Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

COVID-19: S'pura lapor 11 kes baru masyarakat termasuk budak 5 tahun

Sebanyak 291 kes baru COVID-19 dilaporkan setakat jam 12.00 tengah hari Sabtu (27 Jun), termasuk 11 kes dalam masyarakat. 

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: S'pura lapor 11 kes baru masyarakat termasuk budak 5 tahun

Anggota awam beratur untuk memasuki Pusat Beli-Belah Takashimaya pada 19 Jun, hari pertama pusat beli-belah dibenarkan untuk dibuka semula pasca 'circuit breaker' di Singapura. (Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 28 Jun 2020 01:02AM Dikemas Kini : 28 Jun 2020 01:04AM

SINGAPURA: Sebanyak 291 kes baru COVID-19 dilaporkan setakat jam 12.00 tengah hari Sabtu (27 Jun), termasuk 11 kes dalam masyarakat.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH), kes dalam masyarakat melibatkan lima rakyat Singapura, dua pemegang pas kerja dan empat pemegang permit kerja.

Tiga daripada rakyat Singapura itu - budak lelaki berusia lima tahun, seorang wanita 34 tahun dan seorang lelaki 35 tahun - adalah daripada kelompok sebuah keluarga. Mereka merupakan kontak satu kes positif COVID-19 sebelum ini yang diuji kerana beliau bekerja di sebuah dormitori.

"Kesemua tiga kes itu sudahpun dikuarantin dan menjalani ujian swab semasa kuarantin untuk mengesahkan status mereka," menurut MOH.

Empat daripada kes masyarakat dikesan sebagai sebahagian daripada usaha MOM untuk melakukan saringan ke atas para pekerja daripada khidmat penting.

"Secara keseluruhan, jumlah kes baru dalam masyarakat meningkat kepada purata enam kes setiap hari pada minggu lalu daripada purata empat kes setiap hari pada minggu sebelumnya," menurut MOH.

"Jumlah kes tiada kaitan dalam masyarakat juga meningkat kepada purata tiga kes sehari pada minggu lalu daripada purata dua kes sehari pada minggu sebelumnya."

MOH juga mengumumkan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 27 tahun, yang dijangkiti COVID-19, meninggal dunia akibat beberapa kecederaan disebabkan jatuh dari tempat tinggi. Beliau diuji positif COVID-19 pada 6 Jun dan meninggal dunia pada 25 Jun.

Jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Singapura kini 43,246.

Sebahagian besar jangkitan baru harian yang dilaporkan melibatkan pemegang permit kerja yang tinggal di dormitori dengan 280 kes dilaporkan pada Sabtu.

EMPAT KELOMPOK BARU

Empat kelompok baru dikenal pasti: tapak binaan di The Florence Residences di 713 Hougang Avenue 2 serta tiga dormitori di 79 Kaki Bukit Industrial Terrace, 208 Woodlands Industrial Park E5 dan 230 Woodlands Industrial Park E5.

Dalam pada itu, MOH menyatakan 338 lagi kes COVID-19 dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat.

Secara keseluruhan, 37,163 sudah sembuh sepenuhnya daripada jangkitan itu dan dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan jagaan masyarakat.

Terdapat 174 kes yang masih dirawat di hospital. Kebanyakan mereka dalam keadaan stabil atau beransur pulih manakala seorang pesakit dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi.

Sebanyak 5,883 pesakit diasingkan dan dirawat di kemudahan masyarakat.

Kementerian itu mengingatkan orang ramai bahawa "sangat penting" untuk terus mengamalkan sikap berhati-hati untuk memastikan jumlah kes baru terus terkawal sedang kegiatan disambung semula dalam Fasa 2 pembukaan semula Singapura. Ia menambah bahawa setiap orang mesti mematuhi prinsip pengurusan yang selamat.

JAGA JARAK SELAMAT SEMASA GE2020

Kementerian Sekitaran dan Sumber Air pada Jumaat (26 Jun) mengingatkan orang ramai supaya terus menjaga jarak selamat menjelang Pilihan Raya.

Selepas Hari Penamaan Calon pada 30 Jun, parti-parti politik dan calon dijangka memperhebat lagi kegiatan berkempen menjelang Hari Mengundi pada 10 Jul.

Singapura pada 19 Jun memasuki Fasa 2 pembukaan semula selepas tempoh 'circuit breaker' - yang dilaksanakan demi membendung penularan COVID-19.

Apabila terjumpa dengan calon yang sedang melakukan lawatan bertemu penduduk, antara "amalan terbaik dan langkah yang perlu" termasuklah mengelak kontak fizikal dengan para calon mahupun penyokong-penyokong mereka, menurut kementerian tersebut.

"Elak berjabat tangan atau bersentuhan dengan misalnya melakukan 'fist bump' atau 'high five'."

Orang ramai juga harus mengekalkan jarak 1 meter dengan individu lain, seperti ketika berinteraksi dengan para calon atau beratur untuk mendapatkan barang-barang kempen.

Di samping itu, mereka juga harus terus memakai pelitup ketika berinteraksi dengan calon-calon serta "mengelak dari mengikut atau berkumpul" dengan para calon dan penyokong mereka.  


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan