Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

COVID-19: 400 permohonan untuk masuk semula S'pura ditolak setiap hari

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menolak sekitar 400 permohonan setiap hari untuk memasuki semula Singapura daripada para pemegang pas kerja dengan sejarah perjalanan ke China sejak satu peraturan baru yang bertujuan untuk membendung penularan COVID-19 dikuatkuasakan. 

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: 400 permohonan untuk masuk semula S'pura ditolak setiap hari

Bangunan Kementerian Tenaga Manusia.

Diterbitkan : 16 Feb 2020 09:58AM Dikemas Kini : 16 Feb 2020 10:05AM

SINGAPURA- Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menolak sekitar 400 permohonan setiap hari untuk memasuki semula Singapura daripada para pemegang pas kerja dengan sejarah perjalanan ke China sejak satu peraturan baru yang bertujuan untuk membendung penularan COVID-19 dikuatkuasakan, kata Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo pada Jumaat (14 Feb).

Sejak awal minggu ini, majikan-majikan mesti mendapatkan kelulusan daripada kementerian itu sebelum para pemegang pas kerja yang mengunjungi tanah besar China baru-baru ini boleh memulakan perjalanan untuk memasuki semula Singapura.

Pada minggu pertama ia dikuatkuasakan, kami meluluskan sekitar 200 permohonan setiap hari bagi ketibaan yang sudah dirancang. Dalam tempoh yang sama, kami menolak sekitar 400 permohonan setiap hari," menurut Cik Teo dalam satu kemas kini di laman Facebooknya.

"Dua sebab utama kami menolak permohonan mereka adalah keperluan untuk mengatur semula jadual pekerja asing yang kembali ke Singapura dan para majikan yang tidak berupaya menyediakan penginapan untuk pekerja asing mereka yang wajib mematuhi perintah cuti LOA.

MOM memberi keutamaan kepada para pemohon yang bekerja dalam sektor penting seperti jagaan kesihatan, pengangkutan dan pengurusan sisa, tambah beliau.

MOM sejauh ini sudah mengambil tindakan tegas terhadap sebilangan majikan dan enam pemegang pas kerja kerana tidak mematuhi peraturan.

Empat pemegang pas kerja yang ditangkap kerana bekerja meskipun mereka sepatutnya mengambil LOA dan dua pekerja asing yang memasuki Singapura tanpa mendapatkan kelulusan terlebih dahulu dibatalkan pas kerja mereka dan diharamkan daripada bekerja di sini.

Keistimewaan pas kerja bagi para majikan yang melakukan kesalahan-kesalahan itu juga sudah digantung.

Cik Teo merayu kepada para majikan supaya memahami mengapa peraturan tersebut perlu dikuatkuasakan.

"Ramai majikan memberikan maklum balas kepada saya dan rakan-rakan setugas berhubung keputusan untuk menolak permohonan itu. Saya memahami kegelisahan mereka... Ramai majikan sudahpun membantu dengan menangguhkan kepulangan kakitangan mereka," kata beliau lagi.

"Dalam tempoh ini, saya dan rakan-rakan akan cuba sedaya upaya untuk menangani keprihatinan para majikan dan pekerja."

MOM akan membantu majikan-majikan berurusan dengan para pengendali hotel atau asrama di mana pekerja-pekerja boleh menjalani LOA. MOM juga sudah mengumumkan ia akan menawarkan S$100 setiap hari untuk menyokong para majikan yang kakitangannya menjalani LOA.

"Untuk bersikap adil kepada para pekerja, kami juga menggalak para majikan supaya mengiktiraf LOA sebagai cuti bergaji," kata Cik Teo.

Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat akan mengumumkan lebih banyak sokongan dalam Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan pada 18 Februari, tambah beliau.

Cik Teo berkata pada 2 Feb bahawa sekitar 30,000 pemegang pas kerja dari China belum pulang ke Singapura selepas bercuti di negara asal mereka sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan