Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

COVID-19: Semua perpustakaan awam ditutup 7 Apr - 4 Mei

Sejajar dengan objektif untuk mengurangkan interaksi sosial demi menghadkan penularan tempatan COVID-19, semua perpustakaan awam akan ditutup dari 7 April hingga 4 Mei. Demikian diumumkan Jabatan Perkhidmatan Awam (PSD) hari ini (4 Apr). 

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: Semua perpustakaan awam ditutup 7 Apr - 4 Mei

Tanda mengenai penjarakan selamat diletakkan di atas meja di Perpustakaan Negara di Singapura. (Gambar: Ee Ming Toh/AP)

Diterbitkan : 04 Apr 2020 05:25PM Dikemas Kini : 04 Apr 2020 05:26PM

SINGAPURA: Sejajar dengan objektif untuk mengurangkan interaksi sosial demi menghadkan penularan tempatan COVID-19, semua perpustakaan awam akan ditutup dari 7 April hingga 4 Mei. Demikian diumumkan Jabatan Perkhidmatan Awam (PSD) hari ini (4 Apr).

Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), yang juga mengumumkan perkara tersebut di laman Facebooknya, menyatakan semua khidmat pemulangan buku dan tempahan lokar tidak akan disediakan sepanjang tempoh berkenaan.

Denda tertunggak juga tidak akan dikenakan semasa tempoh itu dan tempoh akhir peminjaman akan dilanjutkan secara automatik kepada tiga minggu selepas perpustakaan dibuka semula, menurut NLB.

NLB menambah khidmat digital akan terus disediakan online dan melalui aplikasinya.

Pengumuman tersebut dibuat sehari selepas Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan bahawa kebanyakan tempat kerja akan ditutup pada tempoh yang sama itu.

Kemudahan SportSG seperti kompleks renang, dewan sukan tertutup, gim dan studio juga akan ditutup, menurut PSD. Penutupan sementara juga dilaksanakan ke atas kelas-kelas pusat masyarakat, muzium dan galeri seni.

Taman-taman awam dan stadium akan terus dibuka sebagai ruang awam untuk orang ramai berehat serta bersenam.

Perkhidmatan Awam akan kekal beroperasi dengan sebahagian besar tenaga kerjanya bekerja dari rumah.

Dengan pelaksanaan langkah-langkah jarak selamat yang dipertingkatkan, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Negara dan Mahkamah Keadilan Keluarga hanya akan menjalankan perbicaraan bagi urusan-urusan "penting dan mustahak", tambah PSD. Ia menambah semua perkara lain akan ditangguhkan sehingga makluman selanjutnya.

Butiran lanjut akan disediakan di laman web mahkamah-mahkamah itu sebelum 6 April 2020.

"Untuk mencapai objektif jarak selamat, Perkhidmatan Awam akan mengurangkan pusat khidmat kaunter fizikal, menangguhkan janji temu khidmat tidak penting atau bertukar kepada khidmat digital buat sementara waktu," menurut PSD.

Ia menggesa orang ramai untuk sebaliknya mengakses khidmat awam menerusi saluran bukan fizikal dan menangguhkan lawatan tidak penting ke pusat-pusat khidmat awam sedemikian.  


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan