Virus Korona

Images
  • kahwin wedding generic
    (Gambar hiasan: Reuters)

COVID-19: Pasangan tunda majlis perkahwinan di hotel, ambil langkah pencegahan demi pastikan tetamu selamat

SINGAPURA: Sesetengah bakal mempelai sedang menimbangkan sama ada untuk menangguhkan perkahwinan mereka di tengah-tengah penularan virus korona COVID-19.

Ada juga yang memutuskan untuk berbuat demikian sebaik saja pihak berkuasa menaikkan tahap amaran Sistem Keadaan Penularan Penyakit (DORSCON) dari warna Kuning ke Jingga.

Sebilangan hotel yang ditemui Mediacorp turut mendedahkan bahawa mereka turut bersikap fleksibel dan mengambil langkah-langkah pencegahan.

Sofitel Singapore City misalnya, meminta semua tetamu untuk mengisi borang wajib bagi mengisytiharkan keadaan kesihatan dan sejarah perjalanan mereka, di samping menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki dewannya.

Cecair pembasmi kuman juga disediakan untuk para tetamu.

Sofitel Singapore City Centre juga bersikap fleksibel terhadap sebarang permintaan untuk mengubah rancangan.

Menurut hotel itu, ia membenarkan pasangan untuk menangguhkan perkahwinan mereka sehingga hujung tahun ini tanpa dikenakan sebarang denda dan ia juga bersikap fleksibel dari segi tempahan meja.

Pengurus Besar Royal Plaza on Scotts, Encik Patrick Fiat berkata selain memeriksa suhu badan, hotelnya juga menyediakan senarai rujukan perubatan bagi para tetamu dan kakitangan yang tidak sihat.

Di samping itu, hotel tersebut juga menambah bilangan lokasi di mana kawasan-kawasan awamnya menyediakan cecair pembasmi kuman termasuk dalam lif dan tandas.

Encik Fiat turut mendedahkan kepada Mediacorp bahawa pasangan dibenarkan untuk menunda tarikh perkahwinan mereka sehingga keadaan bertambah baik kerana "pihak hotel faham keadaan sekarang mungkin mencabar bagi mereka dan orang-orang tersayang."

"Pasangan harus bertenang dan cuba menghubungi tetamu mereka sebelum mengadakan majlis perkahwinan mereka bagi mengesahkan jumlah tetamu terlebih dahulu dan mengadakan rundingan secara terbuka dengan penyelaras perkahwinan dari pihak hotel jika mereka prihatin mengenai majlis jamuan mereka," menurut Sofitel Singapore City Centre. 

- CNA/FZ/fz

Top