Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

CPL (NS) Muhammad Sufian & Inspektor Stesen Sheik Ismail imbas kembali cabaran, pengalaman berkhidmat di dormitori pekerja asing

Korporal (NS) Muhammad Sufian Supardi sedang menyelia operasi ujian swab COVID-19 di dormitori Blue Stars pada Jun apabila beliau menerima panggilan telefon daripada isterinya yang sedang hamil.

Anggaran Waktu Membaca:
CPL (NS) Muhammad Sufian & Inspektor Stesen Sheik Ismail imbas kembali cabaran, pengalaman berkhidmat di dormitori pekerja asing

(Gambar: SPF)

Diterbitkan : 16 Sep 2020 11:29PM Dikemas Kini : 17 Sep 2020 12:39PM

SINGAPURA: Korporal (NS) Muhammad Sufian Supardi sedang menyelia operasi ujian swab COVID-19 di dormitori Blue Stars pada Jun apabila beliau menerima panggilan telefon daripada isterinya yang sedang hamil.

Beliau sudah menjangkakan panggilan itu, tetapi mesej yang diterimanya adalah satu kejutan.

"Beliau beritahu saya bahawa doktor berkata bayi dalam keadaan sihat dan semuanya baik-baik saja," kata Encik Sufian, 27 tahun.

"Dan beliau berkata: 'Cuba teka? Kita dikurniakan anak perempuan.' Saya terkejut dan gembira."

 Korporal (NS) Muhammad Sufian Supardi.

Biasanya, CPL Sufian akan menemani isterinya untuk menjalani pemeriksaan.

Bagaimanapun, anggota kerahan Pasukan Polis Singapura (PNSman) itu memilih untuk berjauhan daripada keluarganya atas sebab kesihatan dan keselamatan, kerana beliau berkhidmat dalam Pasukan Sokongan dan Jaminan ke Hadapan (FAST) di sebuah dormitori.

"Kadangkala saya berasa bahawa saya berada jauh daripada pangkuan keluarga saya dan mungkin beliau memerlukan saya di sisinya," kata CPL Sufian. "Tetapi apabila saya berfikir dan tenangkan diri (dengan mengingatkan diri saya) ... bahawa keadaan ini tidak akan berlarutan bagi tempoh yang sangat panjang."

Pasukan-pasukan FAST, merangkumi para pegawai daripada Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Home Team, ditubuhkan dan dikerahkan ke dormitori-dormitori pekerja asing pada awal April, sedang kes-kes COVID-19 di tempat itu meningkat dengan ketara.

Home Team menyelia pengurusan 21 dormitori yang dibina khas, dan dua tapak sementara yang menempatkan lebih 160,000 pekerja asing. Peranan mereka termasuk menjaga keperluan asas pekerja, menguatkuasakan langkah langkah pengurusan selamat dan memudahkan proses ujian.

"(Ia) adalah sesuatu yang baru, dan saya ingin mempelajari lebih banyak lagi mengenainya dan melakukan yang terbaik untuk menyumbang," kata CPL Sufian, yang bekerja sebagai seorang teknisyen.

"Saya adalah seseorang yang gemar pada cabaran. Saya berpendapat, ia adalah sesuatu yang saya boleh menyumbang, sesuatu yang boleh saya lakukan untuk mereka di sana... Oleh itu saya tidak berfikir panjang dan terus melakukannya."

Sepanjang 50 hari CPL Sufian terlibat dalam operasi pasukan FAST, beliau hanya akan pulang ke rumah seminggu sekali dan selama beberapa jam saja, tetapi memastikan beliau tidak bersentuhan dengan ahli keluarganya.

Ibu mertuanya adalah seorang pesakit ginjal.

"Baginya (isteri saya), kesihatan juga amat penting, kerana beliau tahu bukan sahaja dirinya tetapi ibunya juga. Oleh itu beliau bersetuju dengan apa yang saya lakukan," kata CPL Sufian.

"Beliau sedih tetapi lama-kelamaan, beliau sudah terbiasa dan memberikan sokongan ... Beliau memahami bahawa ini adalah sesuatu perkara yang mungkin berlaku sekali saja seumur hidup, saya boleh menyumbang kepada negara. Justeru, beliau menerimanya."

'CABARAN SECARA FIZIKAL DAN MENTAL'

Inspektor Stesen (SI) Sheik Ismail Mohamed Ashad pula adalah sebahagian daripada pasukan FAST berbeza yang dikerahkan ke S11 Dormitory @ Punggol, iaitu kelompok terbesar COVID-19 di Singapura.

"Sekitar awal April, pihak pengurusan saya memaklumkan saya bahawa mereka memerlukan relawan untuk operasi berkaitan COVID-19 di dormitori-dormitori. Dan saya ingin menjadi relawan kerana ia adalah satu krisis negara dan saya mahu membantu," katanya.

Inspektor Stesen (SI) Sheik Ismail Mohamed Ashad.

"Saya memahami risiko kesihatan ... (juga) mempertimbangkan hakikat bahawa saya tinggal bersama ibu bapa saya yang uzur, dan saya mungkin berisiko menjangkiti virus itu dan mungkin menjangkiti ahli keluarga saya.

"Bagaimanapun saya berfikiran bahawa saya perlu melakukannya, kerana saya rasa bahawa ia adalah sesuatu yang saya perlu melakukan untuk negara."

Menggambarkan tugas itu sebagai "mencabar secara fizikal dan mental", SI Ismail mengimbas kembali bagaimana ia bukan mudah pada peringkat awal.

Dalam pada itu, oleh kerana beliau boleh bertutur dalam bahasa Tamil, SI Ismail dapat mendampingi sesetengah pekerja asing.

"Saya rasa bahawa saya dapat meraih kepercayaan mereka ... (Semasa) tempoh kerahan saya, saya dapat melihat lebih ramai pekerja menghampiri saya dan memberitahu masalah serta kebimbangan mereka dan bantuan yang diperlukan mereka," kata SI Ismail.

SI Ismail juga memanfaatkan pengalamannya sebagai pegawai kanan dalam jabatan ehwal komersil Pasukan Polis Singapura semasa beliau membantu seorang pekerja yang menjadi mangsa penipuan bank.

Setelah berkhidmat sebagai anggota pasukan FAST selama sekitar tiga bulan di dormitori S11, SI Ismail menganggap sesetengah pekerja itu sebagai kawannya.

"Saya masih berhubungan dengan sebilangan pekerja. Malah minggu lalu, salah seorang daripada mereka menelefon saya semata-mata untuk bertanya khabar, dan beliau berkongsi bagaimana keadaannya sekarang," katanya.

Bahkan satu insiden turut menyentuh perasaannya apabila seorang pekerja asing memberikan pasukan itu manisan dari Bangladesh pada Hari Raya Haji.

Menurut SI Ismail: "Ia agak mengharukan, ia membuat saya rasa bahawa orang ramai menghargai usaha yang kami lakukan di sana."

Sumber : CNA/NA/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan