Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

China catat penularan paling teruk dalam 10 bulan, Beijing perketat sekatan COVID-19

Langkah itu diambil di tengah-tengah penularan paling teruk di negara itu sejak Mac 2020, menjelang sambutan Tahun Baru Cina, apabila ratusan ribu orang melakukan perjalan.

Anggaran Waktu Membaca:
China catat penularan paling teruk dalam 10 bulan, Beijing perketat sekatan COVID-19

Penduduk memakai pelitup di Nanluoguxiang Beijing, China. (Gambar: REUTERS/Tingshu Wang)

Diterbitkan : 20 Jan 2021 01:55PM Dikemas Kini : 20 Jan 2021 01:58PM

BEIJING: Ibu kota China, Beijing pada Rabu (20 Jan) menyatakan ia akan menyiasat semua individu yang memasuki bandar tersebut mulai 10 Disember dan menutup sebuah stesen kereta api setelah mencatat jumlah tertinggi kes COVID-19 dalam sehari dalam tempoh lebih tiga minggu.

Langkah itu diambil di tengah-tengah penularan paling teruk di negara itu sejak Mac 2020, menjelang sambutan Tahun Baru Cina, apabila ratusan ribu orang melakukan perjalan. Ini sekaligus mencetuskan kebimbangan berlakunya penularan besar COVID-19 sekali lagi.

Suruhanjaya Kesihatan Nasional negara itu menyatakan dalam satu kenyataan berasingan bahawa sebanyak 103 kes COVID-19 dilaporkan pada Selasa (19 Jan), kurang daripada 118 sehari sebelumnya.

Bagaimanapun, wilayah timur laut Jilin mencatat 46 kes baru, satu lagi rekod kes harian, manakala wilayah Hebei berdekatan Beijing mencatat 19 kes baru. Beijing melaporkan tujuh kes baru sama seperti yang dilaporkan pada 28 Disember.

Daripada kes-kes baru ini, enam tinggal di daerah Daxing dan pengendali kereta api bandar itu menyatakan ia menutup stesen Tiangong Yuan yang terletak berdekatan pesakit-pesakit tersebut sebagai sebahagian daripada langkah pencegahan COVID-19.

Jumlah kes baru tanpa sebarang gejala, yang tidak dikategorikan sebagai kes yang disahkan COVID-19 berkurangan kepada 58 daripada 91 kes sehari sebelumnya.

Jumlah keseluruhan kes COVID-19 di China kini sebanyak 88,557, manakala angka kematian pula kekal pada 4,635.

Jumlah itu tidak termasuk kes yang dilaporkan di Hong Kong dan Macau, yang juga wilayah China tetapi melaporkan data sendiri. Suruhanjaya negara itu juga mengecualikan kes-kes yang dilaporkan di Taiwan, pulau yang dituntut China sebagai miliknya.

Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan