Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

COVID-19: Lebih 21,200 notis Jangan Keluar Rumah dikeluarkan, ICA akan tambah tenaga kerja

Lebih 21,200 notis Jangan Keluar Rumah (SHN) dikeluarkan setakat Khamis (19 Mac), dan penguasa imigresen merancang untuk menambah jumlah tenaga kerja memandangkan arahan sekatan itu diperluaskan untuk merangkumi semua pelawat yang memasuki Singapura mulai Sabtu.

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: Lebih 21,200 notis Jangan Keluar Rumah dikeluarkan, ICA akan tambah tenaga kerja

(Gambar: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 21 Mar 2020 03:55PM Dikemas Kini : 21 Mar 2020 04:01PM

SINGAPURA: Lebih 21,200 notis Jangan Keluar Rumah (SHN) dikeluarkan setakat Khamis (19 Mac), dan penguasa imigresen merancang untuk menambah jumlah tenaga kerja memandangkan arahan sekatan itu diperluaskan untuk merangkumi semua pelawat yang memasuki Singapura mulai Sabtu.

Daripada jumlah notis SHN yang dikeluarkan itu, lebih 13,900 dikeluarkan antara 12 Mac hingga 19 Mac, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp.

Notis Jangan Keluar Rumah pertama kali dilaksanakan pada 18 Feb ke atas penduduk Singapura, pemegang pas jangka panjang dan pemegang pas kerja warga asing yang kembali dari tanah besar China di luar wilayah Hubei. Mereka yang pulang dari Hubei dikenakan perintah kuarantin.

Ia kemudiannya diperluaskan secara bertahap kepada mereka yang pulang dari Korea Selatan, Iran, Perancis, Jerman, Sepanyol dan Itali.

Awal minggu ini, sekatan itu diperluaskan ke semua negara ASEAN (kecuali perjalanan darat dan laut dengan Malaysia), Jepun, Switzerland dan United Kingdom.

Pada Rabu, pasukan bertindak berbilang kementerian mengenai COVID-19 mengumumkan bahawa sesiapa yang memasuki negara ini, termasuk rakyat dan penduduk, akan dikenakan notis Jangan Keluar Rumah selama tempoh 14 hari.

"Dengan notis jangan keluar rumah diperluaskan untuk merangkumi semua yang pulang dari semua negara/wilayah lain mulai 20 Mac, 11.59 malam, ICA sedang meningkatkan sumber tenaga manusia," katanya.

Mereka yang dikenakan notis tersebut dikehendaki berada di dalam rumah sepanjang masa selama 14 hari sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 di Singapura.

Notis itu adalah langkah lebih ketat daripada cuti ketidakhadiran (LOA) yang membenarkan seseorang untuk keluar rumah buat waktu yang singkat seperti membeli makanan atau keperluan rumah. Namun ia memberi lebih kebebasan berbanding arahan kuarantin dalam rumah yang menghendaki individu diasingkan daripada orang lain di dalam rumah.

Sesiapa yang gagal mematuhi notis SHN berdepan dengan hukuman di bawah Seksyen 21A Akta Penyakit Berjangkit dan boleh didenda sehingga S$10,000, dipenjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Hukuman lain termasuk status penduduk tetap mereka dibatal atau disingkatkan, begitu juga dengan pas lawatan jangka panjang, pas tanggungan, pas pelajar atau pas kerja.

LAPORAN BERKAITAN:


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan