Dialog Shangri-La di S'pura dibatalkan ketika keadaan COVID-19 tidak menentu
Dialog Shangri-La, yang dijadualkan berlangsung pada 4 dan 5 Jun di Singapura, dibatalkan dua minggu sebelum pertemuan itu.
SINGAPURA: Dialog Shangri-La, yang dijadualkan berlangsung pada 4 dan 5 Jun di Singapura, dibatalkan dua minggu sebelum pertemuan itu.
Ini disebabkan keadaan COVID-19 global yang semakin buruk, menurut pihak penganjur sidang puncak pertahanan itu dalam satu kenyataan pada Khamis (20 Mei).
Dengan rasa kesal dan duka cita Institut Antarabangsa bagi Pengajian Strategik (IISS) perlu mengumumkan pembatalan Dialog Shangri-La 2021, menurut penganjur.
"Ramai menteri pertahanan, pegawai kanan, pemimpin korporat dan ahli strategi berpengaruh dari Asia, Amerika Utara, Timur Tengah dan Eropah sudah mengesahkan kehadiran mereka.
"IISS sudah bekerja keras bersama Pemerintah Singapura, khususnya berunding dengan Kementerian Pertahanan Singapura untuk memastikan Dialog yang berjaya tahun ini meskipun di tengah-tengah cabaran pandemik," menurut IISS.
Pada Isnin (17 Mei), IISS menyatakan Dialog Shangri-La "masih dalam jadual" untuk diadakan secara fizikal di Singapura. Ini meskipun Mesyuarat Tahunan Khas Forum Ekonomi Dunia (WEF), yang dijadualkan diadakan pada bulan Ogos sudah dibatalkan tiga bulan sebelum itu.
Meskipun di tengah-tengah pandemik COVID-19, IISS menyatakan ia yakin dengan peranan "diplomasi secara bersemuka" untuk menghuraikan masalah-masalah global.
"Kami terus menganjurkan acara-acara secara fizikal dengan berjaya, termasuk Dialog Manama IISS di Bahrain, yang diadakan pada 2020 dan akan berlangsung sekali lagi pada 19 dan 20 November 2021."
Malangnya, keadaan COVID-19 global semakin buruk baru-baru ini, antaranya disebabkan peningkatan penularan varian-varian baru, tambahnya.
"Di Singapura, terdapat kenaikan kes dalam masyarakat, pelaksanaan sekatan-sekatan baru dan kemungkinan ia diperketatkan lagi tidak boleh ditolak dan semua itu mewujudkan keadaan tidak menentu. Menimbangkan semua faktor itu bermakna, Dialog Shangri-La tidak dapat diadakan."
Menurut IISS ia kekal komited untuk menganjurkan Dialog Shangri-La, yang diadakan setiap tahun sejak 2002, sehingga pandemik ini menghambat usahanya.
Institusi itu menambah bahawa pejabat IISS-Asia di Singapura akan meneruskan program-program kajian dan acara, di samping merancang Forum Fullerton IISS yang akan datang pada Januari 2022 serta kembali menganjurkan Dialog Shangri-La secara fizikal pada pertengahan tahun depan.
Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyatakan dalam satu kenyataan menyusuli pengumuman itu bahawa ia menyokong keputusan IISS untuk membatalkan sidang puncak tersebut.
"Meksipun dikesali, ia langkah yang bertanggungjawab, dengan kesihatan serta keselamatan masyarakat tempatan dan peserta menjadi keutamaan," menurut MINDEF.
Menteri Pertahanan Ng Eng Hen hari ini menyatakan apabila undangan ke Dialog Shangri-La dikeluarkan awal tahun ini, IISS dan MINDEF bersikap "secara berhati-hati optimistik" bahawa langkah-langkah kawalan dan kempen vaksinasi yang sedang dijalankan di banyak negara akan membolehkan pertemuan fizikal diadakan di Singapura dalam bulan Jun.
"Kita terus berdepan cabaran-cabaran keselamatan meskipun sewaktu pandemik dan pertemuan secara bersemuka perlu bagi perbincangan secara berterus-terang dan mendalam antara para menteri pertahanan dengan para peserta lain. Inisiatif dan dasar penting sudah terhasil daripada Dialog Shangri-La, yang hari ini menyumbang kepada keamanan dan kestabilan di rantau ini dan malah menjangkauinya," menurut Dr Ng menerusi catatan Facebook.
"Kami berbesar hati dengan respons positif kepada undangan kami, terutama sekali daripada (Perdana Menteri Jepun Yoshihide Suga) dan ramai menteri pertahanan. Komitmen mereka untuk berada secara fizikal di Singapura mencerminkan keinginan kuat untuk mengadakan sesi dialog bermakna bagi menangani isu-isu penting keselamatan rentas negara yang kita semua hadapi. Saya berterima kasih kepada mereka semua atas sokongan kuat yang ditunjukkan."
Malangnya, kata Dr Ng pandemik COVID-19 "belum berkurangan dan malah bertambah buruk", lebih-lebih lagi di sebahagian Asia, disebabkan varian-varian yang lebih mudah berjangkit.
"Beberapa minggu mendatang terus mencabar dan tidak menentu. Oleh itu Dialog Shangri-La 2021 terpaksa dibatalkan. Keputusan ini dibuat setelah berunding dengan Pemerintah Singapura. Meskipun ia dikesali, ia adalah langkah bertanggungjawab, dengan kesihatan dan keselamatan masyarakat tempatan serta peserta menjadi keutamaan," tulis Dr Ng.
Beliau menambah pembatalan Dialog Shangri-La tidak mencerminkan komitmen berkurangan kepada dialog tersebut mahupun usaha pendampingan untuk menggalak keamanan dan kestabilan di Asia dan menjangkauinya.
"Sebaliknya, ia adalah contoh bagaimana COVID-19 mengganggu kelaziman, dalam semua aspek kehidupan dan sosial kita. Kami akan mencari saluran-saluran alternatif dan lebih selamat untuk mencapai matlamat ini."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.