Skip to main content

Iklan

Iklan

COVID-19: S'pura akan tarik balik sekatan sempadan bagi sesetengah pengunjung dari Australia, Vietnam

Singapura akan menarik balik sekatan sempadan bagi sesetengah pengunjung dari Vietnam dan Australia, kecuali negeri Victoria, mulai 8 Okt, setelah melakukan serupa bagi pengunjung dari Brunei dan New Zealand awal bulan ini.

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: S'pura akan tarik balik sekatan sempadan bagi sesetengah pengunjung dari Australia, Vietnam

(Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 30 Sep 2020 10:52PM Dikemas Kini : 30 Sep 2020 10:56PM

SINGAPURA: Singapura akan menarik balik sekatan sempadan bagi sesetengah pengunjung dari Vietnam dan Australia, kecuali negeri Victoria, mulai 8 Okt, setelah melakukan serupa bagi pengunjung dari Brunei dan New Zealand awal bulan ini.

Kedua-dua negara itu sudah berjaya mengawal penularan pandemik COVID-19 dan risiko kes import adalah rendah, menurut Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) pada Rabu (30 Sep).

Mulai Khamis, warga asing yang melakukan perjalanan dari Vietnam dan Australia, kecuali negeri Victoria, bagi tempoh yang singkat boleh membuat permohonan Pas Perjalanan Udara untuk masuk ke Singapura. Perjalanan akan dibenarkan mulai 8 Okt.

"Risiko kes import COVID-19 dari negara-negara ini adalah rendah," menurut CAAS, sambil menekankan bahawa Vietnam tidak mencatat sebarang kes COVID-19 tempatan sepanjang 28 hari lalu, manakala Australia (kecuali Victoria) mencatat kadar jangkitan tempatan sebanyak 0.02 bagi setiap 100,000 orang.

Pada masa yang sama, Singapura juga akan mengemaskini nasihat perjalanan untuk membenarkan perjalanan ke Australia (kecuali negeri Victoria) dan Vietnam, menurut CAAS.

Mereka yang mengunjungi kedua-dua negara tersebut dinasihatkan supaya memeriksa syarat-syarat masuk yang dikenakan oleh negara-negara itu dan mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya.

Setakat Rabu, Australia menetapkan larangan perjalanan ke luar negara, kecuali seseorang itu diberi pengecualian. Hanya warga, penduduk Australia dan ahli keluarga terdekat boleh melakukan perjalanan ke Australia.

Vietnam juga menggantung kemasukan semua warga asing dan warga Vietnam yang berada di luar negara menerusi penerbangan komersil. Visa kemasukan mungkin diberikan kepada warga asing yang memiliki pasport diplomatik dan rasmi serta sesetengah pelabur, pengurus perniagaan, pakar dan pekerja berkemahiran tinggi.

Langkah itu dilaksanakan setelah Singapura menarik balik sekatan sempadan bagi pengunjung dari Brunei dan New Zealand dari 8 Sep.

Setakat pukul 5.00 petang Rabu, CAAS sudah meluluskan 331 permohonan dari kedua-dua negara itu. Sejauh ini, Singapura menerima ketibaan 136 pengunjung dari kedua-dua negara. Tidak seorang pun dari mereka diuji positif COVID-19 apabila tiba di Singapura, menurut CAAS.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan