Virus Korona

Images
  • malaysia healthcare ppe covid-19 corona virus
    Kakitangan perubatan M'sia memakai PPE di tengah pandemik COVID-19 (Gambar: BERNAMA)

COVID-19: Malaysia berjaya turunkan kadar kebolehjangkitan

PUTRAJAYA: Malaysia sudah berjaya menurunkan kadar nilai kebolehjangkitan (Rt) atau R-naught (R0) COVID-19 daripada 2.2 pada permulaan gelombang ketiga pada 20 Sept lepas kepada 1.3 hingga 1.5 sekarang.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini bermakna usaha yang diambil kerajaan setakat ini sudah dapat mengelakkan peningkatan kes secara mendadak.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham berkata jika dilihat kepada jumlah kes positif harian COVID-19 sejak beberapa hari lepas dan unjuran kes pada masa akan datang, pihaknya menjangkakan R0 kekal dalam lingkungan 1.5.

Beliau berkata oleh itu, dijangkakan kes harian COVID-19 masih meningkat namun bukanlah secara mendadak.

“Unjuran ini amat penting kerana ia menunjukkan bahawa masih terdapat ruang bagi kita berusaha mengawal situasi gelombang ketiga ini.

“Segala usaha di Kesihatan Awam di lapangan mesti diteruskan dan dilipatgandakan, kawalan pergerakan harus diperketatkan dan rakyat perlu membantu negara dengan duduk di rumah,” katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan di sini hari ini (18 Okt).

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata nilai R0 merujuk kepada kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak di dalam masyarakat, iaitu secara purata berapa ramai individu yang boleh dijangkiti kes positif atau hos virus tersebut.

Beliau berkata R0 boleh menurun jika langkah pencegahan yang tepat dijalankan secara berterusan bagi membendungnya.

“Menurunkan nilai R0 kepada kurang daripada 1 secara berterusan akan membantu mengakhiri sesuatu wabak,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham merayu agar semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam usaha memerangi COVID-19 dengan duduk di rumah jika tiada urusan di luar dan mematuhi SOP ditetapkan sekiranya perlu keluar rumah.  

- BERNAMA/NA/na

Top