Virus Korona

Images
  • doku
    Wawancara dengan seorang penjual bakso dalam dokumentari Melangkah Pasca COVID-19.

Dokumentari khas Melangkah Pasca COVID-19 kupas kesan pandemik COVID-19 di 3 negara

SINGAPURA: Bermula Khamis ini, saluran SURIA akan menyiarkan satu siri dokumentari khas berjudul Melangkah Pasca COVID-19.

Dokumentari tiga episod itu mengupas secara mendalam bagaimana pandemik COVID-19 sudah merubah kehidupan di serata dunia - dari krisis kesihatan hinggalah kepada krisis sosio-ekonomi.

Tayangan previu dokumentari terbitan unit Ehwal Semasa Melayu Mediacorp itu diadakan secara online petang tadi dan dihadiri sekitar 30 peserta dari Singapura, Malaysia dan Indonesia.

Dokumentari khas Melangkah Pasca COVID-19 itu menyusur pertarungan melawan pandemik COVID-19 di negara seperti Indonesia, Malaysia dan Singapura sendiri dan bagaimana setiap negara menanganinya.

Selain itu, ia juga melihat kesan wabak itu ke atas kehidupan sosial, pekerjaan, ekonomi, pendidikan dan kesihatan di rantau ini.

DIHASILKAN SECARA KREATIF

Dek pelbagai sekatan perjalanan antarabangsa, dokumentari Melangkah Pasca COVID-19 itu dihasilkan secara kreatif menerusi gabungan tenaga kerja daripada ketiga-tiga negara.

Selain Singapura, dokumentari itu turut dirakam di Jakarta dan Bengkulu serta Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

Antara yang diketengahkan termasuklah cerita-cerita dari anak seorang profesor epidemiologi yang tewas setelah merawat pesakit COVID serta seorang doktor rawatan kecemasan yang terpaksa tinggal enam bulan di hotel kerana bimbang menularkan virus tersebut kepada keluarganya.

Penerbit dokumentari tersebut, Othman Bohari memberikan pandangannya: "Perspektif tentang apa yang berlaku di Malaysia dan juga di Indonesia, dan juga pengalaman di kedua negara tetangga kita itu berbeza dengan kita.

"Dan menerusi kumpulan cerita-cerita ini, bila kita rangkumkan, diharapkan dapat memberi suatu perspektif yang lebih segar bahawa kita bukan sendiri dalam melawan COVID-19 ini, ia adalah suatu masalah yang menjejas semua dan ia suatu episod yang telah membangkitkan mungkin semangat juang manusia itu, bukan hanya di Singapura, tetapi di negara lain dan bersama mungkin kita dapat menangani dan berjaya keluar lebih kuat pasca COVID-19."

Episod pertama Melangkah Pasca COVID-19 akan disiarkan Khamis ini pada 8.30 malam. 

- BERITAmediacorp/IM/na

Top