Skip to main content

Iklan

Iklan

'Circuit breaker' lebih ketat mesti dikekalkan sekurang-kurangnya seminggu lagi, kata Masagos; gesa masyarakat terus patuhi langkah pemutus jangkitan

Meskipun Singapura mencatat kemajuan yang baik dalam usaha membendung penularan COVID-19 kerana jumlah kes jangkitan dalam kalangan masyarakat tempatan kian merosot, langkah-langkah lebih ketat bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 mesti dikekalkan bagi tempoh sekurang-kurangnya seminggu lagi.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Meskipun Singapura mencatat kemajuan yang baik dalam usaha membendung penularan COVID-19 kerana jumlah kes jangkitan dalam kalangan masyarakat tempatan kian merosot, langkah-langkah lebih ketat bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 mesti dikekalkan bagi tempoh sekurang-kurangnya seminggu lagi.

Demikian ditegaskan oleh Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli dalam catatan Facebooknya hari ini (2 Mei).

Dalam catatan yang sama, beliau turut berkongsi antara khidmat yang dibenarkan beroperasi semula mulai 12 Mei 2020:

- Penghasilan dan persiapan bagi semua makanan (termasuk kek dan manisan, aiskrim, coklat dan produk coklat, dan snek lain)
- Cawangan makanan (termasuk kek dan manisan, snek yang dibungkus dan pencuci mulut) boleh dibuka untuk pembelian yang dibawa pulang dan bagi khidmat penghantaran saja
- Perniagaan kecil-kecilan dari rumah boleh beroperasi semula, namun hanya untuk penghantaran dan pengambilan saja dan tertakluk kepada langkah-langkah keselamatan yang diuruskan dengan sewajarnya. Perniagaan makanan kecil-kecilan dari rumah boleh menerima dan menyiapkan tempahan lebih awal yang akan dipenuhi selepas 12 Mei 2020.

Dalam pada itu, Encik Masagos turut menekankan bahawa adalah penting bagi para peniaga makanan kecil-kecilan yang beroperasi dari rumah supaya mematuhi garis panduan dan segala peraturan yang ditetapkan.

"Ini termasuk mengelakkan sebarang perhimpunan di rumah dengan individu yang bukan tinggal sebumbung. Ini adalah antara langkah berjaga-jaga kami secara kolektif terhadap COVID-19, untuk mencegah penularan kelompok baru.

Sila rujuk kepada kenyataan media di bawah untuk maklumat lanjut: http://www.mewr.gov.sg/…/home-based-food-businesses-allowed…" menurut Encik Masagos.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada masyarakat kerana mematuhi langkah pemutus jangkitan lebih ketat yang dikuatkuasakan sepanjang dua minggu lalu.

Sehubungan itu, Encik Masagos berkata beliau memahami bahawa ia adalah satu tempoh yang mencabar bagi banyak perniagaan makanan kecil-kecilan di rumah.

"Terima kasih kerana memahami matlamat di sebalik langkah pemutus jangkitan yang lebih ketat ini. Kami akan menyokong anda sepanjang tempoh mencabar ini - anda boleh melungsuri http://www.supportgowhere.gov.sg untuk membuat permohonan bagi skim bantuan yang relevan.

"Sila kongsi maklumat ini dengan mereka yang memerlukan," tulis Encik Masagos dalam catatan Facebooknya.

Beliau juga meluahkan penghargaan kepada Dewan Peniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) atas usaha mereka untuk mendampingi para peniaga makanan kecil-kecilan yang beroperasi dari rumah.

Beliau juga menggesa orang ramai supaya meneruskan usaha baik masing-masing untuk memastikan COVID-19 terkawal. Sehubungan itu, beliau menasihati masyarakat supaya duduk di rumah, mengamalkan langkah jarak selamat dan menjaga kebersihan diri serta memakai pelitup apabila keluar rumah untuk membeli keperluan asas.

"Perjuangan ini belum berakhir lagi. Para pakar di seluruh dunia sudah menasihatkan supaya jangan kembali kepada cara kehidupan biasa secara mendadak. Bahkan, COVID-19 akan memaksa kita untuk menjalani satu norma yang baru.

"Kita sudah meraih kemajuan yang baik menerusi usaha kolektif ini. Ayuh kita teruskan usaha ini dan pastikan Singapura kekal selamat," tambah Encik Masagos. 

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan