Virus Korona

Images
  • who
    Pejabat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Geneva, Switzerland. (Gambar: Denis Balibouse/REUTERS)

COVID-19: WHO beri amaran lonjakan kes Eropah 'sangat membimbangkan'

COPENHAGEN: Negara-negara Eropah mendedahkan langkah-langkah baru yang ketat untuk cuba mengekang lonjakan jangkitan COVID-19. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam (15 Okt) memberi amaran keadaan di benua itu sebagai 'sangat membimbangkan'.

Menguatkan lagi gangguan disebabkan oleh COVID-19, gandingan calon naib presiden Amerika Syarikat Kamala Harris menangguhkan perjalanan selepas seorang petugasnya dijangkiti penyakit itu dan ketua Kesatuan Eropah (EU), Ursula von der Leyen meninggalkan sidang puncak di Brussels secara tiba-tiba atas alasan yang sama.

Di Perancis, polis menggeledah kediaman menteri kesihatan sebagai sebahagian siasatan terhadap cara pemerintah negara itu menangani krisis COVID-19. Ini setelah kes harian baru mencapai 30,000 untuk pertama kalinya.

Peta yang diterbitkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (ECDC) EU semalam menunjukkan label merah untuk kadar penularan dan ujian positif COVID-19 yang tinggi di lebih separuh daripada 31 negara yang dipantau, termasuk di negara bukan anggota EU.

Ketika penyakit ini terus menular, berjuta-juta penduduk di England berdepan sekatan lebih ketat, termasuk larangan bercampur terhadap isi rumah.

Sementara itu, Ratu Elizabeth II membuat penampilan umum pertama di luar kediamannya sejak bermulanya pandemik itu, tanpa memakai pelitup semasa lawatan ke makmal rahsia penyelidikan kerajaan Britain.

Paris dan lapan kota Perancis yang lain pula akan dikenakan perintah berkurung manakala di Jerman terdapat batasan baru untuk jumlah orang berkumpul di satu-satu acara.

Pemerintah Poland mengumumkan penutupan sebahagian bandar-bandar besar di zon 'Merah', meminta orang ramai supaya bekerja dari rumah, jika boleh manakala menteri kesihatan Switzerland, Alain Berset berkata, keadaan di negara itu 'semakin merosot lebih cepat daripada di tempat lain'.

Kedua-dua negara berdepan tahap jangkitan baru COVID-19 yang mencatat rekod baru.

Dengan hampir 1.1 juta kematian akibat COVID-19 dan hampir 40 juta kes di seluruh dunia, negara-negara di banyak bahagian dunia menghadapi pilihan yang sukar untuk mengawal penyakit tersebut tanpa ditimpa kemusnahan ekonomi dan sosial disebabkan oleh penutupan negara.

Pada sidang media di Copenhagen, pengarah wilayah WHO bagi Eropah, Hans Kluge, berkata sudah waktunya untuk 'meningkatkan langkah-langkah' kerana jumlah kes yang meningkat di benua itu 'sangat membimbangkan'.

Namun, beliau berkata keadaan tidak seburuk ketika puncak pada bulan Mac dan April, dan menekankan bahawa penutupan penuh 'di mana setiap sudut masyarakat dan ekonomi kita dihentikan' harus dielakkan. 

- AFP/SU/ha

Top