Skip to main content

Iklan

Iklan

China bergelut penularan varian Delta, jutaan berkurung di rumah

Jutaan penduduk di China kembali berkurung di rumah pada Isnin (2 Ogos) dalam usaha negara itu membendung penularan terbesar COVID-19 sejak beberapa bulan ini.

Anggaran Waktu Membaca:
China bergelut penularan varian Delta, jutaan berkurung di rumah

China berusaha membendung penularan terbesar COVID-19 dalam beberapa bulan. (Gambar: STR/AFP)

Diterbitkan : 02 Aug 2021 09:12PM Dikemas Kini : 02 Aug 2021 09:13PM

BEIJING: Jutaan penduduk di China kembali berkurung di rumah pada Isnin (2 Ogos) dalam usaha negara itu membendung penularan terbesar COVID-19 sejak beberapa bulan ini.

Ini termasuk tujuh kes positif yang dikesan di Wuhan, di mana virus itu pertama kali muncul pada lewat 2019.

China melaporkan 55 kes jangkitan dalam negeri hari ini ketika varian Delta sudah merebak ke lebih 20 bandar di berpuluh wilayah.

Kelompok Wuhan itu dikesan berpunca daripada kes di stesen kereta api.

"Tujuh kes itu dikenalpasti sebagai pekerja migran,"lapor Xinhua memetik pegawai pencegahan dan kawalan COVID-19.

Bandar-bandar utama termasuk di Beijing telah menjalankan ujian ke atas
jutaan penduduk, dengan kawasan perumahan dikepung serta kontak rapat dikuarantin.

Di bandar Zhuzhou di wilayah Hunan pula lebih 1.2 juta penduduk diletakkan di bawah perintah berkurung yang tegas dalam tempoh tiga hari dengan ujian saringan serta vaksinasi dilaksanakan.

"Keadaan masih suram dan rumit," kata pemerintah Zhuzhou.

China sebelum ini mencatat kejayaan dengan menjadikan negara itu hampir sifar kes, selepas kali pertama virus itu dikesan di Wuhan pada lewat 2019, sekali gus mengembalikan semula ekonomi negara.

Namun, kes jangkitan baru yang dikaitkan dengan kelompok di Nanjing apabila sembilan pekerja pembersihan di lapangan terbang antarabangsa diuji positif pada 20 Julai lalu, mengancam pencapaian tersebut dengan lebih 360 kes tempatan dilaporkan dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini.

Di destinasi pelancongan Zhangjiajie, kes jangkitan dalam kalangan pengunjung ke teater bulan lalu tersebar ke seluruh negara.

Zhangjiajie kemudiannya meletakkan kesemua 1.5 juta penduduknya di bawah perintah berkurung pada Jumaat.

Para pegawai kini sedang berusaha mengesan mereka yang melakukan perjalanan dari Nanjing atau Zhangjiajie, malah mengarahkan orang ramai tidak ke lokasi di mana kes jangkitan dikesan.

Susulan perkembangan itu, Beijing menyekat pelancong masuk ke ibu kota itu semasa cuti musim panas dan hanya membenarkan 'tetamu penting' yang diuji negatif.

Ia susulan penemuan kes membabitkan mereka yang kembali dari Zhangjiajie dalam kalangan penduduknya.

Pegawai tertinggi pada Ahad juga menyeru rakyat supaya tidak meninggalkan Beijing sekiranya tiada urusan penting.

Di kawasan Changping di Beijing pula, seramai 41,000 orang diperintahkan berkurung di sembilan kawasan perumahan, minggu lalu.

Malah kes baru juga dilaporkan di lokasi pelancongan popular di Hainan hari ini termasuk di Henan, kawasan yang terjejas banjir buruk. 

Sumber : AFP/SU/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan