Koronavirus

Images
  • malaysia covid-19 crowd
    Orang ramai di M'sia memakai pelitup di tengah COVID-19 (Gambar: BERNAMA)

COVID-19: M'sia catat 2,192 kes baru, lagi 6 kematian

KUALA LUMPUR: Sebanyak 2,192 kes baru COVID-19 direkodkan hari ini (22 Feb) di Malaysia menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara itu sebanyak 285,761 setakat ini, selain enam lagi kematian dilaporkan akibat pandemik itu dalam tempoh 24 jam.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes sembuh harian sebanyak 3,414 kes yang dilaporkan hari ini, juga lebih tinggi berbanding kes positif harian, menjadikan jumlah sembuh keseluruhan hingga kini sebanyak 252,623 kes.

“Kes aktif pula setakat ini ialah 32,076 kes,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Menurutnya daripada jumlah kes baru harian itu, 2,189 merupakan kes tempatan melibatkan 1,337 warganegara dan 852 warga asing, manakala tiga lagi adalah kes import melibatkan dua warganegara dan seorang warga asing.

Selangor, katanya terus mencatatkan kes harian baru tertinggi iaitu sebanyak 910 kes, diikuti Kuala Lumpur (303 kes), Sarawak (221) dan Johor (211).

Dr Noor Hisham berkata kes kematian yang dilaporkan hari ini melibatkan dua kes di Selangor dan masing-masing satu kes di Pahang, Johor, Sabah serta Sarawak, dengan lingkungan umur mereka antara 17 dan 84 tahun. 

Katanya 199 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 91 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan. 

Beliau berkata 109 kes dilaporkan berkaitan kelompok di penjara dan depot tahanan imigresen, antaranya membabitkan Kelompok Tembok Tapah dengan 39 kes, Kelompok Tembok Bendera (26), Kelompok Penjara Jalan Harapan (25) dan Kelompok Tembok Pengkalan Chepa (9). 

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata lapan lagi kelompok baru dikenal pasti hari ini, dengan tujuh daripadanya berkaitan tempat kerja manakala satu kelompok melibatkan komuniti iaitu Emperoh Jambu di Sarawak. 

Pertambahan kelompok baru itu menjadikan jumlah kelompok aktif kini 504 manakala jumlah keseluruhan kelompok tamat ialah 578 selepas 14 kelompok dilaporkan tamat pada hari ini. 

- Bernama/SU/nk

Top