Skip to main content

Iklan

Iklan

Dasar COVID-19 S'pura sekarang ini berkesan, mampu tangani lonjakan kes, kata pakar

Kes COVID-19 di Singapura yang semakin meningkat sekarang ini lebih tinggi daripada yang dijangkakan tetapi dasar-dasar pemerintah berkesan dan seharusnya mampu menangani lonjakan itu, menurut para pakar.

Anggaran Waktu Membaca:
Dasar COVID-19 S'pura sekarang ini berkesan, mampu tangani lonjakan kes, kata pakar

Gambar: Calvin Oh

Diterbitkan : 24 Sep 2021 05:24PM Dikemas Kini : 24 Sep 2021 05:26PM

SINGAPURA: Kes COVID-19 di Singapura yang semakin meningkat sekarang ini lebih tinggi daripada yang dijangkakan tetapi dasar-dasar pemerintah berkesan dan seharusnya mampu menangani lonjakan itu, menurut para pakar.

"Rakyat Singapura dan penduduk hijrahan di Singapura tidak perlu bimbang tentang jumlah kes COVID-19 yang semakin meningkat baru-baru ini," kata Dr John P Ansah, Penolong Profesor Program Khidmat Perubatan dan Sistem Kajian di Sekolah Perubatan Duke-NUS merangkap zamil fakulti di University Nasional Singapura(NUS).

"Dasar-dasar yang dilaksanakan pemerintah sekarang ini terbukti berkesan dan saya yakin ia mencukupi untuk menangani lonjakan kes sekarang ini."

Beliau menambah bahawa kebanyakan daripada kes-kes baru COVID-19 dijangka mengalami gejala ringan atau langsung tidak bergejala.

Meskipun kes-kes di Singapura mencecah jumlah tertinggi baru setiap hari, sepanjang 28 hari yang lalu, hanpir 98 peratus individu yang dijangkiti mengalami gejala ringan atau langsung tidak menunjukkan sebarang gejala, menurut kemas kini Kementerian Kesihatan (MOH) pada Khamis (23 Sep).

Dalam tempoh yang sama, sekitar 1.8 peratus memerlukan bantuan pernafasan, 0.2 peratus dirawat di Unit Jagaan Rapi (ICU) dan 0.1 peratus maut akibat virus itu.

Setakat Rabu (22 Sep), 82 peratus penduduk Singapura sudah lengkap rejimen vaksinasi atau sudah menerima dua dos vaksin COVID-19.

Profesor Dale Fisher, perunding kanan di Divisyen Penyakit Berjangkit Hospital Universiti Nasional (NUH), berkata Singapura menangani peralihan ke fasa endemik dengan "cara yang amat bijak dan rasional".

Kata beliau, kenaikan kes lebih cepat daripada yang dijangkakan tetapi "angka utama" adalah bilangan kes teruk di hospital.

"Hakikatnya, 98 peratus daripada kesemua kes tidak menunjukkan gejala atau mengalami gejala ringan," jelas Dr Fisher.

Profesor Paul Tambyah, timbalan pengarah Program Kajian Translasi Penyakit Berjangkit di Sekolah Perubatan Yong Loo Lin NUS berkata jumlah kes sekarang ini serupa dengan kebanyakan endemik jangkitan pernafasan di Singapura seperti batuk kering dan demam selesema.

"Masalahnya adalah ia merupakan penyakit baru dan itu sebabnya ramai orang berasa bimbang. Kita sudah terbiasa dengan batuk kering dan demam selesema kerana sudah hidup dengan kedua-duanya selama lebih seratus tahun," tambah beliau.

"Sebaik sahaja kita mengetahui lebih lanjut tentang penyakit itu, cara mencegahnya (menerusi vaksin lebih berkesan) dan cara ia menular, kita akan kurang berasa bimbang. Mudah-mudahan tidak lama lagi."

ADAKAH KES AKAN TERUS MENINGKAT?

Profesor Tambyah berkata meskipun jumlah kes kelihatan seperti akan terus naik seganda setiap minggu, ia tidak mungkin akan berterusan menjangkaui dua atau tiga minggu mendatang, walaupun akur terdapat "banyak model matematik yang bersaing di luar sana".

Secara keseluruhannya, trajektori kes dan bilangan individu yang sakit teruk atau meninggal dunia amat susah untuk diramal, kata beliau.

Dr Ansah pula menarik perhatian sedang kes terus melonjak, tingkah laku orang ramai mungkin berubah atau syarikat-syarikat dan pemerintah "mungkin melaksanakan dasar-dasar" yang dijangka akan mengurangkan dengan banyak jumlah jangkitan.

"Kita mungkin akan menyaksikan kes naik berganda untuk seminggu dua tetapi ia tidak mungkin akan berterusan lebih lama selepas itu dengan perubahan pada tingkah laku orang ramai dan dasar-dasar lain diperkenalkan untuk menyekat interaksi," ujar beliau.

Kenaikan kes juga menunjukkan terdapat penularan varian-varian yang lebih mudah berjangkit berbanding varian awal COVID-19, tambah Dr Ansah.

"Oleh itu, penting bagi orang ramai untuk mendapatkan vaksin bagi melindungi diri mereka daripada mengalami gejala teruk sekiranya dijangkiti." 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan