Koronavirus

Images
  • sparkletots fengshan
    Gambar fail prasekolah Sparkletots PCF di Fengshan. (Gambar: Yong Jun Yuan/TODAY)

COVID-19: Kanak-kanak prasekolah PPIS dikaitkan dengan kelompok PCF di Fengshan

SINGAPURA: Seorang kanak-kanak berusia enam tahun adalah antara lima kes baru COVID-19 yang dikaitkan dengan prasekolah Sparkletots PCF di Fengshan, menurut Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) pada Jumaat (27 Mac).

Kanak-kanak itu bersekolah di Pusat Pembangunan Kanak-Kanak Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) di Bedok Rservoir, dedah ECDA dalam kenyataannya. Jantina kanak-kanak itu bagaimanapun tidak didedahkan.

Awal dari itu, pada Jumaat, Kementerian Kesihatan mengumumkan lima kes baru yang dikaitkan dengan prasekolah Sparkletots PCF di Fengshan yang terletak di Bedok North, sekali gus membawa kepada jumlah keseluruhan 25 kes yang disahkan di kelompok itu.

Ia juga kelompok kedua terbesar di sini selepas kelompok Safra Jurong.

16 daripada kes-kes itu adalah kakitangan di prasekolah Sparkletots, dan sembilan adalah anggota keluarga Kes 601, yang juga pengetua di prasekolah berkenaan.

Dalam kenyataan medianya, ECDA menjelaskan daripada lima kes baru yang dikaitkan dengan kelompok itu, satu kes adalah anggota kakitangan bukan tenaga pengajar yang sebelum ini diletakkan di bawah kuarantin.

Empat lagi kes adalah anggota keluarga kes 521, yang diuji positif bagi virus itu pada 23 Mac, dan juga seorang ahli keluarga pengetua pusat Sparkletots PCF itu.

KALI TERAKHIR HADIR PPIS 11 MAC

Kanak-kanak enam tahun itu kali terakhir hadir di Pusat PPIS itu pada 11 Mac, dan dalam keadaan sihat pada masa itu, menurut ECDA yang menyelia prasekolah-prasekolah di sini.

Dalam kenyataannya juga, ECDA menambah memandangkan kontak terakhir kanak-kanak itu dengan Pusat PPIS adalah 15 hari sebelum dia diuji positif, Pusat PPIS tidak perlu ditutup selama 14 hari.

"Pusat PPIS itu sebelum ini melakukan pembersihan dan pembasmian kuman di premisnya pada 25 Mac.

"Sebagai langkah pencegahan tambahan, pusat itu akan ditutup pada Sabtu (28 Mac) bagi pembersihan dan pembasmian kuman sekali lagi. Sekiranya tiada perkembangan baru, Pusat PPIS itu akan mula beroperasi pada Isnin (30 Mac)," jelas ECDA dalam kenyataannya.

Agensi tersebut juga mendedahkan Pusat PPIS berkenaan sudah melaksanakan siri langkah-langkah pencegahan yang ditingkatkan sejak beberapa bulan lalu, termasuk pengambilan suhu badan yang lebih kerap, memastikan amalan kebersihan peribadi dan sekitaran dalam kalangan kanak-kanak dan kakitangan serta melarang pelawat dan menggantung kegiatan dalam kumpulan besar.

Pihaknya menambah Pusat PPIS itu sedang memantau kesihatan kakitangan dan kanak-kanaknya dengan teliti.

ECDA juga menjelaskan pihaknya sedang bekerjasama dengan kedua-dua pusat prasekolah itu bagi memantau situasi tersebut dengan teliti.

Agensi itu turut mengingatkan prasekolah-prasekoalh di sini supaya berwaspada apabila melakukan pemeriksaan kesihatan dan untuk memastikan piawai kebersihan peribadi dan sekitaran yang tinggi.

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

- TODAY/IM/im

Top