Virus Korona

Images
  • yaman children
    Kanak-kanak di sebuah kem di wilayah barat Yaman, Hodeida. (Gambar fail: Khaled ZIAD/AFP)

COVID-19: Jutaan kanak-kanak Yaman bakal kebuluran dek kekurangan bantuan

DUBAI: Jumlah kanak-kanak di Yaman yang kurang zat makanan mungkin meningkat kepada 2.4 juta orang menjelang akhir tahun ini di tengah-tengah kemerosotan ‘besar’ dalam pembiayaan bantuan kemanusiaan, menurut agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Jumaat (26 Jun).

Menurut UNICEF jumlah kanak-kanak kebuluran di bawah lima tahun meningkat 20 peratus, hampir separuh jumlah kanak-kanak seusia itu di merata negara.

"Jika kami tidak segera menerima bantuan, kanak-kanak ini akan kebuluran dan ramai akan mati,” kata Sara Beysolow Nyanti, wakil UNICEF ke Yaman.

UNICEF membuat rayuan AS$461 juta (S$642 juta) bagi program kemanusiaannya, yang pada masa ini mendapat 39 peratus pembiayaan.

“Tatkala sistem kesihatan dan infrastruktur Yaman bergelut untuk mengatasi virus korona, situasi yang telah pun teruk untuk kanak-kanak mungkin merosot seterusnya,” tambah UNICEF.

Situasi di Yaman dijangka bertambah serius disebabkan negara penderma mengurangkan bantuan.

Yaman mencatat lebih 1,000 kes COVID-19 pada Rabu termasuk 275 kematian.

Bagaimanapun, jumlah sebenar dipercayai lebih tinggi kerana keupayaan ujian adalah amat terhad.

Rayuan UNICEF bagi dana AS$53 juta (S$74 juta)untuk melawan COVID-19 hanya berjaya mencapai 10 peratus jumlah tersebut. 

- AFP/SU/fz

Top