Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'COVID-19 - Laluan Ke Hadapan': Ucapan penuh PM Lee dalam Bahasa Melayu

Perutusan PM Lee mengenai “COVID-19 - Laluan Ke Hadapan” kepada seluruh negara.

Anggaran Waktu Membaca:
'COVID-19 - Laluan Ke Hadapan': Ucapan penuh PM Lee dalam Bahasa Melayu

Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyampaikan Perutusan mengenai “COVID-19 - Laluan Ke Hadapan” kepada seluruh negara, 9 Okt 2021. (Gambar: MCI)

Diterbitkan : 09 Oct 2021 04:07PM Dikemas Kini : 09 Oct 2021 04:23PM

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyampaikan Perutusan kepada seluruh negara hari ini (9 Okt) dan memberikan kemas kini tentang keadaan COVID-19 di Singapura serta berkongsi mengenai “laluan ke norma baru”.

Berikut ucapan penuh beliau dalam Bahasa Melayu:

Saudara-saudari sekalian

Jumlah kes COVID-19 tempatan telah meningkat dengan mendadak sejak beberapa minggu lalu. Anda semua tentunya berasa bimbang.

Ramai yang mendapati sukar untuk mengikuti dasar-dasar baru dan perubahan pada langkah-langkah yang dilaksanakan. Saya faham keprihatinan dan kegelisahan anda.

Ada yang bertanya: Apa yang telah berlaku pada rancangan kita untuk membina sebuah negara yang berdaya tahan terhadap COVID? Adakah Pemerintah sudah berubah fikiran? Adakah kita berada di landasan yang betul untuk memastikan masyarakat kita dapat kembali terbuka? Malah, ada juga yang bertanya: Mengapa jumlah kes begitu banyak? Bukankah kita harus mengenakan sekatan menyeluruh sekarang?

Ini adalah soalan-soalan munasabah.

Oleh itu, saya membuat keputusan untuk bercakap kepada anda secara langsung, untuk menjelaskan keadaan kita pada masa ini dan apa yang telah berubah. Strategi kami untuk fasa pandemik pada masa ini, dan perjalanan kita seterusnya menuju ke arah kebiasaan baru.

Saya ingin mengongsi pandangan dan keprihatinan saya dengan anda, kerana adalah penting untuk kita mempunyai matlamat yang sama dan bersatu hati bagi mengatasi tempoh beberapa bulan akan datang.

PENDEKATAN ASAL KAMI - "SIFAR COVID"

Apabila pandemik ini bermula tahun lalu, kita berdepan dengan penyakit yang tidak diketahui di peringkat global, pengetahuan saintifik tentang COVID-19 terhad.

Pengalaman kita sendiri yang diraih daripada memerangi SARS memberi kami beberapa idea tentang langkah pertama yang perlu diambil. Sedang kita memperoleh lebih banyak maklumat tentang virus ini, kami menyesuaikan strategi kami kepada keadaan yang berubah-ubah.

Pendekatan asal kami adalah untuk melakukan yang terbaik bagi mengelakkan rakyat Singapura daripada terdedah kepada COVID-19. Kami mengetatkan langkah-langkah pengurusan selamat (SMM) seberapa yang perlu, untuk mengurangkan bilangan kes hingga ke tahap yang sangat rendah. Kami membuat penilaian bahawa itulah cara terbaik untuk mengurangkan penyakit serius dan kematian.

Pendekatan “Sifar COVID” merupakan strategi yang betul pada masa itu. Para penduduk kita masih belum lagi menjalani vaksinasi. Orang ramai mempunyai sedikit atau langsung tidak mempunyai daya tahan tubuh terhadap COVID-19. Akibat daripada dijangkiti virus ini adalah serius. Oleh kerana virus tersebut juga tidak begitu berjangkit pada masa itu, langkah-langkah yang kami ambil berupaya memutuskan rantaian jangkitan.

Strategi tersebut membuahkan hasil. Kami dapat mengelakkan daripada kehilangan begitu banyak nyawa, yang telah dialami oleh banyak negara lain. Kadar kematian akibat COVID-19 di negara kita merupakan antara yang terendah di dunia.

Pada masa yang sama, kami telah membuat perancangan awal dan mendapatkan bekalan vaksin. Vaksin mengubah situasi kita. Ia penyelamat bagi setiap seorang daripada kita sewaktu pandemik ini. Program peringkat nasional kami untuk memberi vaksin kepada semua orang telah mencapai kejayaan.

Berkat kepercayaan dan kerjasama anda, kita kini mempunyai kadar vaksinasi antara yang tertinggi di dunia – hampir 85%. Ini telah meningkatkan dengan ketara tahap perlindungan kita terhadap virus ini. Data kami, serta data-data daripada seluruh dunia, jelas menunjukkan bahawa vaksinasi mengurangkan risiko mengalami penyakit serius dengan ketara.

Sebahagian besar kes tempatan (98%) mempunyai simptom-simptom ringan atau tidak mempunyai sebarang simptom. Hanya 2% atau kurang daripada itu mengalami penyakit yang lebih serius. Daripada jumlah tersebut, 0.2% meninggal dunia atau perlu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) – dalam erti kata lain, hanya dua dalam setiap seribu kes.

Selebihnya hanya memerlukan alat bantuan pernafasan oksigen selama beberapa hari. Dalam erti kata lain, dengan vaksinasi, COVID-19 bukan lagi penyakit yang berbahaya bagi kebanyakan kita.

KEADAAN TELAH BERUBAH

Namun, kemunculan varian Delta telah merubah keadaan.

Varian Delta sangat mudah berjangkit, dan ia telah menular di seluruh dunia. Walaupun seluruh penduduk kita menjalani vaksinasi, kita masih tidak boleh menghapuskannya melalui sekatan-sekatan menyeluruh dan langkah-langkah pengurusan selamat (SMM). Hampir setiap negara telah menerima hakikat ini.

Tambahan pula, walaupun kita boleh mengurangkan jumlah kes COVID-19 melalui SMM yang ketat, virus ini akan merebak sekali lagi dengan cepat sebaik sahaja kita melonggarkan sekatan. Inilah yang berlaku di Singapura, kerana strategi “Sifar COVID” kita. Kebanyakan kita tidak pernah mengalami jangkitan.

Atau seperti yang dikatakan para doktor, kita naif-COVID.

Akibatnya, tahap daya tahan semula jadi tubuh penduduk kita rendah. Walaupun kita telah mendapatkan suntikan vaksin, kita masih terdedah kepada risiko dijangkiti virus. Inilah sebabnya kita mesti bersiap sedia untuk terus menyaksikan jumlah kes yang agak tinggi untuk tempoh yang agak lama.

Tetapi Singapura tidak boleh terus melaksanakan sekatan menyeluruh dan menutup sempadan negara kita selama-lamanya. Ia tidak berkesan, dan akan melibatkan kos yang sangat besar. Kita tidak akan dapat meneruskan kehidupan kita, menyertai kegiatan-kegiatan sosial, membuka sempadan kita, dan memulihkan ekonomi kita.

Setiap kali kita memperketat langkah-langkah kawalan. Perniagaan-perniagaan akan semakin terjejas. Para pekerja hilang perkerjaan mereka.

Kanak-kanak tidak berpeluang menikmati zaman kanak-kanak dan pengalaman di sekolah yang sempurna. Keluarga-keluarga terpisah untuk tempoh yang lebih lama.

Terutamanya keluarga-keluarga yang mempunyai orang-orang tersayang di luar negara. Dan anggota keluarga berangkai yang belum dapat bertemu.

Semua ini menyebabkan tekanan psikologi dan emosi, dan kelelahan mental. Bagi rakyat Singapura dan semua orang bersama-sama kita di sini, termasuk para pekerja hijrahan kita.

Oleh itu, beberapa bulan lalu kami merumuskan bahawa strategi “Sifar COVID” tidak lagi boleh dilaksanakan. Jadi, kita mengubah strategi kepada “Hidup dengan COVID-19”.

HIDUP DENGAN COVID-19

“Hidup dengan COVID-19” bukanlah satu perjalanan yang lancar dan mudah. Pada bulan Ogos lalu, apabila kita mencapai kadar vaksinasi sebanyak 80 peratus, kami melonggarkan langkah-langkah pengurusan selamat di bawah fasa Kewaspadaan Dipertingkat. Kami menjangkakan jumlah kes akan meningkat, sedang lebih ramai di antara kita menyambung semula aktiviti-aktiviti dan berinteraksi antara satu sama lain.

Namun jumlah kes meningkat lebih mendadak daripada yang kami jangkakan, disebabkan virus jenis Delta yang sangat berjangkit.

Pada mulanya, sistem penjagaan kesihatan kita masih mampu menampung jumlah kes. Namun, kami bimbang bahawa ia akan menghadapi tekanan yang ketara, dan ternyata ia berlaku. Begitu juga dengan kakitangan perubatan kita.

Sedang jumlah kes terus melonjak, bilangan kes jangkitan yang serius juga akan bertambah. Dan apabila jumlah kes harian meningkat begitu tinggi, hanya 2% daripada jumlah ini bermakna ramai pesakit yang akan memerlukan rawatan di hospital dan katil-katil di ICU.

Dalam masa yang sangat singkat, sistem penjagaan kesihatan kita mungkin akan menanggung beban yang terlalu berat.

Itulah sebabnya beberapa minggu lalu kita telah memperketat langah-langkah sekatan kita. Ia bertujuan memperlahankan kenaikan jumlah kes, supaya kita dapat meringankan beban ke atas para pekerja penjagaan kesihatan, dan menstabilkan sistem penjagaan kesihatan kita.

Kami menggunakan masa ini untuk meningkatkan lagi kapasiti penjagaan kesihatan dan memperkukuh pengurusan kes-kes kita. Supaya kita dapat mengenal pasti dengan lebih baik para pesakit COVID-19 untuk menjalani pemulihan di rumah. Dan memastikan kita merawat dengan sebaik-baiknya pesakit-pesakit yang sakit tenat. Serta terus merawat ramai pesakit yang tidak dijangkiti COVID-19 yang turut memerlukan rawatan perubatan segera.

LANGKAH-LANGKAH SELANJUTNYA

Kita mesti meneruskan strategi kita untuk “Hidup dengan COVID-19”. Apakah langkah-langkah selanjutnya yang kita perlu ambil sekarang?

Sebagai permulaan, dan yang paling penting, kita perlu mengubah pemikiran kita. Kita harus menghormati COVID-19, tetapi kita tidak boleh terpaku ketakutan. Marilah kita meneruskan aktiviti-aktiviti harian kita seperti biasa seberapa boleh, dengan mengambil langkah-langkah berjaga-jaga yang perlu dan mematuhi SMM.

Dengan vaksinasi, COVID-19 adalah penyakit yang boleh dirawat, dan tidak teruk bagi kebanyakan kita. Terutamanya jika anda masih muda. Atau jika anda tidak begitu muda tetapi telah menjalani vaksinasi penuh.

Ancaman COVID-19 kini tertumpu kepada golongan warga emas: berusia 60 tahun dan ke atas jika anda belum mendapatkan suntikan vaksin, atau berusia 80 tahun dan ke atas walaupun anda sudah mendapatkan suntikan vaksin.

Jadi, bagi 98 peratus daripada kita, jika kita dijangkiti COVID-19, kita boleh pulih di rumah, sama seperti yang kita lakukan jika kita mengalami demam selesema.

Itulah sebabnya mengapa kita beralih untuk lebih bergantung kepada Pemulihan di Rumah. Ia akan menjadi kebiasaan bagi kes-kes COVID-19.

Anda boleh pulih dalam persekitaran rumah yang selesa, tanpa menghadapi tekanan dan kesulitan untuk berpindah ke kemudahan penjagaan. Jika kebanyakan kita boleh pulih di rumah, ia akan mengurangkan tekanan ke atas hospital-hospital, para doktor dan jururawat kita. Ia akan membolehkan katil-katil yang amat diperlukan digunakan untuk para pesakit COVID-19 yang berisiko tinggi mengalami sakit tenat, terutamanya golongan warga emas.

Sudah tentu, jika anda mempunyai anggota keluarga yang mudah terjejas di rumah, kami akan memindahkan anda ke kemudahan pengasingan untuk menjalani pemulihan.

Saya tahu bahawa ramai orang masih berasa bimbang dan resah tentang Pemulihan di Rumah. Mereka takutkan penyakit ini. Mereka bimbang tentang risiko ke atas anggota keluarga mereka yang lain.

Mereka juga bimbang sama ada mereka akan menerima penjagaan dan sokongan yang mencukupi di rumah, jika keadaan mereka menjadi lebih teruk.

Saya faham kebimbangan anda. Saya memberi jaminan kepada semua yang menjalani

Pemulihan di Rumah bahawa anda akan mendapat penjagaan dan sokongan yang anda perlukan sepanjang proses pemulihan anda.

Pada awalnya, terdapat kekurangan dalam perkhidmatan yang kami sediakan. Tetapi kami telah bekerja keras untuk memperbaikinya, dan sedang membetulkan keadaan.

Jika anda perlu dimasukkan ke hospital atau kemudahan rawatan COVID-19 pada bila-bila masa, kami akan memindahkan anda ke sana.

Memandangkan COVID-19 kini penyakit yang boleh dikawal, kami akan mengambil langkah drastik untuk memudahkan protokol kesihatan kita. Tiada lagi carta aliran yang rumit.

Orang ramai mesti memahami dengan jelas apa yang mereka perlu lakukan jika mereka diuji positif, dan jika mereka berhubung rapat dengan seseorang yang telah dijangkiti.

Kita juga perlu tahu apa yang kita boleh lakukan sendiri. Setiap seorang daripada kita perlu melaksanakan tanggungjawab peribadi dan sosial. Uji diri kita sendiri jika perlu. Asingkan diri jika kita diuji positif. Berjumpa doktor jika kita mempunyai simptom-simptom.

Apabila kita tahu apa yang harus dilakukan, kita tidak lagi akan menganggap COVID-19 sebagai penyakit yang sungguh menakutkan. Marilah kita sama-sama memainkan peranan untuk memastikan semua orang selamat, terutamanya mereka yang mudah terjejas dalam kalangan kita.

Golongan yang paling membimbangkan saya adalah warga emas, terutama sekali mereka yang masih belum menjalani vaksinasi. Setakat ini kami telah berjaya memastikan jumlah kematian kita amat rendah. Tetapi malangnya, kita masih mencatat 142 kematian setakat ini.

Hampir kesemuanya warga emas, yang mempunyai penyakit-penyakit lain. Pakcik-pakcik dan makcik-makcik dalam lingkungan usia 60-an, 70-an dan 80-an, yang berada dalam masyarakat kita. Bilangan yang tidak seimbang merupakan warga emas yang tidak menjalani vaksinasi.

Mereka membentuk hanya 1.5% daripada penduduk negara. Tetapi membentuk dua pertiga daripada mereka yang memerlukan rawatan ICU atau telah meninggal dunia. Baki satu pertiga merupakan warga emas yang telah menjalani vaksinasi.

Kami berasa amat sedih dengan setiap kehilangan. Saya amat bersimpati dan mengucapkan takziah kepada semua keluarga yang terjejas.

Dengan lebih banyak kes COVID-19, kebanyakan kita telah pun bertemu sama ada dengan seseorang yang telah dijangkiti COVID-19, atau mengenali seseorang yang telah bertemu seorang pesakit.

Lambat-laun, setiap seorang daripada kita akan dijangkiti virus ini. Ini bermakna semua warga emas juga akan dijangkiti virus ini. Dan bagi mereka, risikonya sangat nyata.

Seperti yang saya katakan tadi, COVID-19 kini berbahaya bagi golongan warga emas: berusia 60 tahun dan ke atas jika anda belum mendapatkan suntikan vaksin, atau berusia 80 tahun dan ke atas walaupun anda sudah mendapatkan suntikan vaksin.

Sedang jumlah kes meningkat, begitu juga dengan bilangan kes warga emas. Jika kita mencecah 5,000 kes COVID-19 sehari, setiap hari kita boleh menjangkakan sekitar 100 daripada mereka akan mengalami sakit tenat – ini bukanlah jumlah yang kecil.

Para doktor dan jururawat kita melakukan yang terbaik untuk setiap pesakit. Malangnya, di sebalik usaha terbaik mereka, tidak semua pesakit yang sakit tenat dapat diselamatkan.

Yang sedihnya, ada yang akan meninggal dunia. Sama seperti penyakit radang paru-paru. Lebih daripada 4,000 mati akibat penyakit radang paru-paru setiap tahun, kebanyakannya warga emas yang mempunyai penyakit-penyakit lain. Sepanjang minggu-minggu dan bulan-bulan yang akan datang, kita mungkin akan melihat jumlah kematian berkaitan COVID-19 terus meningkat.

Ada beberapa perkara yang kita boleh lakukan, dan yang warga emas boleh lakukan sendiri, untuk melindungi mereka dan mengurangkan bilangan yang sakit tenat. Bagi warga emas yang belum menjalani vaksinasi, kami akan terus berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memujuk anda dan memberi vaksin kepada anda.

Jika anda berusia lebih 60 tahun dan belum lagi menjalani vaksinasi, anda menghadapi risiko yang sangat tinggi – sila dapatkan suntikan anda sekarang! Bagi warga emas yang sudah menjalani vaksinasi, sila dapatkan suntikan penggalak untuk meningkatkan daya tahan tubuh anda.

Vaksinasi telah mengurangkan risiko anda dijangkiti dengan banyak, tetapi risiko anda masih jauh lebih tinggi daripada seseorang yang lebih muda. Suntikan penggalak akan mengurangkan lagi risiko anda.

Jika anda warga emas yang sudah menjalani vaksinasi, pengambilan suntikan penggalak mengurangkan risiko anda mengalami jangkitan teruk lebih daripada 10 kali ganda. Atau dalam erti kata lain, dari sudut pandangan virus ini, suntikan penggalak menjadikan seseorang berusia 80 tahun yang sudah menjalani vaksinasi, seperti individu yang jauh lebih muda sekitar 50 tahun!

Itulah sebabnya saya gembira melihat ramai warga emas datang terus untuk mendapatkan suntikan penggalak sebaik sahaja anda layak, walaupun sebelum anda menerima undangan anda melalui SMS.

Warga emas sendiri harus mengambil langkah-langkah berjaga-jaga tambahan.

Silakan keluar untuk bersenam dan menghirup udara segar. Tapi tolong kurangkan makan dan minum kopi di luar bersama teman-teman karib anda. Ini akan mengurangkan risiko anda dijangkiti virus. Kami mahu anda kekal sihat!

Orang-orang muda yang tinggal serumah dengan warga emas juga boleh membantu melindungi mereka. Misalnya, anda boleh mengurangkan interaksi sosial anda buat masa kini. Dan menguji diri anda secara kerap supaya anda tidak membawa virus itu pulang ke rumah.

Satu lagi kumpulan yang membimbangkan para ibu bapa adalah kanak-kanak berusia di bawah 12 tahun. Vaksin-vaksin belum lagi diluluskan bagi kanak-kanak yang masih kecil. Dengan jumlah kes yang meningkat, semestinya ibu bapa sangat bimbang anak-anak mereka akan dijangkiti virus.

Walaupun data menunjukkan bahawa kanak-kanak yang dijangkiti COVID-19 jarang mengalami sakit tenat, ibu bapa tetap bimbang. Kami sedang memantau dengan teliti perkembangan ujian-ujian dan kelulusan vaksin di Amerika Syarikat.

Kami akan mula memberi vaksin kepada kanak-kanak sebaik sahaja vaksin-vaksin diluluskan untuk mereka, dan pakar-pakar kami berpuas hati bahawa vaksin-vaksin tersebut selamat. Ini mungkin akan dilaksanakan pada awal tahun depan.

Sementara itu, kami akan mempertingkatkan kemudahan-kemudahan penjagaan kesihatan kita untuk memastikan mereka yang sakit tenat akan mendapat rawatan perubatan yang mereka perlukan, terutama sekali bantuan pernafasan oksigen dan rawatan di ICU.

Namun, ada had bagi sejauh mana kita boleh meningkatkan kemudahan-kemudahan tersebut. Kami boleh membina kemudahan-kemudahan rawatan baru dan memmbeli peralatan baru, dan kami sedang berbuat demikian.

Tetapi sukar bagi kami untuk mencari lebih ramai doktor dan jururawat untuk mengendalikannya. Itulah sebabnya kami perlu mengawal lonjakan jumlah kes COVID-19.

Pada masa yang sama, sebagai sebahagian daripada kehidupan dengan COVID-19, kita juga mesti menjalin semula hubungan kita dengan dunia. Khususnya, kami harus terus membuka semula sempadan kita dengan selamat.

Syarikat-syarikat dan para pelabur perlu menjalankan perniagaan serantau dan global dari Singapura.

Orang-orang yang bekerja untuk syarikat-syarikat dan para pelabur ini perlu ke luar negara untuk mencari nafkah.

Para pelajar perlu mengikuti penempatan dan latihan amali di luar negara tanpa perlu dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) setiap kali. Keluarga dan rakan-rakan mahu meluangkan masa bersama sekali-sekala, di luar negara.

Kami telah memulakan Laluan Perjalanan bagi yang Sudah Menjalani Vaksinasi dengan Jerman dan Brunei, dan baru sahaja mengumumkan satu lagi aturan dengan Korea Sekatan.

Projek-projek rintis ini menunjukkan bahawa para individu yang sudah menjalani vaksinasi boleh ke luar negara dengan selamat, dan pada masa yang sama membenarkan sebilangan kecil kes positif COVID-19 memasuki negara kita.

Kami akan melaksanakan lebih banyak aturan seperti ini, terutamanya dengan negara-negara dengan keadaan COVID-19 yang stabil. Ini akan memastikan kita terus terhubung dengan rantaian-rantaian bekalan global dan membantu mengekalkan status Singapura sebagai sebuah hab.

BEBERAPA BULAN AKAN DATANG

Bulan-bulan yang akan datang akan terasa sukar. Saya menjangkakan jumlah kes harian akan terus meningkat untuk beberapa minggu lagi. Sistem penjagaan kesihatan kita akan terus menghadapi tekanan. Kita boleh memperlahankan, tetapi kita tidak boleh mengekang penularan varian Delta.

Akan tiba masa apabila lonjakan jumlah kes akan stabil, dan jumlah kes akan mula menurun. Kami tidak tahu bila sebenarnya, tetapi berdasarkan pengalaman negara-negara lain, mudah-mudahan dalam masa sebulan atau lebih. Sedang tekanan ke atas sistem penjagaan kesihatan berkurangan, kami boleh melonggarkan sekatan-sekatan. Tetapi kami harus melakukannya dengan berhati-hati, bagi mengelakkan daripada memulakan gelombang jangkitan baru sekali lagi.

Kita mesti melindungi sistem penjagaan kesihatan dan para pekerja penjagaan kesihatan kita, demi mengharungi pandemik ini dengan selamat. Izinkan saya menyatakan sesuatu kepada semua pekerja penjagaan kesihatan kita.

Saya tahu tekanan besar yang anda sedang hadapi, dan tanggungjawab berat yang anda galas. Anda telah berjuang bermati-matian, sekian lama. Kini kita sedang lalui fasa yang mungkin paling sukar dalam perjalanan kita. Tetapi ia tidak akan berterusan selama-lamanya.

Selepas lonjakan jumlah kes memuncak, keadaan sepatutnya menjadi lebih baik. Kami sedang berusaha sedaya upaya untuk melindungi anda dan sistem penjagaan kesihatan, sedang kita mengharungi gelombang jangkitan ini.

Jika kami tidak melindungi anda, anda tidak boleh melindungi kami. Bagi pihak semua rakyat Singapura, saya mengucapkan terima kasih kepada anda semua. Kami bersama anda, dan kami akan memberi sokongan penuh kepada anda.

Dan kepada semua rakyat Singapura, kami juga memerlukan sokongan anda. Hospital-hospital dan para pekerja penjagaan kesihatan adalah benteng pertahanan kita yang terakhir.

Bantulah kami melindungi mereka. Marilah kita sama-sama menjadi benteng pertahanan yang pertama.

Teruskan mematuhi SMM yang sedia ada, dan kurangkan aktiviti-aktiviti sosial, bagi memperlahankan penularan virus.

Dapatkan suntikan vaksin jika anda belum lagi berbuat demikian – ia akan mengurangkan kemungkinan anda mengalami sakit teruk. Dan dapatkan suntikan penggalak anda apabila tiba giliran anda untuk mendapatkannya.

Lakukan ujian kendiri secara tetap, bagi mengelakkan daripada menjangkiti orang lain, terutamanya warga emas di sekeliling anda. Jika anda dijangkiti, jalani pemulihan di rumah kecuali anda menghidapi penyakit yang serius, atau ada anggota keluarga yang mudah terjejas.

Tolong jangan tergesa-gesa ke Jabatan Kemalangan & Kecemasan (A&E) jika anda mengalami simptom-simptom ringan.

Marilah kita mengutamakan kapasiti di hospital bagi mereka yang benar-benar memerlukannya – baik untuk kes-kes COVID-19 yang serius mahupun mereka yang menghidapi penyakit-penyakit serius yang lain.

LALUAN SETERUSNYA

Perjuangan kita menentang COVID memakan masa yang panjang. Usaha memeranginya berterusan. Tetapi kita kini berada dalam kedudukan yang jauh lebih baik berbanding setahun, malah enam bulan yang lalu. Kadangkala kita mungkin tidak merasakannya, tetapi kita sedang mencatat kemajuan yang mantap ke arah kebiasaan baru.

Selepas lonjakan jumlah kes stabil, kita mungkin mengalami lonjakan-lonjakan pada masa hadapan, terutamanya jika varian-varian baru muncul. Kita mungkin perlu memperketat langkah-langkah kawalan sekali lagi, sekiranya jumlah kes meningkat dengan begitu pantas, demi melindungi sistem penjagaan kesihatan kita. Tetapi kita akan lebih berupaya untuk menangani lonjakan jumlah kes pada masa hadapan.

Kapasiti dan proses-proses kita semakin bertambah baik. Apabila lebih ramai orang terdedah kepada virus dan pulih daripadanya, tahap daya tahan tubuh kita akan meningkat.

COVID-19 akan menular dengan lebih perlahan dalam kalangan kita. Dengan setiap hari yang berlalu, kita semakin kuat dan berdaya tahan.Dan kita lebih bersedia menjalani kehidupan kita dengan kehadiran virus ini dalam kalangan kita.

Bagaimana kita tahu bila kita mencapai kebiasaan baru ini? Ia akan berlaku apabila kita boleh melonggarkan sekatan-sekatan dan hanya mengenakan SMM yang longgar, dan jumlah kes terus stabil – mungkin sebanyak beberapa ratus sehari, tetapi ia tidak meningkat. Apabila hospital-hospital kita boleh berfungsi seperti biasa.

Apabila kita boleh kembali melakukan perkara-perkara yang biasa kita lakukan sebelum ini, atau melihat tempat-tempat kembali sesak, tanpa berasa bimbang atau pelik. Beberapa negara telah pun mencapai keadaan ini, contohnya, di Eropah. Tetapi mereka terpaksa menanggung jumlah korban yang tinggi.

Kita akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga bulan, dan mungkin sehingga enam bulan untuk mencapai keadaan ini. COVID-19 telah berulang kali mengejutkan kita sebelum ini, dan mungkin ia akan mengejutkan kita sekali lagi. Tetapi Singapura akan mencapai keadaan ini juga.

Secara berhati-hati dan selamat, tanpa membiarkan sesiapa pun ketinggalan untuk membela diri mereka sendiri. Dan dengan jumlah korban yang serendah mungkin sepanjang perjalanan ini.

PENUTUP

Dengan kerjasama semua orang, kita akan dapat mengatasi pandemik ini, mudah-mudahan tidak lama lagi. Kita mempunyai sumber, keazaman, dan keberanian untuk membantu kita mengharungi krisis ini.

Pandemik ini telah menonjolkan yang terbaik dalam diri rakyat Singapura. Kita kekal bersatu padu dan teguh walaupun menghadapi kesukaran. Marilah kita teruskan usaha ini, dan terus bekerjasama untuk melengkapkan perjalanan ke arah membina daya tahan terhadap COVID.

Terima kasih. 

Sumber : BERITA Mediacorp/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan