Skip to main content

Iklan

Iklan

Duduk makan di luar kembali ke 2 orang semeja; 5 orang jika semua lengkap divaksinasi

Kegiatan duduk makan di premis makanan dan minuman (F&B) akan dikurangkan kepada dua orang sekumpulan bagi mereka yang belum divaksin sepenuhnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 16 Jul 2021 07:15PM Dikemas Kini : 16 Jul 2021 09:38PM

SINGAPURA: Kegiatan duduk makan di premis makanan dan minuman (F&B) akan dikurangkan kepada dua orang sekumpulan bagi mereka yang belum divaksin sepenuhnya.

Demikian diumumkan pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian (MTF) COVID-19, Gan Kim Yong.

Mereka yang sudah divaksin sepenuhnya boleh terus duduk makan di luar dalam kumpulan lima orang, tambah beliau, ketika berucap di sidang media hari ini (16 Jul).

Langkah itu dan langkah-langkah lain yang diperketatkan ke atas sekitaran tertutup berisiko tinggi yang tidak memerlukan pelitup akan berkuat kuasa dari 19 Julai hingga 8 Ogos.

“Pendekatan tertumpu ini akan melindungi dengan lebih baik mereka yang belum lagi divaksinasi sementara membenarkan mereka yang sudahpun divaksinasi sepenuhnya untuk meneruskan dengan langkah-langkah sedia ada," jelas Encik Gan yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan.

Seseorang dianggap sudah divaksinasi sepenuhnya dua minggu selepas mereka menerima dos kedua vaksin-vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty atau Moderna, menurut MOH dalam kenyataan media berasingan.

Individu yang belum divaksinasi namun menerima keputusan negatif dalam ujian pra-acara COVID-19 yang sah atau mereka yang sudah sembuh daripada koronavirus boleh menyertai kegiatan-kegiatan itu dalam kumpulan lima orang, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Kegiatan duduk makan semeja dalam kumpulan lima orang disambung semula di seluruh negara pada Isnin lalu (12 Jul) kerana jumlah kes COVID-19 dalam masyarakat berkurangan pada minggu sebelumnya.

Langkah-langkah baru itu dilaksanakan setelah wujud kelompok baru yang terkait dengan pusat-pusat KTV muncul sehari selepas peraturan lima orang duduk makan semeja disambung semula.

Setakat Jumaat, sebanyak 120 kes berhubung kait dengan kelompok KTV sekali gus menjadikannya kelompok aktif COVID-19 yang terbesar di Singapura.

KANAK-KANAK DI BAWAH 12 TAHUN

Memandangkan kanak-kanak di bawah usia 12 tahun tidak layak bagi sebarang vaksin COVID-19 di bawah program vaksinasi nasional Singapura, mereka juga boleh duduk makan semeja dengan anggota keluarga yang tinggal serumah tanpa perlu menjalani ujian pra-acara, menurut kenyataan tersebut.

Had duduk makan di premis F&B bagi kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawa untuk senario berbeza. (Gambar: MOH)

(Had duduk makan di premis F&B bagi kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawa untuk senario berbeza. Gambar: MOH)

“Seluruh kumpulan itu tidak seharusnya melebihi lima orang. Jika kanak-kanak bukan daripada isi rumah yang sama, maka mereka mestilah terdiri tidak lebih daripada separuh kumpulan makan itu," menurut MOH lagi.

Perniagaan-perniagaan F&B "diberi kelonggaran untuk memutuskan" sama ada untuk memperkenalkan saiz kumpulan yang dibezakan mengikut vaksinasi, bergantung kepada model operasinya, pelanggan serta jika ia boleh memeriksa status para individu yang akan duduk makan di tempatnya, jelas MOH.

Ia menambah, di pusat-pusat penjaja, pusat makanan dan kedai kopi, saiz kumpulan akan dikekalkan kepada dua orang.

Ini adalah persekitaran "lebih mudah terjejas" dan secara amnya tidak mewajibkan pendaftaran SafeEntry. Lantas, ia akan menjadi mencabar untuk memeriksa sama ada para individu sudahpun divaksin atau mempunyai hasil ujian negatif COVID-19 sebelum mereka duduk makan dna minum, jelas MOH.

Persembahan secara langsung, rakaman muzik dan video terus dilarang di premis-premis F&B.

MAJLIS JAMUAN PERKAHWINAN

Bagi majlis jamuan perkahwinan, ia boleh diteruskan dengan kumpulan lima orang semeja tanpa mewajibkan semua individu di dalam kumpulan itu mesti divaksinasi sepenuhnya, menurut MOH.

Selain itu, tiada perubahan pada peraturan ujian pra-acara - majlis jamuan boleh melibatkan sehingga 250 orang dengan ujian sebelum acara dilaksanakan dan 50 orang sekiranya ujian pra-acara dijalani oleh pihak pengantin sahaja.

“Kami akur bahawa pasangan mempelai berdepan keadaan tidak menentu ketara sepanjang beberapa bulan lalu. Maka itu, kami akan membenarkan acara kehidupan penting ini untuk diteruskan pada jumlah sedia ada dan peruntukan PET supaya pasangan pengantin tidak perlu menyemak semula rancangan perkahwinan mereka lagi," terang MOH.

"KELOMPOK AMAT BESAR" MUNGKIN MUNCUL

“Mengapa kami melakukan ini? Kerana ada risiko nyata bahawa kes-kes daripada kelompok-kelompok ini sudah merebak ke dalam masyarakat terutama jika ada individu yang belum tampil ke hadapan untuk menjalani ujian," menurut pengerusi bersama MTF Lawrence Wong.

“Kami mengesyaki ada individu seumpama itu dan mereka mungkin sudah menyebabkan virus itu menular kepada orang ramai di sekeliling mereka. Ini bermakna kita akan menyaksikan kelompok sangat besar muncul sepanjang beberapa minggu mendatang."

Untuk menangani kemunculan kelompok besar yang serupa dengan yang sebelum ini, Pemerintah akan memilih langkah-langkah diperketat "amat tegas", hampir sama seperti tempoh pemutus rantaian jangkitan, kata Encik Wong.

“Namun, perbezaannya hari ini adalah kita mempunyai kadar vaksinasi lebih tinggi dan maka itu, buat masa ini kami berpendapat bahawa tidak ada keperluan untuk langkah diperketat yang ketara seperti itu.

“Sebaliknya, kami akan mengambil pendekatan lebih tertumpu, menyesuaikan langkah-langkah kami berdasarkan status vaksinasi dan juga memantau kemasukan hospital serta kapasiti ICU dalam sistem kami." 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan