Skip to main content

Iklan

Iklan

COVID-19: Kesihatan emosi pekerja asing di asrama timbulkan keprihatinan majikan

Mereka telah meminta dihantar pulang kerana bimbang tentang COVID-19 tetapi sedang negara-negara menguat kuasakan sekatan pergerakan, penerbangan-penerbangan dibatalkan dan para pekerja asing kini dikenakan kuarantin dan tidak dapat meninggalkan bilik asrama.

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: Kesihatan emosi pekerja asing di asrama timbulkan keprihatinan majikan

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 10 Apr 2020 11:35AM Dikemas Kini : 10 Apr 2020 11:38AM

SINGAPURA: Mereka telah meminta dihantar pulang kerana bimbang tentang COVID-19 tetapi sedang negara-negara menguat kuasakan sekatan pergerakan, penerbangan-penerbangan dibatalkan dan para pekerja asing kini dikenakan kuarantin dan tidak dapat meninggalkan bilik asrama.

Seorang majikan yang bimbang memberitahu Mediacorp bahawa tiga daripada pekerjanya sudah membeli tiket pulang ke Bangladesh sebulan lalu tetapi penerbangan mereka dibatalkan sedang negara itu menggantung penerbangan dari Singapura dan negara-negara lain bulan lalu.

Mereka kini sedang tinggal bersama puluhan rakan kerja lain di S11 @ Punggol, yang diisytiharkan sebagai kawasan pengasingan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) pada Ahad (5 Apr).

Encik Tang, yang mengendalikan sebuah firma kerja-kerja elektrikal tempatan, berkata bahawa beliau mempunyai 26 pekerja yang tinggal di tiga bilik di sana.

Asrama itu mempunyai 283 kes COVID-19 setakat Khamis dan merupakan asrama pekerja yang paling teruk terjejas.

Kes virus korona sudah dikesan di beberapa asrama dan tiga lagi sudah diisytiharkan sebagai kawasan pengasingan - Westlite Toh Guan, Toh Guan Dormitory dan Sungei Tengah Lodge.

Pada Khamis, Singapura melaporkan kenaikan kes paling tinggi dalam sehari sebanyak 287 kes COVID-19, dengan 202 daripada kes baru itu dikaitkan dengan asrama pekerja asing.

Pengurus operasi dari firma Tilecon, Cik Jacqueline Koay, berkata bahawa sebelum kenaikan kes baru-baru ini, beberapa pekerja warga Bangladesh berkata mereka hendak pulang kerana mereka "takut".

"Pada satu ketika, mereka ternampak ambulans di Sungei Tengah Lodge ... keesokan harinya, semua datang ke pejabat saya, mereka kata mereka mahu pulang," katanya.

Beliau berjaya menenangkan mereka dan para pekerja itu kekal berada di sini. Bagaimanapun, Cik Koay berkata beliau kini "berasa bersalah" kerana memujuk mereka untuk kekal di sini, meskipun tidak jelas sekiranya mereka boleh pulang disebabkan oleh penggantungan penerbangan di Bangladesh.

"Mereka mempercayai kami, kini ini yang berlaku, saya berasa bersalah." katanya. "Sekarang mereka dikurung."

Sungei Tengah Lodge, asrama pekerja terbesar di Singapura, diisytiharkan sebagai kemudahan pengasingan pada 11.45 malam pada Rabu (8 Apr).

SISTEM PERUBATAN "LEBIH BAIK" DI S'PURA

Pemilik SM Waste Management Encik Yoga Nathan, berkata bahawa salah seorang daripada pekerjanya juga mahu pulang ke India bulan lalu, tetapi penerbangannya dibatalkan dua kali.

Apabila Singapura melaksanakan "pemutus rantaian" pada Selasa, tempat kerja tidak penting ditutup, sekali gus bermakna ramai pekerja kini duduk di asrama sepanjang hari meskipun mereka tidak dalam pengasingan. Para pekerja SM Waste boleh meninggalkan asrama, tetapi hanya untuk kerja, seperti melaksanakan khidmat pembersihan penting.

Para pekerjanya masih bimbang mereka mungkin dijangkiti virus itu sama ada di luar atau di dalam asrama, katanya, dan beliau meminta mereka untuk sentiasa memakai pelitup dan menukarnya dengan tetap.

Namun sesetengah pekerja berkata mereka percaya kemudahan perubatan Singapura lebih baik. Pengarah urusan Yong Fong Engineering & Construction, Cik Mandy Chih berkata tiada seorang pekerjanya meminta dihantar pulang.

"Sejauh ini para pekerja saya dalam keadaan baik, mereka berpendapat rawatan perubatan Singapura lebih baik berbanding di negara mereka," katanya. Seramai 20 pekerjanya dikuarantin di dalam dua bilik di Toh Guan Dormitory.

Bagaimanapun, beliau masih prihatin tentang kesihatan emosi para pekerjanya dan mereka mumpunyai kumpulan sembang syarikat untuk mereka menghantar kiriman mesej yang positif kepada pekerja, katanya. Asrama itu kini menawarkan Wi-Fi percuma kepada para pekerja. 

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan