Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

COVID-19: Itali perluas perintah berkurung ke seluruh negara

Seluruh Itali akan diletakkan di bawah perintah berkurung sehingga bulan depan, umum Perdana Menteri, Giuseppe Conte pada Isnin (9 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: Itali perluas perintah berkurung ke seluruh negara

Seorang lelaki mamakai pelitup muka sedang memetik gambar di Galeri Vittorio Emanuele II di Milan, Itali. (Gambar: ANDREAS SOLARO/AFP)

Diterbitkan : 10 Mar 2020 08:44AM Dikemas Kini : 10 Mar 2020 08:46AM

ROM: Seluruh Itali akan diletakkan di bawah perintah berkurung sehingga bulan depan, umum Perdana Menteri, Giuseppe Conte pada Isnin (9 Mac).

Ia adalah usaha baru yang tidak pernah diduga dan dilakukan dalam usaha untuk mengatasi COVID-19 di negara Eropah yang paling teruk dilanda wabak itu.

Encik Conte memberitahu pemberita bahawa langkah-langkah yang diperkenalkan baru dua hari lalu di kebanyakan kawasan utara tidak lagi mencukupi selepas angka kematian melonjak akibat penyakit yang sangat berjangkit itu, dan berkata seluruh negara terpaksa melakukan pengorbanan untuk menghentikan penyebarannya.

"Keputusan yang tepat hari ini adalah untuk kekal di rumah. Masa depan kita dan masa depan Itali berada di tangan kita. Hari ini tangan-tangan ini perlu lebih bertanggungjawab berbanding sebelum ini," kata Encik Conte sambil menambah bahawa langkah itu akan berkuatkuasa hari ini.

Seramai 60 juta penduduk Itali hanya boleh melakukan perjalanan untuk kerja, alasan perubatan atau kecemasan sehingga 3 April.

Semua sekolah dan universiti yang ditutup di seluruh negara minggu lalu hingga 15 Mac, kini tidak akan dibuka semula sebelum bulan depan.

Penularan wabak itu hanya dikesan berhampiran ibu kota Itali, Milan pada 21 Februari. Sejak itu terdapat 9,172 kes yang disahkan dan 463 kematian, menyebabkan sistem kesihatan kebangsaan menghadapi tekanan besar-besaran.

Conte berkata, semua perhimpunan awam di luar akan dilarang dan mengumumkan bahawa semua acara sukan, termasuk perlawanan bola sepak liga teratas Serie A akan digantung, menyebabkan kejuaraan yang mendapat tontonan ramai itu terjejas.

"Kami tidak lagi mempunyai masa. Jumlah angka menunjukkan bahawa terdapat peningkatan yang besar dalam jangkitan, orang dalam rawatan rapi dan kematian," katanya dalam satu kenyataan yang suram.

“Tabiat kita perlu berubah sekarang, dan kita perlu memberi tumpuan kepada Itali."

Bergelut untuk membendung wabak itu, Itali mengenakan kawalan ketat ke atas perjalanan dari wilayah utara Lombardy dan sebahagian dari kawasan jirannya iaitu Veneto, Piedmont dan Emilia-Romagna pada Ahad.

Sekatan-sekatan itu kini diperluaskan supaya peraturan yang sama akan merangkumi seluruh negara, kata Encik Conte.

Kerajaan telah mengarahkan pawagam, teater dan muzium supaya ditutup dan memberitahu kedai-kedai dan restoran supaya memastikan pengunjung menjarakkan diri sekurang-kurangnya satu meter antara satu sama lain.

Semua restoran dan bar kini perlu ditutup pada jam 6 petang dan semua resort ski Alpine mesti ditutup.

Bagaimanapun, pengangkutan awam akan terus beroperasi di seluruh Itali. 

Sumber : Reuters/EM/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan