COVID-19 mungkin tersebar dari kelawar ke manusia menerusi haiwan lain
COVID-19 mungkin tersebar dari kelawar ke manusia menerusi haiwan lain.
CHINA: Virus COVID-19 dipercayai mungkin disebarkan dari kelawar ke manusia menerusi haiwan lain.
Demikian menurut sebuah pasukan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang ditugaskan untuk mengkaji asal usul virus tersebut.
Salinan laporan mengenai hasil kajiannya dijangka dikeluarkan pada lewat hari ini (30 Mac).
Pasukan itu menyatakan terdapat kemungkinan besar penularan koronavirus tidak berpunca dari makmal.
Menurut laporan tersebut, tahap keselamatan bio di tiga makmal di Wuhan yang menggunakan koronavirus itu adalah bermutu tinggi dan diuruskan dengan baik.
Dapatan laporan itu juga adalah sama seperti kenyataan para pakar WHO setelah melawat ke bandar China itu, di mana kes-kes pertama jangkitan COVID-19 melibatkan manusia dikesan pada lewat tahun 2019.
Menurut dokumen itu lagi, peranan pasar makanan laut di mana kes-kes jangkitan pertama dikenal pasti masih tidak jelas.
Laporan WHO itu amat dinanti-nantikan kerana dengan mengenal pasti asal-usul virus berkenaan, ia boleh membantu para saintis mencegah pandemik pada masa depan.
Bagaimanapun laporan itu juga sensitif kepada China yang tidak akan menerima sebarang saranan ia punca penularan COVID-19 yang menjejas seluruh dunia.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken membangkit isu tersebut baru-baru ini apabila beliau mengatakan pentadbiran Biden prihatin Beijing mungkin telah membantu menulis laporan tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.