Koronavirus

Images
  • china (3)
    (Gambar: Reuters)

China lapor jumlah tertinggi kes harian COVID-19 dalam lebih 2 bulan

BEIJING: China melaporkan kenaikan tertinggi dalam jumlah kes harian COVID-19 dalam lebih dua bulan, setelah semua kes jangkitan baru dilaporkan di Yunnan, sebuah bandar bersempadan dengan Myanmar di barat daya negara itu.

Pemerintah tempatan Ruili melaksanakan kuarantin terhadap semua penduduk di kawasan bandarnya, melancarkan ujian besar-besaran dan mula menyekat para penduduk dari keluar masuk bandar itu sejak minggu lalu setelah ia melaporkan beberapa kes baru COVID-19.

Kesemua 15 kes baru COVID-19 yang dilaporkan di China pada Ahad (4 Apr) adalah dari bandar itu. Jumlah keseluruhan kes baru COVID-19, termasuk kes-kes import dari luar negara kini adalah 32, menandakan jumlah keseluruhan yang tertinggi sejak 31 Jan.

Analisis genetik ke atas kes-kes yang ditemui di Ruili menunjukkan bahawa kes-kes tempatan baru itu berasal dari virus yang diimport dari Myanmar, lapor media tempatan. Dalam kalangan pesakit yang dilaporkan di bandar itu, 11 merupakan rakyat Myanmar.

Ruili adalah titik persinggahan utama bagi wilayah Yunnan, yang menghadapi kesukaran untuk mengawal sempadan sepanjang 4,000 kilometer dengan Laos, Myanmar dan Vietnam bagi kemasukan pendatang haram di tengah-tengah satu gelombang pendatang asing tanpa izin tahun lalu oleh mereka yang cuba mendapatkan perlindungan daripada pandemik.

Pihak berkuasa tempatan juga sudah mula melaksanakan program vaksinasi di Ruili dalam usaha membendung penularan COVID-19 dan membina kekebalan berkelompok di bandar itu.

Jumlah kes baru tidak bergejala, yang tidak dikira sebagai kes disahkan di China, kekal pada 18, menyamai jumlah keseluruhan pada Sabtu (3 April).

Jumlah keseluruhan kes COVID-19 di tanah besar China kini sebanyak 90,305, manakala angka korban kekal tidak berubah sebanyak 4,636.

- Reuters/HA/ha

Top