Virus Korona

Images
  • duterte (1)
    Presiden Rodrigo Duterte. (Gambar: REUTERS/Eloisa Lopez)

Duterte saran rakyat Filipina guna petrol cuci pelitup, katakan 'tidak bergurau'

MANILA: Presiden Filipina Rodrigo Duterte pada Jumaat (31 Jul) mencadangkan kepada rakyatnya supaya menggunakan petrol sebagai pembasmi kuman bagi pelitup perlindungan, sambil menekankan bahawa nasihatnya bukan satu gurauan.

Pemimpin yang lantang bersuara itu pada minggu lalu membuat komen serupa mengenai penggunaan petrol pada pelitup jika bahan pembasmi kuman tidak tersedia. Namun jurucakapnya berkata bahawa komen Encik Duterte itu adalah satu gurauan dan mengingatkan orang awam bahawa Encik Duterte sering berseloroh.

"Apa yang saya katakan adalah benar," kata Encik Duterte dalam satu ucapan yang disiarkan di televisyen pada Jumaat. "Pergi saja ke stesen isi minyak, dan ambil beberapa titisan gasolin, itu adalah pembasmi kuman."

Beliau menambah: "Saya tidak bergurau. Itu benar. Anda fikir saya hanya bergurau."

Penggunaan pelitup diwajibkan sejak Mac di Filipina, yang telah mengesahkan hampir 90,000 kes jangkitan dan lebih daripada 2,000 kematian akibat virus itu.

Ia melaporkan kenaikan tertinggi jumlah kes baru virus korona di Asia Tenggara buat hari kedua berturut-turut pada Jumaat, sedang Encik Duterte melanjutkan sekatan bagi membendung penularan virus itu, dan menjanjikan keadaan akan kembali biasa pada Disember.

Para pakar perubatan berkata tip pembersihan pelitup Encik Duterte tidak disarankan.

"Anda tidak boleh gunakan gasolin sebagai pembasmi kuman. Menghidunya boleh memudaratkan diri dan ia boleh menyebabkan lebih banyak masalah seperti penyakit pernafasan," kata Presiden Persatuan Perubatan Filipina Jose Santiago kepada Reuters.

Pakar-pakar perubatan menyarankan sabun dan air untuk mencuci pelitup kain guna semula, dan 70 peratus alkohol ethyl atau isopropyl bagi pembasmian kuman secara menyeluruh.

- Reuters/HA/ha

Top