Skip to main content

Iklan

Iklan

COVID-19: Rantaian bekalan utuh, keadaan 'pembelian panik' sudah stabil, kata Lawrence Wong

Keadaan di mana penduduk Singapura melakukan pembelian panik selepas pemerintah menaikkan tahap penilaian risiko virus korona COVID-19 minggu lalu sudah stabil. 

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: Rantaian bekalan utuh, keadaan 'pembelian panik' sudah stabil, kata Lawrence Wong

Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong. (Gambar: Marcus Mark Ramos)

Diterbitkan : 12 Feb 2020 10:22PM Dikemas Kini : 12 Feb 2020 10:27PM

SINGAPURA: Keadaan di mana penduduk Singapura melakukan pembelian panik selepas pemerintah menaikkan tahap penilaian risiko virus korona COVID-19 minggu lalu sudah stabil. Ini meskipun bekalan barangan di sesetengah cawangan belum pulih sepenuhnya ekoran isu logistik dan tenaga manusia, kata Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong.

Meskipun demikian, rantaian bekalan Singapura kekal teguh dan peruncit utama dijangka boleh kembali ke "tahap bekalan biasa dalam tempoh sehari dua lagi", katanya dalam sidang media pada Rabu (12 Feb).

Semasa berlakunya pembelian panik itu, para peruncit terpaksa memindahkan stok barang dengan cepat dari gudang ke kedai masing-masing, jelas beliau.

Kebanyakan mereka mendapatkan kakitangan tambahan untuk memenuhi rak-rak barang dan melantik syarikat-syarikat logistik tambahan untuk menyokong operasi mereka, tambah Encik Wong.

Ramai terpaksa bekerja waktu lembur untuk memastikan rak barangan dipenuhi, kata Encik Wong, sambil merakamkan penghargaan kepada mereka yang terlibat kerana memberi respons yang pantas.

Minggu lalu, Singapura menaikkan tahap amaran Keadaan Sistem Respon Penularan Penyakit (DORSCON) kepada Jingga selepas kelompok-kelompok penularan tempatan virus korona mula muncul.

Ini mencetuskan "gelombang panik", kata Encik Wong. Kedai-kedai di Singapura menyaksikan permintaan bagi bahan makanan melonjak secara mendadak, menyebabkan beberapa kedai kehabisan bekalan sementara.

RANTAIAN BEKALAN MAKANAN S'PURA KEKAL UTUH

Namun hakikat bahawa Singapura dapat memenuhi permintaan mendadak itu membuktikan strategi negara mempelbagaikan sumber dapat melindungi sistem bekalan daripada sebarang kejutan luar jangkaan, kata Encik Wong.

"Oleh itu, kami ingin terus memberi jaminan kepada warga Singapura bahawa rantaian bekalan kita, berhubung makanan dan barang runcit, kekal utuh. Strategi mempelbagaikan sumber bekalan memastikan kita dilindungi daripada sebarang kejutan luar jangkaan," katanya.

"Kita dapat memenuhi permintaan itu. Soalnya ialah memindahkan bekalan dari gudang ke cawangan runcit, dan rantaian bekalan yang kami ada terus kukuh," Encik Wong menekankan.

PANIK "TERSEBAR LEBIH PANTAS" DARIPADA KEBENARAN

Menurut Encik Wong, pihak berkuasa memahami mengapa orang ramai berasa bimbang dan cemas. Namun respons penduduk minggu lalu menunjukkan cabaran dalam menyampaikan "maklumat yang tepat" kepada orang ramai dalam situasi sedemikian.

"Apabila kami bertanya penduduk, terdapat beberapa salah faham, bahkan kurang penjelasan berkaitan apa yang sedang berlaku, apa yang dimaksudkan DORSCON Jingga, meskipun kami berusaha sedaya upaya untuk menjelaskan kepada anda semua," katanya kepada para wartawan.

"Dalam dunia media sosial sekarang, rasa takut, tidak pasti dan panik menyebar lebih pantas di media sosial daripada kebenaran yang membosankan dan tiada siapa yang mahu berkongsi."

Pihak berkuasa akan "menggandakan" usaha untuk "terus berkongsi maklumat tepat pada masa yang ditetapkan".

JANGAN BUAT SPEKULASI PERUBAHAN TAHAP DORSCON

Encik Wong turut menyentuh tentang rangka kerja DORSCON. Beliau menekankan bahawa orang ramai tidak seharusnya membuat spekulasi tentang bila rangka kod warna itu akan berubah.

"Janganlah kita mula membuat spekulasi, buat jangkaan, timbulkan kebimbangan sama ada ia akan beralih dari Jingga ke Merah, yang pada pandangan saya adalah apa yang berlaku apabila ia berubah dari Kuning ke Jingga, lantas mewujudkan rasa panik dan bimbang," katanya.

Sebaliknya, penduduk harus memberi tumpuan kepada langkah-langkah yang telah dilaksanakan, kerana setiap warna merangkumi pelbagai ukuran.

"Kami berada di Jingga, dan pada tahap Jingga kita boleh melaksanakan pelbagai langkah lebih daripada apa yang kita ada hari ini," katanya.

Pihak berkuasa Singapura pada Rabu mengesahkan tiga kes baru Covid-19, membawa jumlah orang yang diuji positif di Singapura kepada 50 orang. Lapan daripada mereka berada dalam keadaan kritikal.

Enam lagi pesakit sudah keluar dari hospital, menurut pihak berkuasa pada Rabu. Ini bermakna 15 orang sudah sembuh sepenuhnya.  

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan