Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

COVID-19: Khidmat penghantaran bantu pemandu teksi Abdullah Mohd Sam raih pendapatan lebih tinggi

Penularan COVID-19 sekarang memaksa kita membuat pelbagai penyesuaian pada amalan lama, termasuk bekerja dari rumah dan #dudukrumahsaja.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Penularan COVID-19 sekarang memaksa kita membuat pelbagai penyesuaian pada amalan lama, termasuk bekerja dari rumah dan #dudukrumahsaja.

Sungguhpun demikian, penyesuaian seperti ini nyatanya menjejas para pemandu teksi.

Jika anda perhatikan mana-mana perhentian teksi, boleh dikatakan ada banyak teksi 'beratur' panjang.

BAWA PULANG KURANG $30 SELEPAS LEBIH 12 JAM BEKERJA

Bagi Encik Abdullah Mohd Sam yang sudah memandu selama 10 tahun sebagai seorang pemandu teksi, beliau mengakui kesannya begitu menggigit walaupun akur, langkah 'circuit breaker' penting bagi membendung penularan virus COVID-19.

Bapa tunggal berusia 55 tahun itu malah menganggarkan pendapatannya menjunam sampai 80 peratus.

"Dulu selepas tolak sewa dan semuanya, saya bawa balik sekitar antara S$90 dengan S$100 sehari. Sekarang, disebabkan COVID-19, saya hanya bawa pulang antara S$20 dengan S$30," rintih Encik Abdullah.

Wang dibawa pulang Encik Abdullah Mohd Sam itu hasil memerah keringat selama lebih 12 jam - iaitu dari jam 10.00 pagi hingga 11.00 malam.

KINI BOLEH TARIK NAFAS SEDIKIT, RAIH PENDAPATAN LEBIH

Mujur, beliau kini mampu meraih pendapatan yang boleh mencecah seganda lebih tinggi, dengan menyediakan khidmat penghantaran.

Encik Abdullah mula menyediakan khidmat itu pada hari kedua tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19. Ini dapat dilakukan hasil kerjasama antara syarikat SMRT dengan beberapa syarikat tempatan yang perlu menampung permintaan khidmat penghantaran yang lebih tinggi.

Encik Abdullah pula meraih manfaat di bawah kerjasama antara SMRT dengan syarikat Fei Siong Group. Beliau menerima upah $5 bagi setiap tempahan yang dikirim, selain elaun $5 sejam di bawah inisiatif itu.

Jadi jika Encik Abdullah bertugas sembilan jam dalam tempoh sehari, elaun S$45 terus menjadi miliknya.

Jika beliau dapat melakukan tiga penghantaran pula, Encik Abdullah secara keseluruhannya dapat membawa pulang S$60 sehari.

BAGAIMANA PROSES SEDIA KHIDMAT SELAKU PEMANDU TEKSI?

Jadual kerja Encik Abdullah sekarang juga lebih teratur. Beliau harus bersedia menghantar tempahan dari jam 11.00 pagi hingga 8.00 malam setiap hari.

Sementara menunggu tempahan, beliau tidak dibenarkan membawa penumpang. Apabila menerima panggilan pula, beliau langsung akan mengambil barang-barangan yang perlu dikirim.

"Ia mudah sekali kerana saya tidak perlu keluar untuk terima barang. Mereka (syarikat) hantar ke teksi. Cuma bila sampai di rumah pelanggan, saya perlu hantar ke depan pintu," kata Encik Abdullah.

Penyesuaian ini antara lain membolehkan Encik Abdullah untuk menjimatkan kos minyak.

"Sebelum ini saya pernah cuba beratur untuk mendapatkan penumpang di Yio Chu Kang. Selepas dua jam, saya dapat satu penumpang. Tapi tambangnya hanya S$7. Saya kira langkah baru ini lebih berbaloi, jika mengambil kira masa dan duit minyak," jelas beliau lagi.

ALU-ALUKAN INISIATIF SMRT

Walaupun tidak dibenarkan membawa penumpang ketika menyediakan khidmat penghantaran, Encik Abdullah tetap mengalu-alukan inisiatif ini.

Mentelah lagi, beliau tidak perlu membayar sewa berjumlah hampir $3,000 sebulan, sepanjang tempoh 'circuit breaker' ini.

"Kalau untuk musim tengah susah ini, usaha ini bagus. Saya lihat keadaan di luar, teksi beratur bukan main lagi.

"Daripada kita buang 1-2 jam dan tidak datangkan hasil, lagi baik satu jam $5 lagi baik daripada tak ada apa-apa. Saya kira bagus," ujar Encik Abdullah.

SYARIKAT LAIN GANDING BAHU BANTU PEMANDU TEKSI

Syarikat SMRT menyasarkan untuk membantu lebih 500 pemandu teksinya di bawah inisiatif tersebut.

Ia antara lain sudah menjalin kerjasama dengan KFC, Pizza Hut, Grab Food dan GrabExpress.

Para pemandu ComfortDelGro pula boleh membantu memenuhi permintaan penghantaran bagi syarikat RedMart dan McDonald's yang kian meningkat, seperti yang diumumkan minggu ini.  

LAPORAN BERKAITAN: 


Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan