Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Corona, Covid nama bayi kembar di India

Sepasang suami isteri di pusat bandar India di Chhattisgarh menamakan anak kembar mereka Corona dan Covid, di tengah-tengah perintah berkurung di negara itu menyusuli penularan COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Corona, Covid nama bayi kembar di India

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 05 Apr 2020 08:28PM Dikemas Kini : 05 Apr 2020 08:32PM

INDIA: Sepasang suami isteri di pusat bandar India di Chhattisgarh menamakan anak kembar mereka Corona dan Covid, di tengah-tengah perintah berkurung di negara itu menyusuli penularan COVID-19.

Kedua-dua bayi itu, seorang lelaki dan seorang perempuan dilahirkan di sebuah hospital pemerintah di bandar Raipur pada 27 Mac, dua hari selepas perintah berkurung itu dikuatkuasakan di India.

"Saya melahirkan anak selepas menghadapi beberapa kesulitan dan oleh itu, suami saya dan saya ingin mengabadikan hari ini," kata ibu kepada kedua-dua bayi itu, Preeti Verma yang berusia 27 tahun.

Pasangan itu mengatakan nama anak mereka itu akan mengingatkan mereka akan kesulitan yang dihadapi semasa perintah berkurung dikuatkuasakan dan sebelum bayi kembar itu dilahirkan.

Menurut Cik Verma, mereka tidak menerima sebarang bantuan semasa waktu beliau ingin melahirkan kerana anggota keluarganya tidak dapat ke Raipur ekoran perintah berkurung itu.

"Dengan pergerakan lalu lintas dihentikan, kami berdua akhirnya tiba di hospital pada lewat malam selepas mengalami banyak kesulitan. Memandangkan saat melahirkan anak ini saya berdepan dengan banyak kessukaran, kami ingin memberikan mereka nama yang dapat diingati dan unik," katanya.

"Selain itu, nama-nama mereka membawa maksud yang indah dengan Corona bermaksud mahkota dalam Latin," tambah ayah bayi kembar itu, Vinay Verma. "Kami juga ingin rasa takut yang dikaitkan dengan nama-nama ini berakhir dan orang ramai menumpukan terhadap kebersihan dan sanitasi."

Bagaimanapun, pasangan itu mengatakan terdapat tekanan daripada ahli keluarga yang berumur dan mereka boleh mengubah keputusan mereka kemudian dan menukarkan nama anak-anak mereka.

India kini di bawah perintah berkurung selama tiga minggu hingga 14 April yang menyaksikan khidmat pengangkutan digantung dengan perintah duduk di rumah yang tegas kecuali lawatan penting ke tempat-tempat seperti pasar atau farmasi.

Kes COVID-19 di negara itu melonjak mencecah 3,000 kes dan 68 kematian.

Meskipun jumlah kes COVID-19 di India jauh lebih kecil berbanding Amerika Syarikat, Itali dan China, namun pakar kesihatan menyatakan kes jangkitan di India mungkin melonjak dalam beberapa minggu akan datang yang menambahkan lagi tekanan terhadap sistem jagaan kesihatan awam negara itu.

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan