Skip to main content

Iklan

Iklan

China tolak perlunya siasatan lanjut WHO ke atas punca COVID-19

China hari ini (13 Ogos) menolak gesaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk memulakan semula siasatan ke atas punca COVID-19, sambil menyatakan bahawa ia menyokong usaha "saintifik" berbanding "politik" dalam mencari asal usul virus tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
China tolak perlunya siasatan lanjut WHO ke atas punca COVID-19

Seorang kanak-kanak menjalani ujian swab. (Gambar fail: AFP)

Diterbitkan : 13 Aug 2021 06:25PM Dikemas Kini : 13 Aug 2021 06:30PM

BEIJING: China hari ini (13 Ogos) menolak gesaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk memulakan semula siasatan ke atas punca COVID-19, sambil menyatakan bahawa ia menyokong usaha "saintifik" berbanding "politik" dalam mencari asal usul virus tersebut.

Beijing sekali lagi menerima tekanan untuk menimbangkan siasatan baru ke atas punca pandemik yang meragut nyawa lebih empat juta orang dan melum;puhkan ekonomi negara-negara sejagat sejak pertama kali muncul di bahagian tengah China di bandar Wuhan.

Dalam satu lawatan yang ditangguh dan amat berbaur politik, pasukan WHO yang terdiri daripada para pakar antarabangsa mengunjungi Wuhan pada Januari untuk menghasilkan satu laporan peringkat pertama yang ditulis bersama dengan rakan pakar dari China. Namun, ia gagal mencapai huraian tentang bagaimana virus itu bermula.

Pada Khamis, WHO menggesa China untuk mengongsi data kasar daripada kes-kes awal COVID-19 untuk memulakan semula siasatannya ke atas punca penyakit tersebut.

China membalas dengan mengulangi pendiriannya bahawa siasatan awal sudah mencukupi dan gesaan bagi data lanjut dirangsang oleh pengaruh politik, bukan saintifik.

"Kami menolak penyelidikan berunsur politik...dan meninggalkan laporan bersama itu" tegas Naib Menteri Luar Ma Zhaoxu kepada para wartawan selepas lawatan pasukan pakar WHO ke Wuhan pada Januari. "Kami menyokong penyelidikan saintifik."

Laporan berkenaan menyatakan bahawa virus itu berpindah dari kelawar ke manusia menerusi haiwan pertengahan adalah senario paling mungkin berlaku, manakala teori kebocoran di makmal adalah "amat mustahil berlaku".

Encik Ma juga menolak usulan-usulan untuk menjalankan siasatan baru.

"Dapatan dan saranan WHO dan China dalam laporan bersama itu diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa dan masyarakat sains," jelas beliau.

"Siasatan-siasatan global selanjutnya perlu dan hanya boleh dijalankan berdasarkan laporan ini, bukan memulakan yang baru."

TEORI KEBOCORAN MAKMAL

Sedang China enggan membuka siasatan kepada para penyelidik luar, para pakar semakin terbuka untuk menimbangkan teori bahawa virus itu mungkin disebabkan kebocoran di makmal. Teori tersebut sebelum ini ditolak sebagai konspirasi yang diuar-uarkan oleh golongan sayap kanan Amerika Syarikat.

Bahkan Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus juga berkata bahawa siasatan awal ke atas makmal-makmal virologi di Wuhan tidak memadai manakala Presiden Joe Biden pula pada Mei mengarahkan satu siasatan berasingan terhadap punca virus oleh masyarakat risikan Amerika Syarikat.

Gesaan WHO bulan lalu untuk menjalankan audit ke atas makmal-makmal di Wuhan sewaktu siasatan peringkat kedua membuat Beijing berang dengan Naib Menteri Kesihatan Zeng Yixin berkata bahawa rancangan itu menunjukkan "sikap tidak hormat terhadap pemikiran munasabah dan sombong terhadap sains".

Sementara itu, ahli sains Denmark, Dr Peter Ben Embarek yang mengetuai rombongan antarabangsa ke Wuhan itu berkata bahawa seorang pekerja yang dijangkiti sedang beliau mengambil sampel dari lapangan adalah salah satu hipotesis tentang bagaimana virus berpindah daripada kelawar kepada manusia.

Beliau berkata melalui siaran awam TV2 bahawa kelawar-kelawar yang disyaki bukan berasal dari daerah Wuhan dan hanya mereka yang bekerja di makmal-makmal Wuhan yang berkemungkinan mendekati kelawar-kelawar itu.

Sumber : AFP/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan