anda akan dapat melihat kandungan sebegitu," katanya.

"Ia menakutkan."

Sumber : AFP/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan