Skip to main content

Iklan

Iklan

COVID-19: Berdepan kekurangan relawan, perusahaan sosial, badan amal sesuaikan khidmat untuk terus bantu golongan memerlukan

Badan amal dan perusahaan sosial di Singapura berusaha untuk terus membantu golongan memerlukan di tengah-tengah krisis COVID-19 dengan menyesuaikan khidmatnya agar mematuhi sekatan pemutus rantaian jangkitan. Ini di samping berdepan dengan jumlah relawan yang kian merosot. 

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: Berdepan kekurangan relawan, perusahaan sosial, badan amal sesuaikan khidmat untuk terus bantu golongan memerlukan

Relawan di kemudahan meletak kereta Food from the Heart di Joo Seng Road. (Gambar: Food from the Heart)

Diterbitkan : 19 Apr 2020 11:07PM Dikemas Kini : 19 Apr 2020 11:11PM

SINGAPURA: Badan amal dan perusahaan sosial di Singapura berusaha untuk terus membantu golongan memerlukan di tengah-tengah krisis COVID-19 dengan menyesuaikan khidmatnya agar mematuhi sekatan pemutus rantaian jangkitan. Ini di samping berdepan dengan jumlah relawan yang kian merosot. Ada daripadanya memberi amaran ia mungkin terlepas pandang beberapa keluarga berpendapatan rendah memandangkan sesetengah khidmat kini tidak lagi boleh beroperasi.

Sebuah perusahaan sosial, Dignity Kitchen, bergelut dengan masalah untuk mengekalkan 58 kakitangannya yang kurang daya fizikal atau intelektual di pusat makanannya di Serangoon sejak permulaan tempoh pemutus jangkitan selama sebulan pada 7 Apr. Pusat makanan tersebut mempunyai tujuh gerai.

Pengasasnya, Koh Seng Choon memberitahu Mediacorp bahawa jumlah pelanggan yang mengunjungi pusat makanan Dignity Kitchen jatuh sehingga tiada orang langsung. Lantaran itu, beliau mengerahkan pengendali gerai untuk memasak 500 hidangan sehari bagi diagihkan kepada rumah rawatan, kakitangan sokongan hospital serta pekerja asing. Pusat makanan itu juga sebelum ini menjamu warga tua di rumah-rumah rawatan merata Singapura.

Dignity Kitchen adalah sebahagian daripada inisiatif perusahaan sosial lebih meluas dipanggil Project Dignity yang ditubuhkan pada 2005 apabila Encik Koh menemui pesakit polio, Tony, yang menyimpan impian untuk menjadi seorang cef.

Perniagaan latihan penjaja Project Dignity, Dignity Learn, sudahpun ditutup buat masa sekarang dan Encik Koh menggunakan kakitangan pelatih itu sebagai pemandu penghantaran. Walaupun Dignity Kitchen menerima tajaan daripada beberapa individu dan Deutsche Bank, Mr Koh mengatakan bahawa ia masih mengalami kerugian yang agak besar.

Project Dignity juga menghadapi cabaran-cabaran lain di samping sekatan pergerakan semasa tempoh pemutus jangkitan iaitu jumlah relawan. Kumpulan relawan tempat ia bergantung harap merosot dan sesetengah pertubuhan rakan kongsi pula menarik diri daripada programnya.

Ada di antara mereka perlu menghentikan sepenuhnya sesetengah khidmat. Oleh demikian, Project Dignity memberi amaran sesetengah keluarga berpendapatan rendah mungkin tidak akan menerima skim bantuan dan program sosial.

SUMBER TENAGA RELAWAN BERUBAH

Badan-badan amal yang diwawancara Mediacorp dapat mengubah khidmatnya meskipun ada di antaranya menyatakan semua operasinya berjalan lancar.

Cik Sim Bee Hia, Ketua Pegawai Eksekutif Food from the Heart, berkata setelah badan amal makanan itu menyaksikan 30 peratus daripada pusat pengagihan rakan kongsinya tutup berikutan permulaan tempoh "circuit breaker", ia bekerjasama dengan khidmat penghantar barangan uParcel untuk membuat penghantaran ke sekitar 1,000 keluarga berpendapatan rendah.

Cik Sim juga berkata sumber relawan Food from the Heart juga sudah berubah. Sebelum ini ia bergantung kepada sebahagian besar pasukan relawan dari sekolah, syarikat atau pertubuhan bukan pemerintah (NGO) untuk operasi membungkus makanannya. Namun, sumber tenaga manusia itu merosot.

Beliau berkata ini disebabkan ketidaktentuan mengenai virus itu dan hakikat bahawa kebanyakan pertubuhan besar tersebut mempunyai sebahagian besar kakitangan yang bekerja dari rumah, lantas tidak dapat menyediakan relawan. Selain itu, sekolah juga perlu menghentikan kegiatan luar darjah sejak awal Februari.

Di pihaknya, kata beliau, lebih ramai relawan perseorangan tampil untuk berkhidmat.

Untuk membantu masalah kekurangan tenaga kerja, beberapa premis yang sebelum ini mengagihkan makanan - seperti sekolah dan pertubuhan akar umbi - bersetuju untuk membungkuskan makanan itu sendiri.

KHIDMAT PENGHANTARAN YANG DIRINTISKAN KINI DIPERLUAS

Satu lagi badan amal yang mengagihkan makanan percuma, Free Food for All (FFFA), meningkatkan khidmat penghantaran ke rumah buat keluarga memerlukan iaitu suatu amalan yang pertama kali dirintiskan pada Oktober - jauh sebelum penularan COVID-19 bermula - apabila ia membuat penghantaran ke 100 keluarga dalam sebulan.

Pengasas FFFA, Encik Nizar Mohamed Shariff, berkata: "Selepas COVID-19 ini muncul, kami sudah tahu apa yang perlu dilakukan yakni meningkatkan khidmat penghantaran harian kami."

Kini, FFFA menyasarkan untuk membuat 600 penghantaran setiap hari dan terus mengagihkan makanan kepada 1,200 keluarga lain setiap bulan di pelbagai Kelab Masyarakat merata negara.

Meskipun sepertiga daripada pangkalan relawannya kini tidak diaktifkan lagi, ia mengumpulkan beberapa penerima yang pernah menerima habuan makanan sebagai relawan pula. Mereka mengambil makanan dari kolong blok HDB untuk diagihkan kepada keluarga berpendapatan rendah yang tinggal di blok mereka.  

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan