Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

COVID-19: Tidak boleh jerit naik 'roller coaster', perlu pakai pelitup setiap masa di taman tema Jepun

Dilarang menjerit ketika menaiki 'roller coaster', jaga jarak sosial ketika memasuki rumah hantu dan elakkan dari memberikan tepukan 'high five' kepada adiwira kegemaran anda.

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: Tidak boleh jerit naik 'roller coaster', perlu pakai pelitup setiap masa di taman tema Jepun

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 28 May 2020 10:32PM Dikemas Kini : 28 May 2020 10:34PM

TOKYO: Dilarang menjerit ketika menaiki 'roller coaster', jaga jarak sosial ketika memasuki rumah hantu dan elakkan dari memberikan tepukan 'high five' kepada adiwira kegemaran anda.

Inilah peraturan baru yang ditetapkan di taman tema di Jepun dalam era pandemik COVID-19.

Sedang taman-taman tema di Jepun mula dibuka semula, sekumpulan pengendali taman tema mengeluarkan panduan bersama mengenai cara-cara beroperasi dengan selamat di tengah-tengah berdepan ancaman virus COVID-19.

Antara saranan yang diberikan adalah para pengunjung perlu memakai pelitup pada setiap masa dan "mengelakkan daripada menjerit terlalu kuat' ketika menaiki 'roller coaster' dan permainan lain.

'Hantu-hantu' yang berkeliaran di dalam Rumah Hantu juga perlu mengekalkan jarak selamat daripada 'mangsa' mereka.

Selain itu, kakitangan taman tema termasuk mereka yang memakai kostum seperti maskot haiwan dan adiwira tidak dibenarkan berjabat tangan atau memberikan tepukan 'high-five' kepada para peminat cilik dan sebaliknya mengekalkan jarak selamat.

Adiwira yang beraksi dalam babak berlawan dengan musuh juga perlu mengelakkan adegan yang boleh menyebabkan penonton menjerit yang berkemungkinan menyebarkan virus kepada orang lain menerusi air liur mereka.

Permainan realiti maya juga tidak harus beroperasi melainkan kaca mata khas atau gogal dibersihkan sepenuhnya.

"Panduan ini mungkin tidak akan menyebabkan jumlah jangkitan menjadi sifar tetapi sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan risiko jangkitan," kata salah seorang pengendali taman tema.

Taman-taman tema popular di Jepun - Tokyo Disneyland dan Universal Studios Japan di bahagian barat Osaka terus ditutup tanpa tarikh ditetapkan untuk pembukaan semula.

Namun, Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe pada Isnin (25 Mei) menarik balik keadaan darurat menyusuli kemerosotan dengan ketara dalam jumlah kes COVID-19 di Jepun.

Para penduduk dan perniagaan digesa menyesuaikan diri kepada "norma baru" dalam era virus korona, termasuk memakai pelitup dan mengekalkan jarak selamat sewajarnya.

Sumber : AFP/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan