Virus Korona

Images
  • thai covid
    Penduduk terjejas beratur untuk mendapatkan makanan percuma yang diagihkan oleh relawan di sebuah sekolah di Bangkok, Thailand, pada 2 Mei 2020. (Gambar: Athit Perawongmetha/REUTERS)

COVID-19: Thailand lanjut perintah darurat sehingga 30 Jun

BANGKOK: Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 Thailand (CCSA) hari ini (22 Mei) bersetuju agar perintah darurat di negara itu dilanjutkan sehingga 30 Jun ini berikutan keadaan pandemik COVID-19 dunia yang masih belum stabil.

Perkara itu diputuskan pada mesyuarat CCSA yang dipengerusikan Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha hari ini yang turut membincangkan kemungkinan memendekkan tempoh perintah berkurung berbanding pukul 11.00 malam hingga pukul 4.00 pagi sekarang.

Jurucakap CCSA Thaweesilp Wissanuyothin berkata pelanjutan perintah darurat itu juga bagi membolehkan kerajaan menggubal langkah-langkah yang lebih berkesan untuk mengekang wabak selain bersedia untuk fasa pelonggaran seterusnya.

“Pelanjutan tempoh perintah darurat ini tertakluk kepada persetujuan kabinet pada Selasa,” katanya pada taklimat media harian COVID-19.

Encik Thaweesilp berkata satu mesyuarat akan diadakan pada 29 Mei ini bagi membincangkan pelonggaran lebih banyak sekatan.

“Fasa ketiga pelonggaran dijangka bermula 1 Jun,” katanya.

Thailand sebelum ini mengumumkan pelaksanaan perintah darurat bermula 26 Mac hingga 30 April sebelum dilanjutkan sehingga 31 Mei bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Kerajaan mula melonggarkan sekatan pada 3 Mei yang menyaksikan enam jenis perniagaan dan tempat dibuka semula dan fasa kedua bermula pada 17 Mei.

Sementara itu, Encik Thaweesilp berkata tiada kes baru jangkitan atau kematian akibat COVID-19 direkodkan Thailand dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 kekal pada 3,037 kes dengan 56 kematian.  

- BERNAMA/NA/na

Top