Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

COVID-19: 5 pesakit, 3 kakitangan berkait kelompok TTSH; lagi 2 kes berkait kelompok pegawai ICA

Sebanyak 17 kes baru COVID-19 dilaporkan di Singapura setakat tengah hari Isnin (3 Mei) termasuk 10 kes jangkitan dalam masyarakat, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: 5 pesakit, 3 kakitangan berkait kelompok TTSH; lagi 2 kes berkait kelompok pegawai ICA

Suasana dari luar jabatan A&E TTSH pada 30 Apr 2021. (Gambar: Calvin Oh)

Diterbitkan : 04 May 2021 12:24AM Dikemas Kini : 04 May 2021 12:32AM

SINGAPURA: Sebanyak 17 kes baru COVID-19 dilaporkan di Singapura setakat tengah hari Isnin (3 Mei) termasuk 10 kes jangkitan dalam masyarakat, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Lima daripada kes masyarakat itu adalah pesakit di Hospital Tan Tock Seng (TTSH) sementara lagi tiga kes merupakan anggota kakitangan yang bekerja di sana. Kelompok itu bertambah kepada 35 kes secara keseluruhannya.

Baki dua jangkitan dalam masyarakat adalah anggota keluarga satu kes yang dilaporkan sebelum ini, yang keluar makan malam dengan seorang pegawai Penguasa Imigresen dan Pemeriksaan (ICA) yang positif COVID-19.

5 PESAKIT, 3 KAKITANGAN DIKAITKAN KELOMPOK TTSH

Lima daripada lapan kes baru dalam kelompok TTSH, merupakan pesakit yang dimasukkan dalam Wad 9D TTSH. Kesemuanya adalah warga Singapura dengan pesakit yang paling tua merupakan wanita berusia 94 tahun. Kes-kes lain melibatkan seorang wanita berusia 82 tahun, seorang lelaki 79 tahun, seorang lagi lelaki 70 tahun dan seorang wanita berusia 53 tahun.

Mereka dipindahkan ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) pada 28 Apr. Kesemua lima kes baru itu diuji positif COVID-19 pada Ahad.

Tiga lagi kes adalah anggota kakitangannya. Mereka termasuk seorang warga Malaysia yang digajikan oleh UEMS Solutions untuk bekerja sebagai porter di TTSH; seorang warga Singapura yang bertugas sebagai jururawat di jabatan kecemasan hospital itu dan seorang wanita Vietnam yang bekerja sebagai jururawat di Wad 9D.

Kelompok TTSH, yang juga kelompok COVID-19 hospital pertama di Singapura, kini adalah kelompok paling besar daripada sembilan kelompok aktif di negara ini.

KELOMPOK ICA

Dua lagi kes ditambah ke dalam kelompok berkait dengan seorang pegawai ICA, dikenali sebagai Kes 62517, menjadikan 11 kes kesemuanya.

Kes 62779 adalah wanita Filipina berusia 37 tahun yang merupakan seorang suri rumah. Beliau adalah isteri kepada Kes 62571, lelaki Singapura berusia 39 tahun yang positif koronavirus. Satu lagi kes, dikenal pasti sebagai Kes 62780, adalah anak mereka - budak lelaki Singapura berusia tiga tahun.

Kes 62571 and Kes 62517 adalah anggota keluarga dan mereka berinteraksi semasa makan malam pada 25 Apr.

Kes-kes baru yang dilaporkan pada Isnin diletakkan di bawah kuarantin pada 27 Apr kerana mereka adalah kontak rapat kepada pegawai ICA berkenaan. Kedua-duanya diuji pada 28 Apr dan keputusan mereka negatif.

Pada 1 Mei, mereka sekali lagi diuji meskipun mereka tidak bergejala dan keputusan mereka kembali positif pada keesokan harinya.

Keputusan ujian serologi bagi Kes 62779 adalah negatif manakala hasil ujian serologi bagi Kes 62780 masih dinantikan.

MOH menyatakan bilangan kes baru dalam masyarakat naik kepada 60 kes pada minggu lalu berbanding 10 kes pada minggu sebelumnya.

Jumlah kes tiada kaitan dalam masyarakat juga meningkat kepada 10 kes pada minggu lalu daripada empat kes pada minggu sebelumnya.

Dalam kalangan 184 kes disahkan yang dilaporkan antara 27 Apr hingga 3 Mei, 52 kes diuji positif bagi ujian serologi mereka manakala 105 diuji negatif. Lagi 27 keputusan ujian serologi masih dinantikan.

3 PR DALAM KALANGAN KES IMPORT

Terdapat tujuh kes diimport dan semuanya sudah dikenakan notis jangan keluar rumah atau diasingkan semasa tiba di Singapura.

Tiga daripadanya merupakan penduduk tetap Singapura yang pulang dari India dan Filipina.

Satu kes adalah pemegang pas tanggungan yang tiba dari Nepal.

Dua kes pula melibatkan pemegang pas kerja yang tiba dari Filipina dan Rusia manakala baki satu kes adalah pemegang pas lawatan jangka pendek yang tiba dari India untuk mengunjungi anggota keluarganya yang merupakan PR Singapura.

Tiada kes baru yang dilaporkan di dormitori pekerja asing.

MOH menambah satu lokasi baru ke dalam senarai tempat yang dikunjungi kes COVID-19 dalam masyarakat semasa tempoh berjangkit mereka. Pusat beli-belah Hougang Mall dikunjungi oleh satu kes yang dikaitkan dengan kelompok TTSH.

Dalam pada itu, lagi 20 kes dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat membawa jumlah mereka yang sudah sembuh sepenuhnya di Singapura kepada 60,806.

131 kes masih lagi dirawat di hospital. Kebanyakannya dalam keadaan stabil atau sedang beransur pulih dan tiada yang berada di unit jagaan rapi (ICU). Lagi 267 kes diasingkan dan dirawat di kemudahan masyarakat.

Sehingga hari ini, Singapura melaporkan 61,235 kes COVID-19 dengan 31 kematian.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan