Virus Korona

Images
  • china (1)
    China bersedia berkerjasama dengan negara lain untuk mengambil langkah kawalan ketat demi menjaga kesihatan penumpang. (Gambar: Byambasuren Byamba-ochir/AFP)

COVID-19: China mahu negara tertentu tarik balik larangan penerbangan

BEIJING: Pihak berkuasa penerbangan China berharap beberapa negara tertentu akan menarik balik larangan perjalanan bagi melancarkan perjalanan rentas sempadan, lapor agensi berita Xinhua.

Pegawai Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC) Liang Nan berkata sektor penerbangan awam China bersedia bekerjasama dengan negara-negara lain dan mengambil langkah kawalan epidemik yang ketat untuk menjaga kesihatan penumpang.

Penularan penyakit virus korona COVID-19 pertama kali dikesan di pusat bandar Wuhan, China, menyebabkan operasi penerbangan antarabangsa terjejas apabila kebanyakan syarikat membatalkan penerbangan, berikutan permintaan yang semakin merosot.

CAAC memahami mengapa keputusan itu perlu diambil. Pada masa yang sama, CAAC mengadakan dan meluluskan penerbangan sewa khas untuk mengangkut penumpang yang terkandas, melibatkan rakyat China dan warga asing, kata Encik Liang.

Bagaimanapun, katanya, terdapat sesetengah negara yang bertindak agak keterlaluan dengan menangguhkan penerbangan masuk dan keluar dari China atau melaksanakan sekatan kemasukan di sempadan.

"Sekatan sedemikian memberikan kesan negatif ke atas pasaran penerbangan global, menyebabkan kesulitan kepada pelancong antarabangsa," katanya.

Encik Liang berkata CAAC sentiasa berhubung rapat dengan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan mengemas kini maklumat mengenai langkah-langkah kawalan wabak yang diambil China untuk penerbangan antarabangsa.

Selain itu, katanya, komunikasi dengan pihak berkuasa penerbangan dari negara dan wilayah lain sentiasa diperkukuhkan.

Beliau turut menggesa semua negara supaya mengikut nasihat pertubuhan antarabangsa dan berhati-hati ketika mempertimbangkan untuk mengambil langkah ketat, termasuk menggantung penerbangan.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

- BERNAMA/AI/ai

Top