Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

COVID-19: AMP hulur Pakej Bantuan Sementara S$100,000 bantu sehingga 100 keluarga

Mulai Rabu (1 Apr), golongan pekerja yang pendapatan keluarga mereka terjejas dek penularan COVID-19, boleh memohon bantuan kewangan daripada AMP.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mulai Rabu (1 Apr), golongan pekerja yang pendapatan keluarga mereka terjejas dek penularan COVID-19, boleh memohon bantuan kewangan daripada AMP.

Pakej Bantuan Sementara TAP 2.0 bernilai S$100,000 itu bertujuan membantu keluarga-keluarga berkenaan menampung keperluan mereka selama setahun atau sehingga situasi kewangan mereka kembali stabil. 

Setiap keluarga dijangka mendapat bantuan bernilai antara S$3,000 hingga S$5,000.

Pakej itu pertama kali diperkenalkan sewaktu krisis ekonomi pada 2009 di mana seramai 60 keluarga meraih manfaat daripada dana sekitar S$200,000.

BANTUAN HOLISTIK UNTUK SELURUH KELUARGA

Menurut Pemangku Pengarah Eksekutif AMP Singapura, Cik Zarina Yusof, versi kedua TAP ini 'dihidupkan' semula setelah mendapat tahu keluhan golongan pekerja dari pelbagai sektor.

"TAP 2.0 akan dibuka kepada para pekerja yang terjejas dari sebarang sektor. Bantuan kami akan mengambil pendekatan holistik di mana kami akan melihat keperluan keluarga para pekerja yang terjejas.

"Di bawah pakej bantuan ini, kami akan merujuk kepada program-program dan skim-skim yang sedia ada yang ditawarkan AMP dan agensi-agensi lain. Dengan ini, kami tidak membazirkan sumber-sumber sedia ada," jelas Cik Zarina.

Setakat ini, AMP menjangkakan dapat membantu sebanyak 100 keluarga ataupun 500 penerima.

Pakej ini diharap dapat membantu pekerja dan keluarga mereka dalam beberapa aspek.

Antaranya mereka berpeluang menerima pembayaran sekali sahaja atau sebahagian bagi menampung keperluan isi rumah. Selain itu, mereka akan turut diberi bimbingan tentang pengurusan kewangan.

Bagi meningkatkan peluang pekerjaan, kursus-kursus peningkatan kemahiran dan latihan semula kemahiran akan disediakan.

Bagi anggota keluarga misalnya, latihan tentang perniagaan dari rumah akan disediakan bagi para surirumah. Dengan kemahiran ini, secara tidak langsung dapat membantu menjana pendapatan tambahan untuk keluarga mereka.

Kanak-kanak yang masih bersekolah turut akan menerima bantuan dari segi dermasiswa pendidikan, tambang kad EZ-Link, serta pembayaran yuran sekolah, tadika, penjaga dan sebagainya.

SUNTIKAN S$20 JUTA BELANJAWAN BERDAYA TAHAN BANTU TINGKATKAN LAGI USAHA

Semasa Belanjawan Berdaya Tahan yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Khamis (26 Mac), sebanyak S$20 juta diperuntukkan kepada badan-badan bantu diri.

Menurut AMP, suntikan dana ini dapat memacukan lagi usahanya sekali gus membantu lebih ramai keluarga yang memerlukan.

"Kami juga akan meneliti dan mengenalpasti apakah jurang-jurang dari segi bantuan yang sedia ada dan berusaha untuk menangani jurang-jurang ini. Fokus utama kesemua bantuan AMP adalah untuk membantu para peserta atau klien kami untuk mengharungi sesuatu krisis dan juga untuk memperkasa setiap anggota keluarga supaya lebih bersedia dan yakin untuk menangani cabaran-cabaran yang mendatang," ujar Cik Hameet Khanee, Pengurus Kanan AMP.

Kriteria pemohonan TAP 2.0:

  1. Hilang sumber pendapatan disebabkan wabak COVID-19
  2. Mempunyai anak yang masih bersekolah
  3. Berpotensi untuk menambah pendapatan keluarga dalam masa setahun
  4. Pendapatan isi rumah bulanan tidak melebihi S$3,000 atau pendapatan per kapita tidak melebihi S$650

Pemohonan boleh dibuat menerusi wadah-wadah berikut:
1) Talian TAP -
Isnin hingga Jumaat, 9 pagi hingga 6 petang
Menghubungi atau menghantarkan mesej WhatsApp ke 9299 3023

2) Emel -
TAP2 [at] amp.org.sg

Pemohon yang berjaya akan dibantu selama setahun, bergantung kepada keperluan setiap klien dan keluarga.

Sekiranya bantuan masih lagi diperlukan setelah tamat tempoh, AMP akan mempertimbangkan untuk melanjutkan TAP 2.0, merujuk mereka kepada agensi khidmat sosial yang lain atau menyertakan mereka ke dalam Skim Keluarga Angkat & Belia (AFYS) 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan