COVID-19: Pesakit bergejala ringan mungkin ragu jumpa doktor; pakar gesa sikap waspada
Agak lazim bagi seseorang yang mengalami fasa awal gejala untuk rasa tidak pasti sama ada mereka mula mengalami selesema atau sekadar tekak kering kerana kekurangan air dalam badan
SINGAPURA: Ramai orang yang jatuh sakit dengan gejala pernafasan lebih ringan mungkin teragak-agak untuk berjumpa doktor dengan segera kerana tidak pasti sama ada mereka benar-benar sakit, kata para doktor dan pakar.
"Ia agak lazim bagi seseorang yang mengalami fasa awal gejala untuk rasa tidak pasti sama ada mereka mula mengalami selesema atau sekadar tekak kering kerana kekurangan air dalam badan," kata Naib Dekan Penyelidikan di Universiti Nasional Singapura (NUS) Profesor Madya Alex Cook.
"Apa yang akan membuat saya dapatkan pemeriksaan adalah jika saya mengalami berbilang gejala. Ia mungkin adalah jangkitan dan bukan keletihan atau sebagainya. Atau, jika gejalanya berlarutan lebih dari sehari dua. Jika itu berlaku, adalah penting untuk jalani pemeriksaan."
Ini menyusuli beberapa kes yang dikaitkan dengan pembantu doktor haiwan polis di unit K-9, atau kelompok Kes 59290, yang mula mengalami gejala tetapi tidak mendapatkan rawatan perubatan.
Pada Ahad (17 Jan), Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan bahawa Kes 59365, seorang lelaki warga Singapura berusia 44 tahun, seorang pegawai pentadbiran yang bekerja di tempat yang sama dengan pembantu doktor haiwan polis itu mula mengalami tekak kering pada 7 Jan tetapi tidak mendapatkan rawatan perubatan.
Seorang wanita rakyat Singapura berusia 44 tahun yang merupakan anggota keluarga pegawai pentadbiran itu juga mula mengalami demam dan rasa menggigil pada 9 Jan dan selanjutnya kehilangan deria bau dan rasa pada 13 Jan, namun tidak mendapatkan rawatan perubatan.
Lagi dua kes yang terkait dengan kelompok itu diumumkan pada Isnin (18 Jan), isteri dan seorang lagi anggota keluarga pegawai pentadbiran berkenaan - juga mula mengalami gejala, termasuk hilang deria rasa, mengalami gejala pernafasan dan cirit-birit, namun tidak mendapatkan rawatan perubatan.
Pada Selasa (19 Jan), MOH melaporkan seorang kanak-kanak lelaki warga Singapura berusia 8 tahun - anak pegawai pentadbiran tersebut dan isterinya - diuji positif COVID-19 selepas mengalami demam semasa kuarantin. Murid sekolah rendah itu ialah orang ketujuh yang terkait kelompok penularan unit K-9 tersebut.
"Kami amat menggesa semua orang supaya memainkan peranan mereka untuk mengurangkan risiko penularan. Sesiapa yang tidak sihat, termasuk mereka yang mengalami gejala awal/ringan, harus mengamalkan tanggungjawab sosial dan mendapatkan nasihat perubatan dengan segera," menurut MOH pada Selasa (19 Jan).
SESETENGAH PESAKIT MASIH RASA TIDAK SIHAT
Para doktor dan pakar yang ditemui Mediacorp berkata bahawa ramai pesakit yang mengalami gejala ringan mungkin belum mahu berjumpa doktor kerana mereka masih berasa sihat dan tidak mahu terdedah kepada orang sakit di klinik.
"Ia memerlukan usaha untuk membuat janji temu, melakukan perjalanan ke sana dan menunggu giliran. Satu lagi sebab adalah kekurangan kesedaran, sesetengah orang berpendapat bahawa orang yang dijangkiti COVID-19 akan sekurang-kurangnya mengalami demam dan batuk-batuk," kata Dr Ling Li Min, seorang ahli penyakit berjangkit di Klinik Rophi.
Secara umumnya, para pesakit dengan gejala jangkitan pernafasan akut yang ringan biasanya tidak berjumpa doktor dengan segera, kata Dr John Cheng, ketua jagaan utama di Healthway Medical Group.
"Bahkan pada masa sebelum pandemik, ramai yang lebih suka memantau keadaan mereka di rumah dahulu sebelum ke klinik," kata beliau.
"Sekarang ini, ada pelbagai sebab sesetengah pesakit mungkin melengahkan daripada mendapatkan rawatan perubatan. Antara sebabnya adalah rasa takut untuk mengambil ujian PCR (reaksi rantai polimerase), tidak mahu diberikan cuti sakit selama lima hari atau malah mengelak daripada ke klinik untuk penyakit-penyakit ringan bagi mengurangkan risiko pendedahan."
Namun ada juga pesakit yang segera ke klinik apabila mereka rasa sakit kerana mereka tidak mahu mengambil risiko mengalami jangkitan yang lebih memudaratkan atau menjangkiti orang-orang yang mereka sayangi, kata Dr Cheng.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.